2092 orang remaja hamil anak luar nikah

dr-murizah

BANGI, 15 November – Kempen ‘Say No To Zina’ anjuran I-Medik Alor Setar yang diadakan di sekolah-sekolah menengah di sini merupakan satu langkah untuk menyedarkan remaja tentang implikasi zina kepada kesihatan, dosa pada Allah dan azab yang pasti Allah turunkan di dunia dan akhirat.

Hal ini ekoran statistik daripada Bahagian Ibu dan Anak, Kementerian Kesihatan untuk seluruh Malaysia bagi separuh tahun pertama Januari hingga Jun 2013, menunjukkan remaja lingkungan 10 ke 19 tahun yang hamil, 25% nya adalah tidak berkahwin.

Bagi jumlah keseluruhan remaja yang hamil adalah 8433 orang. Dari jumlah ini 6341 adalah yang berkahwin dan 2092 (25%) adalah tidak berkahwin.

Menurut Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik) Cawangan Alor Setar, Dr. Murizah Mohd Zain, didapati ramai remaja yang hamil di luar perkahwinan ini akan cuba untuk menyembunyikan kehamilan sehingga membiarkan kandungannya tidak mendapat jagaan antenatal yang sempurna.

Faktor ini telah dikenalpasti sebagai salah satu aspek yang menyumbang ke arah peningkatan risiko pembuangan bayi.

Justeru ujar Dr. Murizah dengan adanya kempen ‘Say No To Zina ini,’ ianya dapat mencegah di peringkat awal.
“Setakat ini kempen ini telah diadakan di beberapa buah sekolah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas dan Sek Keb Bukit Kayu Hitam.

“Bagaimanapun ujarnya, kempen ini akan dilanjutkan di sekolah yang lain pula pada tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut jelasnya, apa penting remaja-remaja perlu kembali menghayati Islam, membina jati diri dan keperibadian yang baik.

“Ini sahaja benteng yang kukuh yang boleh memberi keteguhan kepada remaja untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran arus modenisasi dan liberalisasi.

“Islam adalah sebagai agama pencegahan. Undang-undang yang digubal di dalam Islam bertujuan untuk memelihara kesejahteraan di dalam masyarakat.

Hal ini kerana Islam telah menjangkakan komplikasi-komplikasi yang terjadi akibat perbuatan zina dan justeru Islam menetapkan hukuman yang berat bagi tujuan untuk mendidik masyarakat,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *