Bertemu pakar psikiatri tidak bermakna ‘gila’ – Dr. Murizah

dr murizah

ALOR SETAR, 2 Feb – Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I Medik) Cawangan Kedah, Dr. Murizah Mohd Zain menyeru masyarakat Malaysia agar tidak meletakkan tanggapan negatif terhadap penyakit jiwa.

Hal ini kerana masyarakat Malaysia sejak sekian lama sering melabelkan mereka yang bertemu dengan doktor psikiatri dan terapi kaunseling sebagai ‘gila’.

“Masyarakat hendaklah membuang persepsi (bahawa) berjumpa dengan pakar psikiatri bukanlah bermakna seseorang itu dibelenggu stigma gila,” ujar Dr Murizah menerusi laman Facebook beliau.

Menurutnya, penyakit jiwa juga merupakan satu penyakit sama seperti penyakit-penyakit lain dan mesti diubati.

Dr. Murizah yang juga merupakan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan turut memberi contoh yang berlaku kepada salah seorang pesakit beliau yang mengalami kecelaruan jiwa selepas bersalin.

“Sudahlah sukar memujuk isteri untuk membuang persepsi dituduh gila kerana menghadiri temujanji di klinik psikiatri, balik ke rumah menghadapi tentangan (pula) dari keluarga yang melarang isterinya daripada memakan ubat penenang.”

Turut mengulas kejadian bapa mengelar anak-anaknya sehingga menyebabkan kematian, beliau menjelaskan seorang bapa yang normal pasti akan menjalankan tanggungjawab untuk melindungi anak-anaknya. Jika bapa sanggup membunuh anak dengan begitu tragis sekali, pasti si ayah mengalami kecelaruan jiwa.

Tambah Dr. Murizah lagi, tragedi tersebut merupakan gangguan jiwa yang dapat dicegah sekiranya si ayah mendapat rawatan segera.

“Bukankah kita disuruh berubat jika sakit?” tegas beliau lagi.

Wartawan: Farizatul Azimah Abdul Kahar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *