Banyak Kes Keganasan Pada Wanita Tak Dilapor Di Kedah – Suraya

suraya-yaacob

ALOR SETAR – Banyak kes keganasan terhadap wanita di Kedah tidak dilaporkan berikutan kurangnya kesedaran masyarakat terutamanya golongan wanita itu sendiri mengenai konsep sebenar keganasan.


Exco Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata ramai tidak memahami soal keganasan terhadap wanita selain bimbang pandangan negatif masyarakat.

“Keganasan bukan hanya dari aspek fizikal tetapi juga melibatkan keganasan secara emosi seperti cacian dan tohmahan terhadap mereka,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Kempen 90 Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015 semalam.

Beliau berkata bagi memastikan wanita tidak bersendirian dalam menghadapi isu ini, mangsa boleh mendapatkan rawatan komprehensif dan berpusat di 129 One Stop Crisis Centre (OSCC) di hospital-hospital kerajaan seluruh negara.

Di Kedah, kata Suraya, terdapat dua OSCC iaitu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, yang menempatkan pegawai-pegawai wanita bagi membantu mangsa.

Beliau berkata sebelum ini kebanyakan wanita berhadapan kes keganasan malu ke balai polis atau hospital kerana pengendali kes mereka terdiri daripada golongan lelaki.

Tetapi, katanya, dengan adanya kaunter OSCC ini, mangsa boleh membuat laporan polis, menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan khidmat kaunseling hanya di satu lokasi berpusat dengan bantuan pegawai wanita.

Terdahulu beliau melancarkan Konvoi ‘Eliminate Violence Against Women (EVAW)’ peringkat negeri ke Bukit Kayu Hitam, terdiri daripada kakitangan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan polis.

Katanya pelbagai inisiatif dijalankan bagi memberi kesedaran tentang isu keganasan terhadap wanita menerusi penganjuran seminar kepekaan jantina, Literasi Undang-undang dan Wanita Anti Jenayah.

Seminar ini tidak hanya tertumpu kepada golongan wanita sahaja sebaliknya pendedahan turut diberi kepada golongan lelaki supaya kes keganasan terhadap wanita dapat dihentikan, katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *