Artikel bersiri (1)

Kenapa Kita Memerlukan Kepada Tarbiyyah?

Ramai orang mengetahui bahawa ilmu adalah penting tetapi kebanyakan mereka tidak rajin membaca dan belajar. Ramai orang mengetahui bahawa ilmu yang tidak diamalkan ibarat pokok yang tidak berbuah tetapi masih ramai yang tidak beramal dengan ilmunya. Ramai orang mengetahui tentang besarnya ganjaran menyampaikan ilmu tetapi masih ramai yang tidak menyampaikannya. Semua orang mengetahui bahawa semua amalan perlu ikhlas tetapi jarang sekali kita lihat tanda-tanda orang yang benar-benar ikhlas.<!–more–>

Dari sini saya dengan tidak ragu-ragu lagi menegaskan bahawa untuk memastikan semua sudut ilmu pengetahuan yang dimiliki itu dapat diamalkan dalam kehidupan kita ini dengan sempurna, tidak dapat tidak kita memerlukan kepada proses didikan dan pentarbiyahan yang menyeluruh lagi berterusan. Proses ini perlu untuk menundukkan hawa nafsu syaitan yang sentiasa mengajak kepada keburukan disamping terus memantapkan ilmu pengetahuan, iman dan amal dalam kehidupan kita secara praktikal bukan slogan semata-mata.

Oleh itu jika terdapat ibubapa atau guru-guru yang sedar hakikat ini lantas cuba mengadakan aktiviti tarbiyyah tambahan dari yang sedia ada, samada bahagian kurikulum atau ko-kurikulum, akademik atau kerohanian maka hendaklah kita menyambut baik aktiviti tersebut kerana ianya lebih terjamin keberkesanannya dalam menampung dan mengisi keperluan setiap individu sehingga menjadi insan cemerlang di dunia dan di akhirat insya Allah sejajar dengan doa yang sering kita ulang-ulangkan “Ya Allah Ya tuhan kami berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan di akhirat”.

Sudah menjadi sunnatullah, perkembangan manusia ini melalui peroses ibu bapa dan tanggungjawab kekeluargaan. Allah mentakdirkan kebiasaan ibu bapa mampu melahirkan bilangan anak dengan kadar yang kecil supaya sesuai dengan tanggungan yang perlu diberikan oleh setiap ibu bapa kepada anak anak tersebut. Ibu dan bapa adalah pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkembangan semua sudut keperluan anak-anaknya daripada sudut jasmani, rohani dan mentalnya supaya anak-anaknya berkembang menjadi insan yang sempurna seperti yang dikehendaki oleh Allah penciptanya.

Ibu bapa telah menyedari tanggungjawab ini dan menyedari tentang ketidak mampuan mereka menjalankan semua tanggungjawab tadi dengan sebab-sebab tertentu. Oleh itu merekapun bertidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah dengan harapan bahawa keberterusan tanggungjawab tersebut akan berjalan.

Jika kita lihat dengan penghantaran anak-anak ke sekolah juga didapati anak-anak masih lagi tidak dapat menguasai semua perkara asas yang perlu dengan sebab-sebab kekangan masa, tenaga dan seumpamanya. Maka di atas dasar inilah golongan ibu bapa dan guru-guru yang sedar dan mempunyai ilmu berasa bertanggungjawab untuk bertindak menjadi golongan murabbi yang ketiga selepas ibu bapa dan guru dengan mewujudkan aktiviti tarbiyah seperti yang kita lakukan sekarang ini.

Soalan:

  1. Berdasarkan teks ini apakah yang diperlukan untuk menjamin ilmu yang dimiliki oleh sesaorang itu dapat diamalkan dengan baik dan sempurna?
  2. Sebutkan antara tujuan didikan atau tarbiyah yang anda dapat mengesani di sini?
  3. Bolehkah anda berikankan contoh-contoh aktiviti tambahan yang dimaksudkan di sini?
  4. Jelaskan satu contoh sunnah Allah yang dinyatakan dalam tajuk ini.
  5. Kenapakah Allah S.W.T mentakdirkan seorang ibu/bapa itu mampu melahirkan anak dalam bilangan yang kecil sahaja kebiasaannya tidak melebihi 10 orang?
  6. Jelaskan ruang tanggungjawab ibu/bapa kepada anak-anaknya.
  7. Kenapakah ibu/bapa bertindak menghantar anak-anaknya ke sekolah (tempat pengajian) tidak mereka sendiri mengajarnya?
  8. Adakah dengan penghantaran anak-anak ke tempat pengajian telah cukup untuk memenuhi semua keperluan mereka?

Ditulis oleh: Ustaz Yahya bin Nayan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *