2 Ramadhan dalam lipatan sejarah Islam

ottoman

Berikut adalah peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku dalam sejarah Islam tatkala 2 Ramadhan.

1) Pertempuran “Balat as-Syuhada’” – Pada 2 Ramadan 114H bersamaan 26 Oktober 732M, pertempuran Balat as-Syuhada’ meletus antara tentera Islam pimpinan Abdul Rahman al-Ghafiqi dengan tentera Perancis di bawah pimpinan Charles Martel. Ia berlaku di Perancis di sebuah tempat antara bandar Tor dan Poitiers dan berlangsung selama sepuluh hari. Pertempuran ini telahpun meletus pada akhir bulan Sya’ban berlarutan hingga awal Ramadan. Tiada mana-mana pihak yang memenangi pertempuran tersebut namun tentera Islam berundur pada waktu malam hari dan meninggalkan medan pertempuran.

2) Persidangan Pendidikan Sebagai Wahana Penyediaan Para Da’i – Pada 2 Ramadan 1402H bersamaan 24 Jun 1981M, Kesatuan Pertubuhan-pertubuhan Pelajar Islam Britain mengadakan persidangannya yang ke sembilan belas dengan tema “Pendidikan Sebagai Wahana Penyediaan Para Da’i”.

3) Pembukaan Maghribi Tengah – Pada 2 Ramadan 82H tentera Islam di Afrika Utara menghadapi tentera Rom di satu pihak dan tentera bangsa Barbar di pihak yang lain. Seorang pemimpin wanita bangsa Barbar dikenali sebagai tukang tilik telah berjaya menyatukan bangsa Barbar untuk menentang tentera Islam bertahun-tahun lamanya menyebabkan panglima tentera Islam Zuhair bin Qais dan tenteranya gagal mengalahkan mereka. Akhirnya pada 2 Ramadan 82H, Hasan bin Nu’man dan pasukan tenteranya sampai ke kawasan Maghribi Tengah lalu bertembung dengan tentera bangsa Barbar dan berjaya mengalahkan tentera tersebut.

4) Kejatuhan Daulah Umaiyah dan Kebangkitan Daulah Abbasiah – Pada 2 Ramadan 132H bersamaan 13 April 750M, Abdullah Abu al-Abbas telah berjaya menguasai Damsyik. Dengan kejatuhan Damsyik itu, maka berakhirlah kerajaan Umaiyah dan bermulanya era kerajaan Abbasiah.

5) Kelahiran Tokoh Sejarah dan Falsafah Ibnu Khaldun – Pada 2 Ramadan 732H bersamaan 27 Mei 1332M, Abdul Rahman bin Khaldun atau lebih dikenali dengan Ibnu Khaldun seorang tokoh sejarah dan falsafah Arab Islam telah dilahirkan.

6) Penguasaan ke atas Crete, Greece – Pada 2 atau 3 Ramadan 1239H/1824M, tentera Mesir berjaya menguasai Pulau Crete, Greece.

Tulisan asal oleh Dr. Rasyad Lasyin.

Terjemahan dan suntingan oleh:
Ustaz Mohd Najib bin Sulaiman
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *