Dialog Masa Depan Islam cetus sinar baru

Saya baru sahaja pulang dari Dialog Masa Depan Islam, anjuran ISMA dengan kerjasama MUAFAKAT. Saya simpulkan, ini adalah satu usaha yang sangat baik dalam mengajak umat Islam bersama mendokong agenda Islam dengan merentas parti politik, NGO dan pendakwah- pendakwah.

Ucapan pembukaan oleh Ustaz Abdullah Zaik jelas menggambarkan perlunya umat Islam di rantau Asia Tenggara khususnya, mempunyai agenda Islam yang spesifik dan jelas. Beliau juga menekankan bahawa dasar nasionalis sekular telahpun bangkrap dan tamat tempoh sahlaku, menanti untuk diganti dengan arus kebangkitan Islam.

Suasana semakin menarik apabila Prof. Badlisham, panelis pertama menjelaskan susur galur perjuangan Islam di Malaysia, dari penubuhan Hizbul Muslimin, dasar perjuangan bangsa Dr Burhanuddin Helmi, penubuhan Parti Islam SeMalaysia (PAS), sehinggalah tiba kepada peranan NGO muslim yang semakin banyak kini bangkit membela Islam di tanahair. Namun beliau juga menekankan secara kritis, bahawa posisi NGO ini perlu jelas dalam niche dan persamaan masing-masing, agar semuanya dapat dimanfaatkan untuk agenda Islam. Ditakuti ada NGO yang ditubuhkan atas dasar tidak jelas, dikhuatiri tidak membawa manfaat kepada Islam.

Saya tertarik kepada sesi soal jawab apabila Prof. Badlisham mengatakan bahawa PAS telah mengambil bahagian dalam memperjuangkan murtad melalui undang-undang di Terengganu, Kelantan, dan kata beliau “Selangor hampir ada tapi Hasan Ali pulak kena keluar”. Ini semua, kata beliau lagi, tidak ada di negeri lain seperti Wilayah Persekutuan contohnya.

Ustaz Nazri Chik, Exco Dewan Pemuda PAS mengambil pentas dengan menjelaskan peranan PAS dalam perjuangan agenda Islam di tanahair. Sumbangan besar PAS adalah apabila berjaya mengubah paradigma Muslim tanahair yang satu masa dahulu majoriti melihat Islam dan politik terpisah, namun kini tidak lagi, dan semakin ramai memahami konsep Islam yang syumul meliputi politik dan pemerintahan. Ancaman terhadap gerakan Islam ialah seperti yang dijelaskan dalam al-Quran, bahawa Islam akan sentiasa ditentang oleh musuh-musuh Islam berasaskan dalil:-

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).” (2:120)

Ini juga, kata beliau, menjelaskan kewujudan agen-agen musuh Islam yang menyusup masuk ke dalam gerakan Islam dan mengubah dasar perjuangannya. Maka atas sebab inilah, PAS menubuhkan Majlis Syura Ulama yang akan memastikan PAS kekal dalam perjuangan yang asal. Seperti biasa, soalan panas dari penonton, “adakah PAS dan UMNO boleh duduk bersama?”, jawapan beliau, “Apabila UMNO meletakkan Ustaz Fathul Bari sebagai calon PRU dan lebih ramai ulama dalam UMNO, baru kita boleh bincang.”

Ustaz Ismail Mina dalam ucapan ringkas beliau, merumuskan 3 unsur penting agenda Islam di Malaysia iaitu:-

1- Agenda Islam mesti ditentukan oleh kita sendiri
2- Perlunya membina rijal / insan yang faham Islam
3- Hegemoni Zionis dan Kristian mesti dipadamkan, Islam mesti memimpin agar dapat mengembalikan tasawwur Islam yang telah terhakis.

Berkain pelikat dan berbaju Melayu, noktah yang saya tertarik dari Cikgu Azmi TERAS ialah istilah winnable candidate yang dimahsyurkan sejak kebelakangan ini, adalah sebuah retorik memandangkan winnable candidate adalah orang yang juga perlu dekat dengan pimpinan parti, akhirnya ukuran calon PRU tidak lagi berdasarkan agenda Islam yang ingin dibawa. Cikgu Azmi turut menekankan bahawa agenda Islam di tanahair ialah untuk menjadikan “syariat sebagai mainstream”.

Sesi petang tidak kurang menariknya dengan kehadiran Tn Hj. Mohamad Nasir Desa. Terang dan jelas, beliau menyeru umat Islam Malaysia mempertahankan perlembagaan Malaysia, sambil menjelaskan bahawa istilah “demokrasi”, “sekular”, “islam agama rasmi” tidak wujud dalam perlembagaan Malaysia. Ini disokong oleh Dr Anis Malik Thoha dari Indonesia yang menyeru umat Islam mempertahankan perlembagaan yang telah sedia bermanfaat buat umat islam, dan kata beliau “jangan sampai terlepas nikmat ini!”. Pengalaman beliau di Indonesia, perjuangan mendapatkan Islam sebagai agama dasar yang tertulis dalam perlembagaan Indonesia telah bermula sejak sebelum merdeka, namun sehingga kini mash belum dicapai.

Hangat sesi soal jawab yang mempertikaikan slogan ISMA Melayu Sepakat Islam Berdaulat. Ustaz Muhammad Fauzi menjelaskan logik bahawa ISMA mengutamakan dakwah kepada Melayu sebagai strategi, dan seandainya ada kemampuan yang lebih barulah diteruskan untuk bangsa lain. Saya tidak bercadang mengulas panjang isu ini kerana telah banyak penulisan ISMA yang menjelaskan tentang slogan tersebut.

Alhamdulillah, satu usaha yang baik dari ISMA dan kerjasama yang cemerlang dari para panelis. Posisi ISMA sebagai pencetus kesedaran sangat penting. Meski tidak terlibat dalam politik secara langsung, ISMA mampu berperanan sebagai “watchdog” dan penyampai pandangan dalam memastikan senario politik tanahair menjadi persaingan agenda Islam dan bukan persaingan liberal.

Oleh: Norzafry Norhalim,
Aktivis ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *