Amal Islami mesti hidup bersama ruh dan penjiwaan

IMG_20150930_212640

ALOR SETAR, 2 Oktober – Naib Yang Dipertua Isma Alor Setar, Tuan Guru Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa menggesa umat Islam agar melaksanakan amal-amal Islami dengan penuh ruh dan penjiwaan.

“Setiap tahun apabila datangnya Hari Raya Korban, kita seronok membuat korban, mengambil bahagian lembu kerbau dan sebagainya sampai terlupa hakikat ibadah korban itu disyariatkan.

“Ibadah korban disyariatkan bukanlah sekadar untuk mengenang kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, tetapi untuk mengingatkan diri kita supaya mengharapkan keampunan dan redha Allah s.w.t. agar seluruh amalan kita diterima,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pengisian dalam Usrah Umum bulanan anjuran Isma Alor Setar di Jalan Langgar, Rabu lalu.

Menurut Abdul Fisol lagi, sirah dan perjuangan Nabi Ibrahim a.s. wajar dihayati kerana ia amat berkait rapat dengan ibadah korban yang disyariatkan.

“Nabi Ibrahim adalah antara manusia hebat yang menjadikan perintah Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya untuk dilaksanakan.

“Lihatlah perintah Allah kepada beliau untuk bersemuka dengan Namrud, meninggalkan anak dan isteri di tengah-tengah padang pasir dan mengorbankan anak darah dagingnya sendiri, semuanya dilaksanakan tanpa ragu-ragu.

“Segala perintah yang Nabi Ibrahim laksanakan, Allah natijahkan dengan natijah yang amat berharga termasuklah diselamatkan daripada bakaran api, dikurniakan tanah subur yakni Mekah dan dikurniakan keturunan generasi yang menjadi Rasul akhir zaman.

Usrah umum kali ini dihadiri lebih 150 orang hadirin dan diserikan dengan aneka juadah termasuk nasi daging sumbangan penduduk sekitar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *