Berbezakah liberal di Mesir dengan liberal di Malaysia?

Medan Tahrir dan istana Presiden Mursi menjadi tempat longgokan kumpulan liberalisme dan penyokongnya untuk membantah draf perlembagaan baru kerajaan Mesir yang meletakkan Islam sebagai sumber perundangan negara. Kumpulan liberalisme membantah dan menyerang pejabat Ikhwan Muslimin di beberapa kawasan termasuk Pejabat Am jamaah di Jabal Mukattam. Beberapa orang pendokong Ikhwan terbunuh dan ramai yang cedera. Bilangan mereka yang menyertai demonstrasi hanyalah sekelompok kumpulan kecil disertai oleh pegawai perisikan polis kuncu-kuncu Mubarak.

Suatu perkara yang seharusnya menjadi tanda tanya kita semua ialah kenapa gerakan Islam khususnya Ikhwan di Mesir mendapat tentangan dari puak-puak liberalisme apabila berusaha untuk melaksanakan syariat Islam berbeza dengan kumpulan liberalisme di Malaysia.

Beberapa persoalan seharusnya dijawab bersama. Antara persoalan yang boleh difikirkan ialah;

  1. Adakah liberalisme di Mesir tidak sama dengan liberalisme di Malaysia? Adakah boleh kita katakan liberalisme di Malaysia berminat dengan Islam dan akan berjuang untuk menegakkan Islam di Malaysia bersama dengan gerakan Islam di Malaysia? Kalau begitu keadaannya, gerakan Islam di Malaysia memang hebat kerana dapat menyampaikan dakwah Islam kepada kumpulan liberalisme sehingga mereka berminat dengan Islam dan menolak fahaman liberalisme. Atau,
  2. Gerakan Islam di Malaysia sudah berlaku sedikit kesamaran dalam perjuangan seolah-olah hampir menyamai gerakan liberalisme dan tidak merasakan ancaman liberalisme kepada aqidah umat Islam? Mungkin gerakan Islam di Malaysia kabur dengan istilah KEADILAN. Tidak dapat membezakan antara KEADILAN DALAM ISLAM dengan KEADILAN dalam agenda Barat. Lebih-lebih lagi pembentukan negara selepas memenangi pilihanraya tidak dinyatakan dengan jelas kecuali selepas menang pilihanraya. Kuasai dulu Putrajaya, selepas tu baru bincang penubuhan negara.

Gerakan Islam dengan semangat yang berkobar-kobar mengisytiharkan jihad untuk tegakkan Islam di tanah air yang tercinta. Ini adalah cita-cita kita dari dulu lagi dan tidak pernah pudar. Jangan ada orang atau mana-mana kumpulan yang cuba untuk melambatkan perjuangan kita untuk tegakkan Islam di negara kita. Inilah antara ucapan pimpinan gerakan Islam. Kumpulan lain dalam tahaluf pula berjuang untuk menegakkan negara sekular. Ada juga yang nak tubuh negara liberalisme. Persoalannya apakah bentuk negara Malaysia selepas pilihanraya nanti?

Oleh: Ustaz Sharipudin Abd. Kadir
Yang Dipertua
Majlis Syura ISMA

* Ustaz Sharipudin juga merupakan Yang Dipertua ISMA Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *