Amanat Haji Hadi: Antara kebaikan dan kemudaratan

amanat-haji-hadi

Seperti salah sebuah artikel saya yang lalu mengenai Hudud, apabila isu Hudud dan juga Amanat Hadi dikemukakan kepada masyarakat di Malaysia oleh media massa dan pemerintah, ia salah satu penunjuk bahawa gendang Pilihanraya Umum telah mula dipalu oleh pihak Pemerintah. Oleh kerana itu banyak respon dari ahli fikir dan tokoh dalam masyarakat terhadap isu “Amanat Hadi” ini bukan semata-mata atas asas ilmiah dan maslahat umum masyarakat dan negara seperti yang dikehendaki oleh Islam, malah respon dari mereka yang cenderung kepada satu-satu aliran politik akan diwarnai dengan jelas dengan kecenderungan politik masing-masing bahkan hingga ke tahap melupakan asas ilmiah Islam dan kepentingan umum umat Islam itu sendiri.

Setelah mula berjinak dengan usaha-usaha Islam pada tahun 1979 dan 1980 ketika di tingkatan 2 dan 3 di MRSM Kuantan, saya mula terlibat dalam usrah dan amal Islam haraki pada tahun 1981 ketika di tingkatan 4 sehinggalah ke hari ini. Di tahun 1981 yang sama “Amanat Haji Hadi” mula dikemundangkan samada oleh sebahagian ahli dan pimpinan PAS untuk menjaga aqidah umat Islam atau meraih undi dan pendokong di satu pihak juga dikumandangkan oleh UMNO menerusi media massa samada untuk menjaga keharmonian umat Islam atau memburukkan PAS dengan memalitkannya dengan sikap kafir mengkafir untuk menjauhkan masyarakat dan pengundi darinya.

Sebelum masuk kepada perbincangan yang lebih mendalam, ada baiknya saya kemukakan satu konsep yang penting didalam fikrah, politik mahupun perundangan iaitu konsep Antara Syakhsiyah Iktibariah dan Syakhsiyah Iktiyadiyah. Seperti juga memahami konsep Antara Jiwa dan Sistem, memahaminya dan menggunakannya dalam berfikir dan membuat sesuatu kesimpulan (judgement) adalah sangat penting dan tidak hilang punca.

Syakhsiyah Iktibariah dan Syakhsiyah Iktiyadiyah – Setiap orang daripada kita membawa kedua-dua syakhsiyah (keperibadian atau entiti) ini dalam hidupnya. Contohnya apabila saya melihat atau menilai Ali bin Ahmad, saya melihat beliau membawa kedua-dua syakhsiyah iktibariah dan iktiyadiyah.

  • Syakhsiyah Iktibariah adalah syakhsiyah atau keperibadian atau identiti persatuan, kabilah, negara dan organisasi seumpamanya yang beliau anggotai.
  • Syakhsiyah Iktiyadiyah adalah syakhsiyah, keperibadian atau identiti diri seseorang individu itu sendiri tanpa merujuk kepada organisasi yang beliau anggotai.

Contohnya, sesebuah negara itu adalah Negara Islam (syakhsiyah iktibariah) tidak semestinya semua penduduknya (individu-individu iktiyadiyah) beragama Islam. Begitu juga sebaliknya sebuah negara bukan-Islam (syakhsiyah iktibariyah) ada terdapat individu-individu Islam di dalamnya. Begitu juga apabila kita contohnya mengatakan bahawa syarikat Shell adalah syarikat kafir (syakhsiyah iktibariah), kita tidak mengatakan semua kakitangan (iktiyadiyah) di dalamnya adalah kafir. Sebaliknya apabila kita katakan syarikat Petronas adalah sebuah syarikat Islam, kita tidak mengatakan semua kakitangannya atau Arumugam yang bekerja di dalamnya adalah seorang Islam.

Apabila Asy-Syahid Sayyid Qutb mengatakan “Mujtamak Jahili” adalah mujtamak atau masyarakat yang hidup di dalam sistem yang tidak berasaskan Syariat Islam, sebaliknya hidup di dalam sistem hawa nafsu manusia yang dicedok dari Barat atau Timur, saya melihat ia merujuk kepada syakhsiyah iktibariah dan bukan kepada individu-individu di dalam masyarakat tersebut yang terdapat di dalamnya orang-orang saleh dan sebaliknya. Ini dengan peringatan bahawa “Jalihi” tidak semestinya kafir dengan dalil “Sesungguhnya di dalam engkau ada jahiliyah” (Hadis), sabda Nabi s.a.w kepada seorang sahabat hebat bernama Abu Dzar yang marah lalu mengejek Bilal sebagai anak wanita kulit hitam. Mereka yang tidak faham akan mengatakan Sayyid Qutb mengkafirkan orang-orang Islam yang berada di dalam negara-negara yang tidak lagi diperintah di bawah sistem Islam.

Ideologi mengkafirkan umat Islam sama ada secara individu atau secara borong dengan alasan mereka atau umat “redha berada di bawah sistem atau undang-undang yang bukan Islam” masih lagi dipakai oleh beberapa kumpulan Islam seperti Tanzim Jihad, sebahagian Tanzim Al-Qaeda dan seumpamanya. Oleh itu kedapatan mereka tidak makan lauk ayam dan daging di restoran-restoran awam sebaliknya makan lauk tersebut daripada sembelihan sendiri atau sembelihan rakan-rakan seperjuangan. Mereka ke masjid tetapi tidak bersolat bersama imam, bahkan bersolat sendirian di bahagian belakang masjid, atau ramai di kalangan mereka yang tidak ke masjid dan memilih untuk solat di rumah. Ini adalah kerana aqidah penyembelih atau imam solat dipertikaikan oleh mereka. Iktiqad atau kepercayaan seperti ini boleh sampai ke kemuncaknya dengan menghalalkan darah dan pembunuhan seperti yang dilakukan oleh sebahagian mereka yang mengebom tempat awam seperti sekolah dan pejabat seperti letupan-letupan di Iraq hari ini, dengan hujah masyarakat redha dengan pemerintahan Penjajah Amerika dan sistem Demokrasi yang diperkenalkan lalu masyarakat menjadi kafir.

memali_baling

Tragedi Memali, Kg. Memali, Baling, Kedah 1985.

memali

Al-Marhum Ustaz Ibrahim (bawa dan kiri sekali) bersama 13 sahabatnya ahli PAS ditembak mati oleh polis Malaysia pada tahun 1985 dizaman pemerintahan Dr Mahathir. Ketika itu Anwar Ibrahim baru beberapa tahun meninggalkan ABIM dan menyertai UMNO.

Adapun terhadap individu-individu (syakhsiyah iktiyadiyah) Imam Hasan Al-Banna menggariskan dengan jelas dan lebih awal beberapa dekad sebelum gejala seperti ini berlaku dengan mengemukakan Usul 20 berbunyi : “Kita tidak mengkafirkan seseorang Islam yang berikrar dengan Dua Kalimah Syahadah, mengamalkan tuntutan-tuntutannya dan menunaikan amalan-amalan fardhu (hanya) kerana pandangan atau maksiat (yang ditunjukkan olehnya) melainkan sekiranya dia :

  • Berikrar dengan kalimat Kafir (mengakui kafir), ATAU
  • Ingkar terhadap sesuatu perkara yang Maklum Minad Deen bid Darurah (diketahui ramai secara melata seperti kewajipan solat 5 waktu), ATAU
  • Atau mendustakan ayat-ayat Al-Quran yang jelas, ATAU
  • Menafsirkan Al-Quran yang lari jauh dari makna Bahasa Arab yang sebenar, ATAU
  • Melakukan sesuatu amalan yang tidak boleh lagi ditafsirkan selain “Kafir”.

Ungkapan Imam Hasan Al-Banna dalam Usul 20 ini menjadi ketara kepentingannya apabila Presiden Jamal Abdul Nasir mengambil alih pemerintahan dan mengumumkan perang terhadap jemaah Ikhwan Muslimin mulai tahun 1954. Ribuan pimpinan dan anggota jemaah tersebut dipenjara dan disiksa. Ramai pimpinan yang dipenjara sehingga 20-25 tahun. Sebilangan mereka dihukum gantung sampai mati seperti Sayyid Qutb dan seangkatan dengannya. Ada seorang yang menyebut nama “Allah” apabila dirotan lalu yang merotan berkata, “Di mana Tuhan engkau, aku nak rotan dia”.

Penderitaan di dalam penjara menyebabkan ramai yang berbeza pandangan terhadap status akidah rejim yang menindas mereka, adakah masih Islam atau kafir.

Mursyid Am, Al-Marhum Mustafa Masyhur menceritakan bahawa perbezaan pandangan mereka di dalam penjara sehingga menyebabkan mereka berpecah dan bersolat sebanyak 7 jemaah berlainan imam. Mursyid Am ketika itu, Imam Hasan Al-Hudhaibi menulis buku “Duat la Qudat” (Kita hanyalah Pendakwah-pendakwah dan bukan Hakim-hakim) menguatkan lagi Usul 20 yang digariskan oleh Imam mereka, Imam Hasan Al-Banna.

Setelah lebih 20 tahun disiksa di dalam penjara, pimpinan dan ahli Ikhwan Muslimin berjaya berpegang teguh dengan fikrah Ikhwan yang digariskan oleh Hasan Al-Banna iaitu tidak sewenang-wenangnya mengkafirkan orang lain tanpa dalil yang kuat. Bahkan Mursyid Am Kedua menegas dan mengajak para Ikhwan agar berpada menjadi pendakwah-pendakwah di jalan Allah, dan bukan menjadi orang-orang yang menghukum aqidah orang lain. Dengan ini Ikhwan Muslimin terus berkembang menuju matlamat dan menjadi penyelamat kepada umat.

albanna-01

Imam Hasan Al-Banna, penulis Usul 20.

Mereka yang sezaman dengan saya dalam arus kebangkitan Islam di Malaysia tahun 1980-an akan bersetuju bahawa isu kafir mengkafir ini banyak mempengaruhi masyarakat ketika itu lebih-lebih lagi yang berminat kepada gerakan Islam. Ramai pimpinan-pimpinan gerakan Islam hari ini mengenang zaman lampau dimana mereka tidak makan sembelihan orang-orang UMNO. Ketika saya melangsungkan perkahwinan di Australia pada 25.6.1985, saya sangat mengambil berat agar saksi-saksi akad nikah saya nanti bukan orang yang diragui akidahnya. Oleh sebab itu saya segera meminta agar Abdul Mon’iem Al-Hessady, seorang Ikhwan dari Libya yang sedang membuat PhD di universiti yang sama dengan saya agar menjadi salah seorang saksi, takut akad nikah tak sah atau sekurang-kurangnya boleh dipertikaikan jika aqad tersebut bersaksikan sebarangan orang Melayu dari Malaysia!

Sebagaimana Al-Quran yang mujmal (ringkas) sukar difahami melainkan dengan penjelasan terperinci (mubayin) dari hadis, Seerah dan perjuangan Rasulullah s.a.w, bagitu jugalah saya yakin bahawa fikrah dan perjuangan yang dibawa oleh Imam Hasan Al-Banna ini tidak boleh difahami hanya melalui pembacaan tulisan-tulisan beliau, akan tetapi ia difahami dengan melihat sendiri bagaimana fikrah tersebut difahami dan diperjuangkan oleh pimpinan-pimpinan dan generasi-generasi selepas beliau tiada. Fikrah dan perjuangan menjadi lebih jelas apabila saya mengikuti pentarbiyah dan kehidupan sepanjang saya berada selama 8 tahun di Mesir. Di samping usrah mingguan, qiyam, rehlah, mukhayyam dan wasail (modul-modul) tarbiyah yang lain, Khutbah Jumaat Ikhwan setiap Jumaat di Masjid Ar-Ridwan, Hayyu Sabiek dan Kuliah Mingguan di Masjid Al-Fatah, Umar Afandi banyak merubah persepsi Dakwah ke dalam diri saya.

Jika di Malaysia dahulu, ceramah-ceramah umum lebih berbau politik, kebencian, kafir dan seumpamanya, akan tetapi khutbah dan ceramah Ikhwan mengingatkan akhirat, tanggungjawab diri, keluarga dan negara, menjauhi maksiat dan penyelewengan dan seumpamanya. Mendengar ceramahnya mendorong hati dan jiwa mencintai semua lapisan masyarakat dan berusaha mentautkan apa yang jauh, memaafkan apa yang tersilap, menyatukan apa yang berpecah, saling menguatkan apa yang lemah. Saya amat percaya, perjalanan tarbiyah dan kehidupan yang dilalui sepanjang Mesir seperti diatas telah banyak mencorak ramai pimpinan dan para murabbi (pendidik) seangkatan dan sezaman dengan saya yang melalui proses yang sama. Kerana itu lahirnya slogan “Melayu Sepakat Islam Berdaulat”.

Dewasa ini ramai yang mula sedar perihal pentingnya umat Melayu Islam bersatu dan menjadi kuat semula, jika tidak bersatu pada organisasi, setidak-tidaknya bersatu duduk dan bersepakat dalam beberapa agenda kepentingan bersama. Saya percaya sedikit masa lagi kesedaran tersebut akan lebih melata dan akan melepasa batasan prasangka politik kepartaian, namun begitu mempelopori kesedaran tersebut berhajat kepada sekelompok manusia yang benar-benar telah melalui pentarbiyahan lalu menjiwainya dengan hati dan ruh, bukan mereka yang telah sedar tetapi masih pola pemikiran dan modus operandinya diikat dengan formula percaturan politik kepartaian yang lama dan terbukti gagal. Ia suatu perjalanan yang panjang. Hanya para Du’at yang menjiwai dengan sepenuh hati dan ruh sahaja yang mampu melalui jalan yang jauh dengan stamina yang panjang. Adapun selain mereka, hanya mampu bercakap ketika di pangkal jalan tetapi kecundang dipertengahannya dek kerana kesamaran halatuju atau tawaran habuan yang mendatang.

Kesimpulan atau pandangan yang dapat saya kemukakan adalah :

  1. “Amanat Hadi (1981)” ada menyumbang kepada kesedaran akidah umum dizaman tersebut dalam berhadapan dengan golongan Liberal ketika mana fenomena wanita memakai tudung baru bermula lalu dipersindirkan, sebutan ke arah penegakkan “Negara Islam” baru kerkumandang lebih-lebih lagi dalam berhadapan dengan tokoh-tokoh dan mereka yang mempersendakan agama dan perlaksanaan Syariat Islam seperti “melaksanakan Islam negara tak maju”, “jika direjam orang yang berzina, maka habislah batu-batu yang nak digunakan buat jalanraya”..dan seumpamanya.
  2. “Amanat Hadi (1981)” yang memerlukan perincian yang lebih mendapat dan teliti, yang sepatutnya didisiplinkan dengan Usul 20 Imam Hasan Al-Banna telah difaham secara ringkas, mudah dan tersasar ramai orang teruatama ahli-ahli tegar PAS lalu terjebak didalam gejala Takfir (kafir mengkafir) atau cenderung kepadanya dengan munculnya fenomena menghukum keIslaman individu seseorang (syakhsiyah iktiyadiyah), tidak makan sembelihan, solat lain imam sehingga fenomena mengangkat senjata. Ia juga menyebabkan harapan murni kearah mencapai kesepakatan sesama Islam menjadi lebih buntu.
  3. Setelah berinteraksi dengan pimpinan Ikhwan di luar negara dan perkembangan ijtihad politik semasa, PAS dan Usaz Hadi sendiri telah banyak membuat anjakan paradigma termasuk bertahaluf dengan DAP yang terang-terang menentang perlaksanaan Syariat Islam seperti kenyataan umum pimpinannya dan mahukan Malaysia yang sekular seperti yang terkandung dalam perlembagaannya.
  4. Adalah wajar “Amanat Hadi (1981)” ini ditarik semula oleh beliau supaya (i) Kefahaman dan tindakan ahli-ahli PAS yang terjebak atau cenderung kepada “Takfir” dapat dipulihkan atau dibendung, dan (ii) Salah satu tembok penghalang kepada kesepakatan umat Islam di Malaysia dapat dirobohkan. Dengan ini panduan ayat Allah s.w.t, “Muhammad adalah Rasul Allah. Dan orang-orang yang bersamanya sangat tegas terhadap orang-orang kafir, berkasih sayang sesama mereka” (Al-Quran).
  5. Kita sedia maklum diantara penghalang kepada kesepakatan umat Islam di Malaysia selain dari peta politik pepartaiana, adalah doktrin yang tertanam didalam fikiran. Bertegas terhadap ajaran Syiah atau pengaruh Iran di dalam PAS kerana jika Amanat Hadi antara lain bertujuan untuk memelihara aqidah umat seperti dakwaannya, maka dalam isu Syiah atau Iran adalah sepatutnya lebih bertegas lagi.
  6. Mengajak UMNO kepada perubahan diri dan jatidiri ke arah Islam sejati sebagai strategi utama memenangi undi, dan bukan bergantung hanya semata-mata kepada perpecahan pihak lawan sebagai harapan untuk memenangi Pilihanraya. Ia harus dibuktikan dengan amal dan contoh teladan, bermula pada diri dan keluarga, dan bukan dengan kata-kata dan janji.
  7. Walaupun PRU13 semakin hampir, lalu sebahagian pembaca lebih cenderung membuat tafsiran politik dalam isu “Amanat Hadi”, namun ia harus dilihat lebih jauh dan lebih luas dari itu yang bersangkut asas ilmiah dan kepentingan umat itu sendiri. Usaha memberikan penjelasan tatkala isu ini dihangatkan oleh media, adalah lebih kuat dapat menjernihkan kefahaman sebilangan masyarakat yang telah lama memahami amanat tersebut secara salah atau melampau, tanpa perlu ditakuti akan dibuat tafsiran politik oleh sebilangan pembaca.

“Ya Allah, tunjukkan kepada kami Kebenaran itu sebagai kebenaran dan Kebatikan itu sebagai kebatilan”. Ameen.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *