Anak Malaysia?

Seorang lelaki India berkahwin dengan seorang wanita Cina, lahir anak dan nak letakkan status bangsa ‘anak Malaysia’, ini adalah antara isu semasa yang dibincangkan orang pada minggu lepas dan berlarutan sehingga ke minggu ini. Pelbagai reaksi diterima; di antara yang menyokong dan menolak.

Pandangan saya:

1. Ada perbezaan di antara maksud perkataan ‘kaum’, ‘ras’, ‘etnik’, ‘suku’ dan ‘bangsa’. Perbincangan berkenaan perbezaan maksud perkataan-perkataan ini panjang dan tidak mampu untuk disimpulkan di dalam ruang yang pendek ini. Ianya menjadi agak rumit untuk dibincangkan; antara lain kerana setiap fasa sejarah menyaksikan penggunaan perkataan ini dalam bentuk yang berbeza-beza. Juga kerana setiap perkataan itu diambil dari bahasa-bahasa luar yang mempunyai makna tersendiri. Etnik berasal perkatan ‘ethnos’ dari bahasa Yunan, kaum berasal dari perkataan ‘qoum’ dari bahasa Arab, bangsa berasal dari perkataan ‘wangsa’ dalam bahasa Sanskrit.

2. Secara ringkas dan mudah ada yang mentakrifkan perkataan-perkataan di atas seperti berikut:

  • Etnik bermaksud sekumpulan manusia yang mempunyai persamaan sejarah, nilai, sikap dan tingkahlaku.
  • Ras bermaksud sekumpulan manusia yang mempunyai persamaan fizikal di mana tanda fizikal ini boleh dijadikan pengenalan diri kumpulan tersebut.
  • Suku bermaksud kelompok dalam masyarakat yang membentuk rumpun bangsa.
  • Bangsa bermaksud sekumpulan manusia yang terbentuk berasaskan ras/etnik atau lain-lain, mereka diikat dengan satu kerelaan untuk bekerjasama, bersatu bahasa, wilayah, budaya, sejarah atau mungkin juga agama.

Ada pentakrifan yang lebih baik dari ini, tetapi untuk tujuan menyatakan kerumitan pentakrifan cukuplah ianya diterangkan demikian.

3. Apabila nak diletakkan status bangsa ‘anak Malaysia’ ia akan jadi sedikit perbincangan kerana ‘bangsa’ itu sendiri tidak disepakati apakah maksudnya.

4. Adakah ia bermaksud keturunan? Jika itu maksudnya, ia mesti merujuk kepada ‘bangsa’ asal ibu bapanya. Penggunaan dalam negara, banyak merujuk maksud bangsa kepada keturunan atau kaum. Sebab itu bila saya lihat borang pendaftaran UPSR, ruang yang ada hanyalah keturunan dan agama. Tidak ada ruang kaum atau etnik atau bangsa.

5. Atau adakah yang dimaksudkan dengan ‘bangsa’ itu adalah takrif bangsa seperti di dalam kajian berkenaan pembinaan negara bangsa (nation state)? Jika itu maksudnya, tidaklah timbul isu kerana semua warganegara Malaysia adalah ‘orang Malaysia’. Ia diiktiraf oleh perlembagaan dan ditulis di dalam MyKad dan pasport. Nationality dan nation ditakrifkan sebagai bangsa di dalam disiplin kajian negara bangsa. Dengan itu permohonan untuk menjadi ‘bangsa Malaysia’ atau ‘anak Malaysia’ sudah pun diperolehi secara otomatik dan didokumenkan sebagai tanda pengenalan diri yang sah. Permohonan itu adalah satu yang tidak perlu.

5. Saya tidak dapat mengandaikan bahawa mereka memang ingin memadamkan nama kaum/etnik/keturunan mereka dengan permohonan itu. Ini kerana kaum Cina terutamanya amat menjaga nama keluarga dan keturunan. ‘Sekali menjadi Cina, selama-lamanya akan menjadi Cina’. Mereka juga sebelum ini mempertahankan sekolah aliran vernakular dan tidak mahu budaya dan bahasa kaum mereka lenyap dengan sistem pendidikan kebangsaan. Sebahagian dari mereka bertutur baik di dalam Bahasa Melayu tetapi sebahagiannya tidak begitu dan tidak kisah pun jika mereka tidak boleh bertutur dengan baik di dalam Bahasa Melayu. Bukankah Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan bagi ‘bangsa Malaysia’? Jika mereka sebelum ini tidak mahu sekolah mereka, budaya mereka, nama keluarga mereka dan bahasa mereka diubah, mengapakah kali ini mereka mahu memadamkan nama keturunan mereka di dalam pendaftaran sijil lahir?

….. dan dengan campurtangan orang politik, niat dan tujuan permohonan itu makin dicurigai.

Rabbuna yastur …..

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden II
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Satu Perkongsian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *