‘Cerewet’ isteri demi kebahagiaan rumah tangga

Ustazah-Siti-Rahmah-resized

ALOR SETAR, 31 Mac – “Biarlah kita para isteri dan ibu dikata cerewet asalkan rumah tangga bahagia dan mendapat redha Allah,” kata Timbalan Ketua Wanita ISMA Alor Setar, Ustazah Siti Rahmah bt Rahmat kepada para hadirin dalam program Usrah Wanita bulanan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, cerewet bukanlah terlalu berkira dalam segenap aspek pembinaan rumah tangga tetapi sentiasa mengambil peduli urusan sebagai isteri dan perilaku anak-anak.

“Janganlah buat tidak tahu sahaja ke mana anak-anak pergi, dengan siapa dia keluar dan berkawan,” katanya.

Ustazah Siti Rahmah turut menekankan perlunya sikap cerewet pada zaman teknologi masa kini agar anak-anak tidak mudah terjebak ke kancah zina.

“Anak-anak kita dalam media sosial siang malam, ber’chatting’ dan ber’smiley’ bagai, adakah kita ambil tahu?

“Kalau kita pun di Whatsapp, diberi mesej dengan emoticon senyum dan sebagainya, kita rasa suka dan gembira, apatah lagi anak-anak remaja kita yang masih berjiwa muda yang mungkin sedang berhubungan dengan kawan-kawan yang bukan mahram,” jelasnya.

Selain menyentuh perihal cerewet dalam mendidik anak-anak, Ustazah Siti Rahmah turut menyeru agar para isteri membantu urusan suami khususnya dalam menjaga urusan rumah tangga.

“Sebagai isteri, permudahkanlah urusan suami dengan menjaga segala urusan dalam rumah sesempurna mungkin.

“Jangan lupa untuk banyakkan berdoa agar Allah s.w.t. memberikan kebahagiaan dan merungkai segala kekusutan dalam rumah tangga,” tambahnya lagi.

Oleh: Fakhruddin Afif Fauzi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *