Dialog Ruhiyah

Hubungan rumahtangga antara Rasulullah dan Aishah manjadi ikutan kepada umat baginda hingga akhir zaman. Kehidupan rumahtangga yang bukan sahaja harmoni malahan memiliki landasan ruhiyah yang sangat kental. Rasulullah merupakan contoh yang terbaik dalam pembentukan dialog ruhiyah antara suami dan isteri. Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada malam hari, kemudian dia membangunkan isterinya. Apabila isterinya menolak, dia merenjiskan air ke wajah isterinya. Begitu juga sebaliknya.

Kasih sayang Allah akan turun kepada suami dan isteri yang mengajak pasangannya berdialog secara ruhiyah. Tentu saja ajakan itu dilakukan dengan cara yang mesra sehingga tidak menimbulkan kemarahan. Daripada anjuran Rasulullah ini, jelas sekali bahawa satu kerjasama perlu dilakukan oleh suami dan isteri dalam rangka untuk bertaqarrub kepada Allah. Kerana itulah tujuan utama didirikan rumahtangga.

Suami dan isteri dipertemukan mengikut perencanaan Allah. Asam di gunung, garam di laut, di dalam kuali bertemu jua. Jodoh dan pertemuan kedua jiwa ini tidak dapat ditentukan oleh sesiapa pun melainkan Dia. Justru, suami ditentukan Allah sebagai qawwam (pemimpin) rumahtangga. Kerana berkeluarga adalah ibadah, kepimpinan suami yang paling utama adalah kepimpinan ruhiyah berlandaskan firman Allah; “Dan perintahkanlah kepada keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya.”

Kepimpinan ruhiyah boleh dilakukan dengan ajakan, anjuran dan bimbingan ke jalan Allah. Pihak suami bertanggungjawab di hadapan Allah dalam pembinaan aqidah, ibadah dan akhlak keluarganya. Tetapi sang isteri juga wajib mendorong suami untuk membangunkan ketaatan kepada Allah dan Rasulnya. Namun kita selalu gagal dalam merealisasikan sunnah Rasulullah ini dalam rumahtangga kita. Beberapa perkara yang seharusnya menjadi perhatian dalam pembinaan bait muslim, lebih-lebih lagi ‘bait muslim daiyah’. Perkara-perakara di bawah ini digalakkan untuk terus diwujudkan di dalam keluarga:

Saling mengingatkan antara suami isteri untuk melakukan solat qiyamulail, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah di dalam hadis.

Isteri selalu mengingatkan suami untuk solat berjamaah di masjid, pada saat azan memanggil atau waktu solat akan masuk.

Saling mengajak membaca Al-Quran bersama dan memerhatikan kemajuan pasangannya dalam berinteraksi dengan Al-Quran. Saling menyemak hafalan Al-Quran.

Menyediakan waktu luang secara berkala untuk mengkaji semula hokum-hukum feqah atau ilmu-ilmu fardhu ain yang lain.

Ini adalah sebahagian daripada contoh-contoh yang boleh kita ikuti. Dengan dialog ruhiyah ini, Allah akan mengukuhkan lagi hubungan antara suami dan isteri dan terwujudlah kebahagiaan rumahtangga. Inilah sumber bagi keluarga taqwa yang sentiasa mendapat rahmat Allah. Sebaliknya, pasangan yang mengabaikan dialog ruhiyah ini akan kehilangan kelazatan hidup sebagai suami dan isteri sebagaimana yang pernah dirasakan oleh para rasul dan orang-orang soleh yang terdahulu.

Kebahagiaan ini akan berterusan sehingga ke hari akhirat nanti InsyaAllah. Kerana cinta ini dipertautkan dengan Allah swt. Oleh kerana itu, kita tetap akan mendahulukan kepentingan Allah, Rasul dan jihad diatas segalanya. Maka jadikanlah rumahtangga kita sebagai rumahtangga dakwah seperti rumahtangga Rasulullah. Amin ya Rabb..

– Hamba Allah –

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *