Berdakwah bersama jemaah adalah sebenar-sebenar beriman

PENDANG, 10 Ogos – Ustaz Abdul Fisol bin Md Isa, ketua Biro Tarbiyah ISMA Alor Setar menterjemahkan istilah beriman, berhijrah dan berjihad dalam ayat ke-72 dari Surah al-Anfal masing-masing sebagai beramal fardi, bergabung atau intimak dengan gerakan atau jemaah Islam dan berdakwah bersama jemaah Islam.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain… ” (Ayat 72)

Beliau mengulas bahawa beriman atau beramal fardi semata-mata sahaja tidak cukup bagi seseorang individu Muslim. Hanya dakwah dan amal secara jamaie dan mengikut adabiat amal jamaie adalah amal yang paling dilihat oleh Allah dengan asbab meninggikan kalimah Allah di muka bumi. Hal ini disebut dalam ayat ke-74 daripada surah yang sama.

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Ayat 74)

Turut diulas beliau dalam sesi tersebut ialah hanya dakwah secara berjemaah sahaja yang mampu menjamin keberlangsungan dakwah dan fikrah Islam yang disampaikan. Berdakwah secara individu pula, mudah untuk terhenti apabila pendakwah itu sudah tiada dan tiada pewaris kepada amal dakwah yang dibawa.

Ustaz Fisol menterjemah ayat-ayat berkenaan dalam sesi tadabbur Surah al-Anfal ini diadakan kepada ahli-ahli dan aktivis ISMA yang hadir semasa program Ihya Ramadhan bersama masyarakat Paya Kelubi, Pendang, hari ini.

Media ISMA Kedah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *