400 sertai kayuhan sihat tanpa vape, tembakau di Alor Setar

ALOR SETAR, 4 Zulhijjah 1438H, Sabtu – Hampir 400 peserta dari Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, hari ini mengambil bahagian dalam Kayuhan Basikal Sihat Tanpa Vape dan Tembakau (S2TV) Zon Utara yang bermula di pekarangan Masjid Sultanah Bahiyah di sini.

Acara itu anjuran Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan jawatankuasa Masjid Sultanah Bahiyah.

Pengerusi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Alor Setar, Dr Zulkifli Yusof berpuas hati dengan jumlah peserta yang mendaftar, walaupun tidak ramai, tetapi ia melebihi jangkaan.

“Awalnya kita bimbang jumlahnya mencecah 1,000 kerana kita tidak mempunyai petugas yang mencukupi untuk mengendalikannya.

“Lagipun ini adalah acara kayuhan basikal yang pertama dianjurkan di sini,” katanya yang juga ahli jawatankuasa i_Medik Pusat.

Sebagaimana objektif acara itu, Dr Zulkifli berkata, ia bertujuan memupuk kesedaran kepada masyarakat untuk mengamalkan budaya hidup sihat tanpa tembakau dan vape.

Ini juga, katanya, adalah sebahagian kempen supaya masyarakat, terutama golongan muda dan remaja tidak merokok.

Dr Zulkifli Yusof sedang memberi ucapan pada acara Kayuhan Basikal Sihat Tanpa Vape dan Tembakau Zon Utara di Alor Setar, hari ini.

Pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masjid, katanya, mampu mencapai sasaran yang dikehendaki.

“Kita telah menjalankan beberapa aktiviti, termasuk ceramah di pusat pengajian tinggi dan sekolah. Alhamdulillah, wujud kesedaran di kalangan mereka apabila kita menerangkan mengenai bahaya merokok.

“Satu kajian mendapati 50 perokok baharu yang terdiri daripada pelajar sekolah wujud setiap hari. Dan trend ini semakin meningkat. Oleh itu, kita juga menyasarkan pelajar dengan memberi kesedaran kepada mereka.

“Dan, kini kita menyasarkan pula mereka yang suka bersukan. Berbasikal semakin diminati sekarang dan kita menyasarkan golongan yang suka berbasikal dalam kempen hidup sihat ini,” katanya.

Peserta hari ini dilepaskan oleh Imam Masjid Sultanah Bahiyah, Haji Mustafa Kamil Abdul Jamil.

Kayuhan sejauh 35 kilometer itu bermula di pekarangan Masjid Sultanah Bahiyah hingga ke Jitra dan berpatah balik ke masjid berkenaan.

Cabutan bertuah juga diadakan dengan hadiah utama ialah tiga basikal, selain peralatan yang digunakan oleh penggemar sukan berbasikal.

Hadiah disampaikan Haji Mustafa, Dr Zulkifli dan Setiausaha Agung i-Medik, Prof Dr Azizi Ayob yang turut menyertai acara itu. hadir sama, Naib Presiden 2 i-Medik, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Selain itu, peserta turut mengambil kesempatan membuat pemeriksaan kesihatan percuma menerusi kaunter i-Medik yang dibuka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *