Agenda normalisasi cuba hapus sensitiviti umat Islam

IMAG1303-1-1

ALOR SETAR, 1 Nov – Agenda normalisasi yang dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu adalah cubaan untuk menghapuskan nilai sensitiviti dalam diri umat Islam.

Menurut Naib Presiden I Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, normalisasi merupakan proses menjadikan sesuatu yang sebenarnya salah pada rujukan syarak, diterima sebagai pandangan biasa oleh masyarakat.

Ujar Ustaz Fauzi, penganjuran pesta arak Oktoberfest dan ‘I Want to Touch a Dog’ umpamanya, adalah taktik musuh untuk menjadikan sesuatu yang sebenarnya haram dilaksanakan di negara Islam dan oleh umat Islam, ‘halal’ pada sisi masyarakat.

“Islam telah mengharamkan arak kepada seluruh umat manusia, dan hadis telah menyebut arak ialah pintu kepada dosa-dosa yang lain.

“Isu pegang anjing pula, mereka sebut macam-macam untuk menghalalkan penganjurannya, kepelbagaian mazhab, silaturahim antara kaum dan sebagainya, hakikatnya Islam tidak pernah mendidik umatnya membunuh anjing walaupun ia haram di sisi agama,” kata Ustaz Fauzi.

Beliau turut menyentuh perihal perhubungan antara bukan mahram yang dilihat semakin biasa dalam masyarakat Islam hari ini.

“Perkara ini (normalisasi) sudah lama berlaku. Sekarang sudah banyak ibu bapa kalau tengok anak-anak mereka tak ada teman lelaki atau wanita, mereka rasa anak mereka pelik.

“Pasangan yang baru bertunang pula, bebas berdua-duaan di sana sini, masyarakat dah tengok sebagai perkara biasa, padahal kita tahu ia adalah berdosa di sisi syarak,” ujarnya.

IMG-20141030-WA0022

Ustaz Fauzi berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah dalam program Usrah Umum anjuran ISMA Alor Setar di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh masyarakat Islam agar meninggikan nilai sensitiviti dalam diri agar syiar, agenda dan pelaksanaan hukum-hakam Islam kekal terpelihara.

“Sensitiviti menjadikan pemikiran kita menjadi lebih kritis,” tambah beliau lagi.

 Alfakhru Fauzi
Wartawan ISMAweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *