Daulat Tuanku!

Jalan-jalan utama di seluruh negeri Kedah hari ini penuh dihiasi dengan kain-kain rentang dan poster-poster “Daulat Tuanku.” Jalan utama dari Istana Anak Bukit ke Lapangan Terbang Kepala Batas sesak buat seketika gara-gara beberapa khemah didirikan di tepi jalan berkenaan dek mahu menyiapak ruang pencak silat untuk dipersembahkan kepada orang ramai. Kedah yang hijau buminya dengan sawah-sawah padi diwarnai dengan warna kuning warna diraja pula buat beberapa hari ini.

Daulat Tuanku!

Ucapan penghormatan dikurniakan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Sultan al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang bakal berangkat ke Istana Negara untuk dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-14 pada tanggal 13 Disember ini. Sultan Kedah merupakan sultan pertama yang menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali. Kali pertama baginda dilantik adalah pada tahun 1970 hingga 1975. Kali kedua ini, baginda akan memerintah selama 5 tahun bermula penghujung 2011 sehingga hujung tahun 2015, insyaAllah.

Raja Adil, Raja Disembah!

Ungkapan ini disebut oleh Hang Jebat berdasarkan penceritaan sejarah Melayu lama. Apa yang uniknya, ungkapan ini menggambarkan bahawa sultan adalah pemerintah utama yang wujud di Tanah melayu suatu ketika dahulu, pemimpin yang agung, disayangi rakyat jelata dan amat dihormati pada zaman kesultanan di Tanah Melayu suatu masa dahulu. Sultan adalah ketua kepada bangsa Melayu dan pemimpin kepada umat Islam di Tanah Melayu. Kuasa pimpinan yang ada pada sultan adalah mutlak dan mampu mengasimilasi Islam dan Melayu, seterusnya memimpin Islam dan bangsa pada ritma yang sama. Islam adalah aset penguat bangsa Melayu. Apabila Islam digugat, maka bangsa Melayulah yang menjadi perisai agar Islam kekal di Tanah Melayu.

Kalau Roboh Kota Melaka, …

Islam yang syumul adalah nadi untuk satu-satu bangsa menjadi hebat dan mulia di sisi Allah. Bangsa Arab sebelum kehadiran Rasulullah s.a.w. dahulu mungkin kuat dengan tenaga fizikal, menguasai kota suci Mekah dan telaga zam-zam, menguasai jalan perdagangan padang pasir dan sebagainya, tetapi tidak mulia di sisi Allah lantaran amalan syirik, penzinaan, penipuan dan riba’ yang melampau-lampau. Hadirnya Rasulullah s.a.w. bersama Islam yang melengkapi menyucikan bangsa Arab kepada bangsa yang mulia di Tanah Arab, dan hebat di sisi Allah. Ajaran Islam difahami dan diamalkan seratus peratus serta ajaran jahiliyah ditinggalkan habis-habisan. Bangsa Arab sendiri adalah duta kepada agama Islam. Bangsa Arab bergerak ke seluruh tanah pamah dan laut luas untuk menyatakan betapa benar dan hebatnya Islam yang mereka sudah rasai seterusnya bangsa lain mesti merasainya juga.

Papan di Jawa hamba dirikan!

Akhirnya Rasulullah s.a.w. pun wafat. Islam terus-menerus gemilang dengan pengamalan dan penyebarannya dilaksanakan secara lengkap dan berterusan. Keberjayaan umat Islam bukan kerana Rasulullah s.a.w sebagai faktor, tetapi Islam sebagai faktor utama.

Umar al-Khattab pernah menyebut, “Mulianya aku kerana Islam.”

Maka kita boleh katakan mulianya sesuatu bangsa itu juga adalah kerana Islam, dengan prasyarat, setiap individu dalam bangsa itu mesti hidup dan bangga dengan Islam. Islam tidak dikehendaki di Mekah, bawalah Islam agar kuat di Madinah. Jika Islam mula dipijak-pijak di Madinah, maka bawalah Islam untuk diperkuat di Kufah. Jika tidak dapat dijunjung setingginya di Kufah, maka biarlah Islam dikukuhkan di Constantinople. Tetapi kini …

Takkan Melayu Hilang Di Dunia?

Islam sememangnya adalah agama yang tidak dipunyai satu-satu bangsa. Baik bangsa Melayu hatta bangsa Arab sekalipun, Islam bukan hak milik persendirian tetapi satu kurnia yang mesti digunakan sebaiknya.

“… Dan jika kamu berpaling (dari agama Allah) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Muhammad, 38)

Islam adalah hidayah, Islam adalah rahmat, Islam juga adalah prasyarat untuk setiap manusia menjejakkan kaki ke syurga nanti.

Maka apa yang memperkuatkan Islam di Malaysia kalau setiap ahli untuk satu bangsa majoriti di tanah air sendiri tidak mahu bersama Islam? Kalau bangsa sendiri tidak mahu memperkuat dan memuliakan bangsa sendiri dengan Islam, biarlah bangsa lain untuk hidup dan memuliakan Islam. Biarlah sultan kekal menjadi simbolik Islam di Malaysia semata-mata. Biarlah Islam kekal di Perlembagaan Malaysia, di Jalur Gemilang dan di kad pengenalan kita sahaja. Harapanku untuk Kuala Lumpur menggantikan Constantinople biarlah berkubur begitu sahaja. Maka biarlah Melayu hilang di dunia.

Oleh:
Fakhruddin Afif bin Fauzi
Ketua Biro Belia
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *