Dakwah air sungai

Dakwah tanpa pengorbanan ibarat air kolam yang tidak bertuan. Zaman berganti zaman, generasi berganti generasi. Ia tetap demikian. Zarah-zarah airnya berkumpul. Tetapi kaku, tidak berkembang. Lebarnya tidak bertambah. Warnanya kian kelam. Dasarnya semakin dalam, namun saratnya dengan sampah-sarap. Termuntahnya ke tebing, membuktikan kejelekan yang kian jelas.

‘Kita?’ berkobar semangat mahu melihat Islam tertegak. Apakan daya, keluarga diutamakan. Kerjaya dan pelajaran didahulukan. Sebahagian besar wang dibelanjakan buat diri. Segenap waktu dan tenaga dikerah untuk melonjakkan prestasi. Saki-baki harta dan masa baru diketepikan untuk dakwah. Segenap alasan dicipta untuk mengelak hadir ke jilsah, apatah lagi wasilah lainnya. Namun cita yang tinggi melangit tetap mahukan pangkat dan jawatan. Kata-kata manis dan semangat yang dibuat-buat ditaburkan, mujur berjaya memikat mata yang terpesona. Apabila diri dikoreksi, ego gagal diketepi. Lalu ukhuwah dileburkan. Walau kebenaran nyata terpampang. Hakikatnya nama hanya dalam barisan. Tanpa ruh dan pengorbanan. Mengharapkan keajaiban terjadi supaya Islam kembali bertuan. Sedangkan amal makin menyusut, tanpa menyediakan generasi pendokong.

Dakwah yang disertakan pengorbanan pula, ibarat air sungai yang mengalir. Zarah-zarah mata air berpadu membentuk arus. Segala halangan dan liku ditempuh. Walau kadang perlahan kadang deras, ia tetap mengalir. Mengairi kelilingnya, menyuburkan bumi. Hingga bila diempang di puncak tertinggi, turunnya tidak dapat ditahan lagi. Berjaya meluas ke lautan yang dalam. Saujana mata memandang.

‘Kita?’ rindu mendengar suara Islam bergema di pelusuk dunia. Maka langkah diatur untuk merealisasikannya. Segala masa, tenaga dan harta ditawarkan kepada dakwah tercinta. Siang malamnya penuh berjumpa manusia. Mendidik jiwa dan mendekatkan mereka pada Yang Maha Esa. Menghidupkan iman-iman yang kian lesu. Agar terus mekar hingga sanggup memperjuangkan agama. Akhlak dan ukhuwah dipelihara. Perasaan dan ego dibenam jauh-jauh, asalkan dakwah tarbiyah makin bertunjang. Nafsu ditekan hingga tidak lagi sanggup membisik kata-kata rehat dan lemah. Jawatan tidak sekali-kali diintai, hanya amal terus merekah. Setiap saat fikiran hanya memikirkan ummat. Terus memberi, menyubur kebaikan di sana sini. Walau mungkin tidak menampakkan natijah. Namun keyakinan pada janji Allah yang agamanya pasti menang tetap teguh. Pasti dan pasti. Kerna itulah diri menjadi korban untuk menjelmakan hari kemenangan Islam. Terus menyediakan generasi warisan, bakal penerus perjuangan. Arus yang akan menggerunkan kezaliman.

Moga ‘kita?’ menjadi zarah yang membentuk arus sungai, bukanlah zarah air kolam yang beku. Berkorban hingga hancur lumat. Luluh dan berkecai. Sampai tiada yang tinggal untuk dikorbankan. Tiada siapa yang menuntut pengorbanan kita, melainkan jual beli dengan- Nya yang menolak kita berbuat demikian.

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu. Dan demikian itulah kemenangan yang agung”. (At-Taubah: 111)

Oleh: Atiqah Azam, Tahun 5, Perubatan, Universiti Ain Shams. Dipetik dari blog beliau: atiqahazam.posterous.com

Sumber: Laman web ISMA Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *