Ramadhan: Titik Perubahan

Ramadhan Terakhir

Ya Allah, andai ini ramadan terakhirku maka rahmatilah aku, ampunilah aku dan bebaskanlah aku dari siksaan api nerakaMu. Andai ini Ramadan terakhirku maka kurniakan aku kesempatan malam seribu malam agar aku tidak tergolong dalam kalangan hambamu yang rugi.

Andai ini Ramadan terakhirku… Silih berganti ramadan hadir begitu juga perjalanan hayat kita. Hipotesis mudah yang boleh difahami oleh akal kita bahawa hidup ini, semakin bertambah usia semakin berkurang waktu yang bersisa untuk kita di bumi ini. Maka semakin dekatlah kita dengan garisan penamat hidup ini. Berduyun-duyunlah yang masuk ke sekolah ramadan tapi tak kurang ramai juga yang keluar tanpa ijazah hanya sekadar mengulang-ulang subjek ramadan saban tahun tanpa sebarang peningkatan.

Jika kita ibaratkan Ramadan sebagai sebuah sekolah, semester awalnya ialah subjek kerahmatan, pertengahannya subjek keampunan dan semester akhir pula berfokus pada pembebasan dari api neraka.Sekolah yang datang setahun sekali dan masa pembelajaran hanyalah 30 hari. Pada awal kedatangannya, maka ramailah yang membina azam dan memasang cita. Ada yang mahu mengkhatamkan 30 juzuk, ada yang mahu memperbanyak sedekah berkongsi rezeki dan macam-macam lagi kebaikan.

Penulis mahu mengajak pembaca menghayati ramadan yang berbaki beberapa hari ini dengan penghayatan seorang hamba yang sentiasa merindui kasih sayang tuhannya.

Andai Ramadan kita jadikan Tuhan, maka ramailah yang bersungguh-sungguh berusaha mengislah diri di sekolah ramadan namun sayangnya setelah graduasi pasti kembali menjadi hamba yang kufur nikmat dan derhaka kepada Sang Khalik. Ada pula insan bertuah, ramadan baginya hanya salah satu platform pengabdian cinta kepada Allah, tuhan kepada sekalian ciptaanNya dan dia berjaya menjadi graduan acuan ramadan yang sempurna. Sekolah istimewa ini dibuka pendaftarannya kepada semua, tetapi bukan semua kita yang punya peluang dan kesempatan untuk menjalaninya. Ada yang dijemput pemilknya tiada tercepat mahupun terlewat barang seminit.

Ada yang masih diberi peluang entah untuk kali yang ke berapa untuk menempuhi lagi Ramadan kali ini. Alangkah bertuahnya kita. Bersyukurlah kerana anda dan sayalah insan bertuah itu. Beruntungnya kita, para sahabat dahulu merasa sedih bila tiba penghujung Ramadan kerana merasakan seolah-olah kehilangan sesuatu yang sangat berharga dari dirinya. Andai para sahabat boleh merasakannya, apakah tidak terdetik rasa itu dalam diri kita?

Ramadan diberi oleh Tuhan sebagai hadiah kepada hambanya, memberi peluang kepada insan berdosa melebur nafsu-nafsu jahat dalam diri, membuka ruang kepada hati yang bermaksiat menyucikan karat-karat noda dalam jiwa serta melatih jiwa kehambaan dan kesederhaan. Betapa ruginya jiwa-jiwa yang telah melalui Ramadan tapi masih belum terampun dosa-dosa lampaunya. Betapa beruntungnya jasad-jasad yang bersujud memohon ampunan tuhannya di malam hari dan berpuasa menahan nafsu di siang hari. Ayuhlah, penulis menyeru diri ini dan pembaca menggunakan minit-minit terakhir dalam perlawanan ini untuk mencapai kemenangan sebenar dan membebaskan diri dari belenggu nafsu secara total.

p/s: Tip berguna di pagi raya, pertama berusaha untuk bangun awal dan bersiap untuk ke masjid. Rugi kalau terlepas solat raya, itukan sujud tanda kemenangan kita di bulan ramadan. Kedua, mulakan pagi syawal dengan memohon kemaafan dan membudayakan ziarah. Nak menonton tv tentunya boleh, tapi kan lebih baik memanfaatkan waktu keemasan begini untuk mengeratkan silaturrahim. Akhir kata, salam aidilfitri, minal aidil wal faizin, SELAMAT HARI RAYA kepada semua pembaca.

Sumber: ismaaustralia.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *