Barah: kesan awal sebelum parah

Encik K, seorang perokok tegar dari Sungai Petani mengadu tidak selesa di bahagian tekak dan suaranya berubah ’hoarseness’ selama lebih 3 bulan. Beliau telah 2 kali berjumpa dengan doktor di klinik kerajaan. Beliau didiagnos sebagai laryngitis dan diberikan antibiotik. Oleh kerana simptomnya masih tidak berubah, beliau berjumpa dengan Pakar Hidung, Telinga dan Tekak ( ENT) di hospital swasta. Pemeriksaan scope dan CT scan menunjukkan barah pada peti suara pada tahap 3 dan beliau dirujuk ke jabatan ENT Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Puan Z mendapati terdapat ulser pada bahagian kiri tepi lidah selama 4 bulan. Ulser tersebut tidak sakit, tetapi kadangkala berdarah dan membesar secara beransur-ansur. Beliau berjumpa dengan doktor di klinik swasta dan kerajaan sebanyak 3 kali namun hanya diberikan ubat kumur dan antibiotik. Risau dengan keadaan ulser yang semakin membesar dan mula mengalami bengkak di leher, beliau bertegas supaya doktor pesakit luar merujuknya ke klinik pakar untuk rawatan lanjut. Pemeriksaan di klinik ENT mengesahkan beliau mengidap barah lidah pada tahap 4.

———-

Itulah di antara secebis kisah benar yang ingin saya kongsikan selama lebih 10 tahun bergelumang di dalam bidang rawatan barah ENT di Kedah. Saya mempunyai banyak kes-kes kelewatan kes barah yang dirujuk ke klinik kami.

Sebelum saya menulis lebih lanjut, izinkan saya menjelaskan tentang tahap-tahap barah. Secara umumnya, barah dibahagikan kepada 4 tahap: tahap 1 dan 2 adalah tahap awal barah (early stage) dan tahap 3 dan 4 adalah tahap lewat barah (advanced stage).

Kelewatan pesakit barah bertemu dengan doktor pakar di bahagikan kepada 2 jenis. Pertamanya dinamakan sebagai ’Patient delay’ atau disebabkan oleh pesakit. Antara sebab kelewatan kategori ini adalah kerana kegagalan pesakit mengenali gejala-gejala awal barah, kesukaran mendapatkan rawatan pakar dan peranan yang dimainkan oleh perubatan alternatif atau bomoh. Pengalaman kami di Kedah menunjukkan rata-rata pesakit barah akan berjumpa dengan beberapa orang ’bomoh’ sebelum akhirnya datang kepada kami. Ini mungkin kerana bomoh mempunyai ’soft skill’ yang baik dan mendakwa boleh merawat pelbagai penyakit termasuklah barah.

Ada di antara pesakit kami yang datang ketika menghadapi barah pada tahap yang agak awal tetapi enggan menerima rawatan perubatan dan berjumpa dengan beberapa bomoh untuk akhirnya datang semula kepada kami dalam keadaan tiada apa yang mampu dibantu melainkan hanya dengan rawatan palliative. Dalam erti kata yang lain, rawatan yang diberikan hanya untuk pesakit merasa selesa tetapi barah yang ada akan terus membesar dan akhirnya membunuh pesakit. Bahkan ada di antara mereka yang bersumpah tidak akan datang lagi ke hospital, tetapi akur datang kepada kami ketika berada di dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’. Ada yang datang dalam keadaan stridor (kesukaran bernafas) dan pembedahan emergency tracheostomy (menebuk bukaan di kerongkong) terpaksa dilakukan.

Tetapi apa yang yang lebih membimbangkan kami ialah kelewatan jenis kedua, iaitu professional delay. Kelewatan ini disebabkan sama ada kegagalan pengamal perubatan mengenali gejala-gejala awal barah atau melakukan rujukan awal ke klinik pakar. Saya mendapati ramai di antara pesakit kami yang datang berjumpa dengan pengamal perubatan pada tahap awal barah, bahkan ada di antara mereka datang beberapa kali ke klinik kesihatan atau hospital daerah tetapi disuruh pulang hanya dengan memberikan antibiotik. Mereka dirujuk kepada kami ketika barah sudah sampai ke tahap yang advanced.

2 kisah yang saya paparkan tadi adalah di antara contoh bagaimana primary care doctor gagal mengenal pasti gejala barah yang sangat jelas pada peringkat awal. Ramai juga di antara mereka yang marah-marah kepada dokor-doktor muda yang lewat merujuk mereka ke klinik pakar, lebih-lebih lagi apabila diterangkan tentang bentuk rawatan barah tahap advanced yang kompleks, mutilating dan multidisiplinary akan tetapi prognosisnya tidak begitu baik. Apa yang menjadi masalah adalah kebanyakan doktor-doktor muda tidak pernah menjalani posting ENT semasa housemanship dan pengetahun ENT mereka hanya apa yang dipelajari selama 2-3 minggu di sekolah perubatan sahaja. Ini ditambah pula dengan sifat barah ENT awal berlaku di dalam rongga (hidung, sinus, pangkal hidung dan tekak) yang menjadikan ianya sukar dikesan, melainkan dengan bantuan alatan endoscopy yang canggih. Primary care doctor mestilah mempunyai pengetahuan terhadap gejala-gejala awal barah serta merujuk pesakit ke klinik pakar yang betul.

Kadangkala sistem rujukan menjadikan pesakit yang datang dari pedalaman berjumpa dengan dengan doktor pakar pada tahap lewat sedangkan pada asalnya barah tersebut masih kecil. Seorang makcik menghidapi barah lidah pada peringkat awal (tahap 1) di Kemahang (kawasan luar bandar di selatan Kedah) dirawat di Pusat Kesihatan Kemahang, seterusnya di rujuk ke Hospital Kulim, seterusnya dirujuk ke Hospital Sungai Petani dan akhirnya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diberikan rawatan. Ketika beliau bertemu kami, barah tersebut sudah berada ditahap 4. Keseluruhan lidah beliau dipenuhi barah dan beliau mengalami kesakitan yang amat sangat dan sukar untuk mengunyah. Begitu jugalah pesakit-pesakit kami yang datang dari daerah-daerah pendalaman lain seperti Sik, Baling dan Langkawi.

Apa yang ingin saya tegaskan di sini adalah perlunya doktor-doktor muda yang berada di barisan hadapan rawatan primary untuk mendengar keluhan pesakit, mengesan gejala barah pada peringkat awal dan seterusnya merujuk mereka ke klinik pakar pada kadar yang segera. Mereka juga perlu bertindak proaktif dengan terus merujuk pesakit barah terus kepada jabatan dan hospital yang mampu merawat mereka dengan baik.

Untuk tidak menjadikan artikel ini terlalu panjang, InsyaAllah saya akan memberikan statistik dan ’trend’ barah ENT, gejala-gejala awal barah serta perbezaan di antara rawatan barah tahap awal dan advanced.

Oleh:
Dr. Zulkifli bin Yusof
Yang di-Pertua ISMA Alor Setar

Nota: Dr Zulkifli juga merupakan pakar perunding telinga, hidung dan tekak (ENT) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

2 thoughts on “Barah: kesan awal sebelum parah

  1. Assalamualaikum doc.
    Saya mengalami pedih didada.kadang kala pedih bila tarik atau buang nafas.tapi tidak selalu.saya juga rasa nyeri dan tajam di sekitar dada.dan bila batuk terasa seperti ketulan angin di kerongkong.kahaq hanya jernih.pernah ke klinik dn diberi ubat batuk.saya tak puas hati.kemana sepatutnya saya refer.boleh tak doc.cadangkan.terima kasih

  2. saya berumur 23tahun..saya mengalami sakit lidah bertahun lamanya dan sekarang kesannya tampak lebih ketara dan makin menyakitkan..lidah saya muncul banyak biji2 berwarna merah dan semakin banyak pada semakin hari…sekarang lidah saya tersangat pedih dan tak mampu bergerak bebas..saya harap tuan dapat membantu saya kerana saya tak tahu dimana boleh berjumpa tuan..saya sertakan nomber telefon saya,0194755328.saya amat berharap tuan dapat memberitahu saya dimana alamat tuan agar saya dapat segera bertemu tuan..saya harap sangat pertolongan dari tuan agar sms/hubungi saya segera..terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *