Amaran kepada Suaram: Jangan pertikai perkara yang telah dipersetujui

uitm3

BANGI, 3 Jun – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memberi amaran kepada pertubuhan liberal, Suaram agar tidak mempertikaikan perkara yang telah dipersetujui bersama sejak dahulu lagi.

Naib Presiden 2 ISMA, Tuan Haji Abdul Rahman Mad Dali berkata, kedaulatan agama Islam dan kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera telah diakui dalam sejarah persefahaman antara kaum.

“ISMA memberi amaran kepada Suaram dan pertubuhan liberal yang lain agar tidak mempertikaikan perkara yang sudah lama dipersetujui. Kalau kita tak beri amaran, nescaya banyak lagi isu seperti UiTM, MARA malah institusi raja-raja pun mereka akan minta dihapuskan berdasarkan hujah-hujah kesamarataan dalam perjuangan hak asasi manusia yang ditaja oleh barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Suaram yang mahu polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dimansuhkan kerana hanya membenarkan orang Melayu dan bumiputera melanjutkan pengajian di universiti itu.

Katanya, beliau pelik dengan kenyataan tersebut dan merasakan wujud motif lain yang mendorong pertikaian itu dibuat.

“Saya berasa pelik kerana mereka seolah-olah baru sahaja mengenali konsep negara dan saya lihat mereka ada motif lain iaitu mahu menukar identiti negara,” katanya kepada wartawan ISMA.

Beliau menambah, Suaram sepatutnya memahami tujuan UiTM ditubuhkan.

“Kerajaan telah menubuhkan UiTM untuk membangunkan orang Melayu dan itu adalah hak orang Melayu. Ia telah diterima oleh semua pihak seperti mana bangsa Cina dan India mendapat hak kewarganegaraan,” ujar beliau.

Katanya lagi, Malaysia mempunyai cara tersendiri dalam mentadbir negara yang berbilang kaum. Justeru undang-undang luar seperti konvensyen antarabangsa tidak terpakai sepenuhnya dalam negara ini.

“(Konvensyen) PBB bukan kiblat kita. Mana yang selari dengan Islam kita terima, mana yang bercanggah kita tolak. Malaysia sudah pun diakui terbaik dalam mentadbir negara yang berbilang bangsa. Tidak ada isu mengapa UiTM perlu menukar polisi,” ujarnya lagi.

Oleh itu, katanya ISMA menyeru pihak-pihak lain agar mempertahankan perlembagaan persekutuan yang mencerminkan identiti negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan menjaga kedudukan hak istimewa bangsa Melayu dan bumiputera.

Minggu lalu sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan Pengarah Suaram mahu polisi UiTM yang hanya menerima pelajar Melayu dan bumiputera dimansuhkan sambil menyifatkan polisi itu telah mendiskriminasi kaum lain dan ia bercanggah dengan konvensyen PBB berkaitan penghapusan semua jenis diskriminasi kaum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *