Bukan Sekadar Dengkur (Bahagian 1)

“Saya kerap mengantuk di waktu pagi, keletihan dan kerap kali tertidur semasa bekerja.”

“Takut juga saya, doktor. Sebab kerja saya pun melibatkan mesin-mesin merbahaya.” ujar encik Hasbullah.

“Isteri ada beritahu encik berdengkur semasa tidur?” Tanya doktor Zek.

“Ada, doktor. Dia kata bukan sekadar dengkur. Kerapkali juga dia lihat saya terhenti bernafas dan bangun termengah-mengah ketika tidur,” tambah encik Hasbullah lagi dengan penuh bimbang.

“Encik merokok?” Satu persoalan wajib dari Dr. Zek.

“Errr… Ada jugalah, doktor. Kawan-kawan tempat kerja saya semuanya merokok.”

Mendengar keluhan pesakit dengan penuh perhatian, Dr. Zek melakukan pemeriksaan ke atas encik Hasbullah termasuk melakukan ‘flexible endoscopy’ bagi menilai salur pernafasan dengan lebih teliti.

“Doktor, sepupu saya baru-baru ni meninggal semasa tidur. Muda lagi umurnya. Baru 32 tahun. Anak pun masih berumur 2 tahun. Kasihan saya lihat isterinya. Katanya arwah pun berdengkur macam saya. Berat badannya pun lebih kurang macam saya; bulat,” Sempat lagi encik Hasbullah mencelah. Senyum Dr. Zek mendengar.

“Encik Hasbullah minta timbang berat badan,” arah Dr. Zek.

Jarum penimbang naik laju, akhirnya berhenti pada 120kg. Tinggi, hanya 160 sentimeter. BMI melebihi 40!!!

“Beginilah, encik Hasbullah. Saya merasakan encik berkemungkinan besar menghadapi penyakit kesukaran bernafas semasa tidur. Dalam perubatan namanya ‘Sleep Apnoea Syndrome’ (OSA). Encik bukan sekadar berdengkur semasa tidur tetapi salur penafasan encik tersekat menyebabkan otak encik kurang menerima oksigen. Itu yang menyebabkan encik kerap terbangun dan tercungap-cungap semasa tidur”.

“Penyakit ini merbahaya kepada nyawa dan boleh menyebabkan banyak penyakit lagi melibatkan kegagalan fungsi otak, jantung, paru-paru dan banyak organ lain.”

Berubah air muka encik Hasbullah saat mendengar penjelasan Dr. Zek.

“Saya merasakan sepupu encik Hasbullah meninggal mungkin disebabkan penyakit ini. Antara komplikasi OSA adalah kematian mengejut.”

Muka encik Hasbullah terus menjadi merah.

“Eh, sampai begitu teruk sekali jadinya ya, doktor?” tanya encik Hasbullah.

“Saya ramai menerima pesakit macam encik Hasbullah dan ada juga yang dikhabaran meninggal mengejut macam tu,” ujar doctor Zek.

“Yang membimbangkan kami adalah bilangannya semakin mendadak. Cara hidup dan cara pemakan masyarakat kita dah berubah, McD, KFC, Pizza, kedai mamak 24 jam. Bersenam pun makin culas, rata-rata ‘tenggelam’ dengan handphone dan komputer saja.”

“Saya akan melakukan ujian yang lebih lanjut terhadap encik Hasbullah bagi mengesahkan penyakit encik dan menilai tahapannya. Temujanji ujian tidur atau Sleep Study encik Hasbulah adalah pada Isnin malam, Selasa minggu depan. Sleep study appointment saya sekarang hampir 6 bulan sebab kami ramai pesakit, tetapi saya selitkan nama encik lebih awal kerana symptom encik agak teruk’.

Encik datang ke hospital untuk ujian tidur sambil dibuat pemantauan. Ingat, datang nanti untuk tidur saja ya. Jangan bawa gajet, isteri, anak, jangan tidur di siang hari dan jangan minum minuman yang menyegarkan. Rokok tu… KENA BERHENTI.” tegas doctor Zek.

“Ya, doktor,” jawab encik Hasbullah berbasa-basi.

Encik Hasbullah mengambil kad temujanji dan menunggu untuk ujian tidur sleep study dengan penuh harapan.

(bersambung..)

*nama pesakit dan doktor hanyalah rekaan semata-mata dan bukan nama sebenar

Oleh:
Dr. Zulkifli Bin Yusof
Yang Dipertua ISMA Cawangan Alor Setar

Dr. Zulkifli juga merupakan Pakar Perunding ENT di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *