Antara nikmat yang halal dan haram

Selasa lepas, isteri, Nazihah, ada temujanji dengan doktor untuk pemeriksaan kandungan bulanan. Paknap tak sempat pula nak bawa disebabkan waktu temujanji adalah pada pukul 2 petang dan ada urusan penting di pejabat.

“Assalammualaikum, macam mana tadi check-up? Doktor kata apa tentang baby?,” Soalku melalui telefon pejabat dengan nada yang cukup perlahan.

“Doktor kata ok. Baby sihat dan normal cuma dia kata saiz perut baby tu kecik sket. Dia suruh makan banyak daging,” Ulas isteri.

“Owh, ya ka? Tak apalah kalau macam tu. Lepas ni kita beli banyak daging,” Balas saya dengan penuh perhatian agar saya tidak lupa untuk belikan daging lembu sebagai lauk isteri yang semakin sarat. Saya lebih gemar ikan dan selalunya kami akan banyak makan ikan berbanding daging. Namun, kesihatan isteri dan anak perlu diutamakan.

“Abang, takut la tadi Nazihah dengar ada orang perempuan yang sebelum Nazihah menjerit kuat sangat. Lepas tu, dia keluar dengan kain berdarah banyak sangat. Nampak ada nurse bawa bekas and dalam bekas tu ada benda yang ditutup dengan kain warna hijau,” Sambungnya menceritakan pengalaman barunya. Dia dan ukhti Iffah yang menemaninya memang sudah mula meremang ketakutan dan menganggarkan ia adalah kes pengguguran anak.

Meneliti dari kisah yang diceritakan, Paknap rasakan memang berkemungkinan besar itu adalah kes pengguguran anak.

Cara pengguguran anak curettage.

Embryotomy, sungguh kejam!

Waktu menunjukkan pukul 5.30 petang, Paknap cepat-cepat bersiap sedia untuk solat dan terus mencari ruang dalam bilik stor untuk menunaikan solat Maghrib. Selesai solat fardhu dan ba’diah, Paknap meluru ke meja dan menunggu masa untuk turun makan bersama dengan seorang Senior Manager.

“…Just now my wife told me she heard a shout by a woman and she assumed that was an abortion case.” Ucap Paknap dalam Bahasa Inggeris kepada senior manager.

Paknap lanjutkan perkongsian tentang isu pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi di Malaysia. Anak luar nikah dibuang kerana masyarakat Malaysia tidak menerima anak luar nikah dan ia amat memalukan bagi masyarakat di Malaysia. Lantas, dia menceritakan benda tu berlaku di sini juga. Tetapi ada institusi yang bertindak untuk melindungi anak-anak luar nikah tersebut, iaitu gereja yang diselenggara oleh pastor gereja tersebut. Namun, dia menceritakan tindakan pastor tersebut bagi membiayai anak luar nikah dibantah oleh kerajaan dan institusi gereja tersebut tidak mendapat sebarang bantuan kerajaan. Mereka hanya bergantung kepada sesiapa yang ingin menyumbang perbelanjaan pengurusan anak-anak luar nikah tersebut.

Sistem yang dipakai dinamakan baby box. Anak luar nikah yang tidak ingin dijaga oleh si ibu ataupun anak yang cacat yang tidak diingini oleh ibu bapa akan diletakkan dalam satu kotak di pintu depan gereja tersebut. Pengesan akan memaklumkan pihak gereja apabila ada bayi yang diletakkan dalam kotak tersebut. Pastor atau nun akan turun mendapatkan bayi tersebut. Sistem ini sudah diperkenalkan di negara-negara Eropah seperti Republic Czech dan Jerman serta beberapa negara yang lain. Namun, tindakan sebegini yang diambil oleh gereja dibantah oleh sesetengah kerajaan.

Baby box yang dibuat khas untuk letak bayi.

Pernah tengok cerita “The Hunchback of Notre Dame”? Haa.. macam itulah si ibu tersebut meninggalkan anak luar nikah di gereja. Cuma sistem di sini ada kotak khas dan si ibu yang meninggalkan perlu menyatakan tarikh bayi tersebut dilahirkan.

Kadar anak luar nikah dan kes pengguguran di Korea Selatan

Hasil amatan dan kajian saya dalam masa yang terhad ini, apa yang saya dapati adalah :

  • Menurut satu statistik yang dibuat, pada tahun 1995, terdapat seramai 90,000 isi rumah (household) adalah ibu yang tidak berkahwin (unmarried mother). Pada tahun 2000, jumlah tersebut meningkat kepada 120,000 dan meningkat melebihi 130,000 pada tahun 2005. Dianggarkan pada tahun 2010, hampir lebih 1.5 juta isi rumah adalah keluarga tunggal (single family, termasuk yang bercerai dan lain-lain).
  • 48% dari kalangan ibu yang tidak berkahwin, memilih untuk menggugurkan anak mereka manakala 53% lagi memilih untuk menjaga anak tersebut. Namun, dari 53% tersebut, 34% membuat keputusan untuk meletakkan anak tersebut kepada pusat-pusat jagaan kerana masalah kewangan, 30% kerana bimbang masa depan anak tersebut, 10% kerana berasa masih muda untuk menjadi ibu. Selebihnya membuat keputusan untuk menjaga sendiri kerana sifat kemanusiaan, rasa berdosa meletakkan anak tersebut di pusat-pusat jagaan dan merasakan anak tersebut adalah anaknya dan perlu bertanggungjawab.
  • Menurut statistik Kementerian Kesihatan, Kebajikan dan Keluarga Korea, pada tahun 2009, kadar kelahiran adalah seramai 446,500 bayi manakala 340,000 adalah kes pengguguran. Ini menunjukkan nisbah anak yang digugurkan dengan anak yang dilahirkan adalah 3:4
  • Cara yang diguna pakai untuk menyelesaikan masalah anak luar nikah melalui perspektif golongan liberal mahupun yang tidak bertunjangkan agama wahyu ini ialah : MENERAPKAN PENDIDIKAN SEKS YANG SELAMAT

Pengajaran dari realiti semasa

Melihat kepada isu sebegini, kita boleh simpulkan beberapa perkara:

  • Isu zina mahupun perlakuan seks sebelum nikah amatlah berleluasa dan merebak ke seluruh dunia. Perhatikan sahaja isu ini samada di Amerika Syarikat, negara-negara Eropah mahupun negara-negara maju di sebelah Timur seperti Jepun dan Korea. Kini, ia menular serba sedikit ke dalam negara-negara ummat Islam.
  • Isu anak luar nikah atau zina bukanlah isu remeh-temeh tetapi isu yang akan merosakkan sesebuah masyarakat mahupun tamadun kerana anak yang lahir adalah anak tidak sah taraf.
  • Ruang lingkup pemikiran secara liberal akan membuatkan kita membiarkan masalah ini merebak cepat dalam masyarakat kita. Oleh itu, perlu ada sikap peduli terhadap kemajuan ummat.
  • Menjadi tanggungjawab semua pihak terutamanya aktivis Islam, NGO Islam, badan-badan serta organisasi Islam untuk memberi fokus kepada asas tarbiah (pendidikan) yang berteraskan Al-Quran & Sunnah dengan kukuh dan membina kembali jati diri anak bangsa mereka.
  • Sistem kekeluargaan yang benar-benar mempunyai agenda sahaja dapat kekal sebagai institusi yang kukuh serta sebagai benteng dari pelbagai ancaman yang bahaya sebegini.

Buat pemuda pemudi di luar sana khusunya anak bangsa sendiri yang beragama Islam….

Hati-hatilah dalam memulakan langkah kalian agar tidak terjerumus dalam masalah zina yang semakin berleluasa di akhir zaman ini. Zina bukan sahaja setakat memburukkan maruah keluarga bahkan merosakkan masa depan kita serta anak yang dilahirkan.

Pastikan kalian berada di jalan yang selamat dan jangan membuka ruang kepada pintu-pintu yang akan membawa kepada kancah penzinaan terutamanya mereka yang sudahpun memulakan hubungan cintan-cintun di saat ini. Saya ingatkan buat kalian supaya berfikir panjang dan amatilah apa yang kalian inginkan dalam kehidupan ini. Kita sebagai seorang Muslim sudahpasti ada agenda tersendiri yang Allah SWT telah letakkan pada setiap bahu kita.

Ada beberapa usaha yang kita boleh ambil dalam membina benteng diri ialah :

  • Kurangkan masa duduk berseorangan dan urus masa dengan sebaik mungkin.
  • Budayakan meletakkan misi dan visi samada harian, mingguan, tahunan mahupun hidup.
  • Sentiasa memeriksa hati dan akhlak kita. Akhlak yang merangkumi lintasan hati, pertuturan serta perbuatan kita.
  • Tidak lalai dan alpa tentang urusan solat dan melaksanakan solat dengan cara yang terbaik iaitu secara berjemaah.
  • Mendekati orang-orang yang baik dan soleh serta berkongsi masalah dengan mereka yang dipercayai (tsiqah).
  • Menghadiri sebarang program yang bermanfaat dari segi syara’ dan sentiasa berazam untuk memberi sumbangan dalam apa jua bentuk samada berbentuk ilmiah mahupun sukan.
  • Membudayakan pergaulan yang terjaga dan tidak melanggar batas syara’.

Semoga Allah memberi kekuatan buat kita untuk membina generasi yang celik serta mempunyai jati diri yang mampu mengharungi cabaran semasa yang semakin bobrok. Persiapan kita menghadapi hari kebangkitan.

“Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?”. Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya. Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” Surah Al-Zalzalah : 1-8

Wallahu a’lam.

Ahnaf bin Abdul Qais
Pengerusi ISMA Korea Selatan
Blog: PakNap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *