Bila Mesir kembali ke pangkuan Arab & Islam

Dalam kekalutan serangan Yahudi terhadap bumi Gaza, sejarah lama kemenangan mujahidin Islam pada tahun 1973 perlu diungkapkan kembali. Peperangan dikenali dengan perang 6 Oktober 1973 atau 23 Ramadhan telah merubah banyak senario politik dunia terutamanya Timur Tengah. Peperangan membabitkan Terusan Suez dan Semenanjung Sinai. Kedua-duanya berada di bumi Mesir. Bumi Kinanah diberi gelaran oleh Saiyidina Umar Al Khattab. Bumi yang terdapatnya sungai Nil yang masih belum dijumpai hulunya walaupun telah diterokai oleh tujuh ekspedisi. Ada yang bermula dari bawah selatan benua Afrika, ada yang bermula dari atas iaitu utara Afrika. Tapi sehingga sekarang belum dijumpai secara tepat hulunya. Sungai yang pernah membatalkan acara tahunan amalan khurafat Mesir kuno yang mengorbankan seorang gadis sunti sebagai memenuhi permintaan penunggu Sungai Nil yang berlaku kekeringan apabila tuntutannya tidak dipenuhi.

Semasa pemerintahan Umar Al Faruq, Umar telah menulis sepucuk surat dan surat tersebut telah dicampakkan ke dalam sungai Nil, akhirnya Nil akur dengan seruan Umar Al Faruq agar tunduk kepada kekuasaan Allah.

Kembali kepada sejarah Terusan Suez dan Sinai. Pada tahun 1967, Yahudi telah merampas Sinai dari Mesir dan Bukit Golan dari Syria. Sinai telah dibebaskan oleh tentera Mesir pada tahun 1973, sementara Bukit Golan masih berada di tangan Yahudi. Sebahagian besar tentera Mesir mendapat tarbiah yang baik. Anak-anak tarbiah Hasan Al-Banna dan Abbas Sisi. Yahudi telah membina di bumi Sinai pelbagai peralatan senjata canggih dengan bantuan negara-negara Barat terutamanya USA. Ada maklumat yang menyatakan ianya melibatkan hampir 2000 pakar dari seluruh negara Barat. Benteng Barlif adalah antara kelengkapan yang masyhur sempena dengan nama Jeneral tentera Yahudi waktu itu.

Benteng pasir adalah benteng pertama apabila menyeberangi Terusan Suez. Benteng Barlif adalah benteng kedua yang dilengkapi dengan peralatan yang canggih. Jalanraya seumpama landasan kapal terbang terus ke Tel Aviv. Tanah Besar Mesir hanya dilengkapi dengan pos-pos kecil tentera sepanjang sempadan. Bahkan ada di kalangan tentera sempadan bersantai di bawah naungan pokok kurma.

Hasil ilham dari seorang ulama’, kerajaan Mesir telah menempah sebuah paip bomba yang besar dari Itali. Dunia tidak menyangka akan berlaku peperangan kerana riak-riak akan berlaku peperangan tidak kelihatan. Taqdir Allah Taala, dengan persiapan mental dan fizikal mujahidin dari tentera Mesir telah bertekad untuk membebaskan Sinai. Bermula di awal Subuh 23 Ramadhan bersamaan 6 Oktober 1973 mereka bermunajat dan berdoa kepada Allah. Diiringi dengan tasbih, tahmid dan takbir mereka mulakan serangan dengan pancutan air meruntuhkan benteng pasir untuk memberi laluan kepada tentera darat menyeberangi Sinai. Banyak peristiwa-peristiwa aneh berlaku sewaktu berlaku peperangan. Akhirnya mujahidin Mesir dapat hancurkan benteng Barlif. Menteri Pertahanan Yahudi waktu itu, Moshu Dayan, bermata sebiji mengaku kalah dengan menyatakan: “Aku menyangka benteng ini terlalu kuat tidak akan ditembusi oleh sebarang senjata rupa-rupanya ia diperbuat daripada susu.”

Semasa serangan tentera Yahudi leka dan sedang berehat rehat hujung minggu dan mereka tidak menyangka mujahidin Mesir akan menyerang mereka di bulan Ramadhan. Serangan udara dan darat dilakukan serentak. Mujahidin Mesir memohon dari kerajaan Mesir untuk terus ke Tel Aviv dan bebaskan Aqsa. PM Mesir waktu itu tidak membenarkan dengan alasan: “Aku hanya PM untuk Mesir sahaja”. Ringkas cerita apabila mereka kembali telah disambut dengan trak-trak polis dan dihumban ke penjara kerana fikrah yang mereka bawa. Jasa mereka kepada negara diketepikan begitu saja.

Hasil dari peperangan tersebut senario kuasa politik dan ekonomi dunia berubah. Negara-negara Arab telah menggunakan kuasa petrol dengan menghentikan ekspot petrol serta merta ke mana mana negara terutama negara yang memberi sokongan kepada Yahudi . Harga petrol sekitar US 17 telah melambung ke US 40. Harga barang meningkat berkadar terus dengan harga petrol. Simpanan petrol di sebahagian besar negara paling lama boleh bertahan 2 minggu sahaja. Ada negara seperti India mampu bertahan untuk 2 atau 3 hari sahaja. Seingat saya Jepun mampu bertahan untuk tempoh 9 hari sahaja. Dunia berkecamuk . Yahudi berusaha untuk berdamai dengan Mesir menggunakan orang tengah USA dan Barat.

Yahudi dan negara Barat berusaha untuk adakan perdamaian dengan Mesir tetapi diletakkan syarat gerakan dakwah Ikhwan Muslimin mesti dilenyapkan. Mereka cuba untuk pisahkan Mesir dengan negara-negara Arab dan akhirnya berjaya dengan termeterinya perjanjian Camp David pada tahun 1982 dibawah seliaan Jimmy Carter Presiden USA . Mesir terpisah dari negara Arab secara strategi bermula tahun 1982 sehingga kejatuhan Husni Mubarak. Kebuntuan masalah petrol dunia dilanggar oleh Kuwait di bawah Malek Sobah. Kuwait hanya satu-satu negara Arab yang melanggar larangan tersebut. Setelah dipujuk oleh USA, petrol Kuwait telah memenuhi pasaran dunia terutama ke USA. Ekonomi dunia hampir lumpuh termasuk USA. Kapal-kapal minyak Kuwait telah menggunakan bendera USA untuk mengekspot petrol keluar negara.

Mudah-mudahan dengan kembalinya Mesir ke pangkuan Arab dan Islam, mengembalikan semula kegemilangan Uthmaniah dan Al-Fateh, dunia Arab dan muslimin keseluruhannya akan bersatu dan berpadu satu agama satu aqidah. Kembalikan kegemilangan Melayu dengan Islam. Kita semua bersaudara. Angkatlah bendera Islam memberi keadilan keseluruh alam. Allah Matlamat Kami, Rasul Qudwah Kami, Quran Dustur Kami, Jihad Jalan kami, Syahid Cita-cita Kami. Allahu Akbar walillahil Hamd.

Oleh: Ustaz Sharipudin Abd. Kadir
Yang Dipertua
Majlis Syura ISMA

* Ustaz Sharipudin juga merupakan Yang Dipertua ISMA Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *