Didik anak cinta Rasul & dakwah Islamiyah – Dr. Murizah

dr murizah

JITRA, 17 Jan – Anak-anak perlu dididik untuk mencintai Rasulullah s.a.w. dengan memperkenalkan baginda sebagai pendakwah ke seluruh alam.

Menurut Ahli Majlis Wanita ISMA, Dr. Murizah Mohd Zain, anak-anak kecil mesti diperdengarkan dengan kisah hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, khususnya berkaitan peribadi mereka dalam usaha mentauhidkan Allah s.w.t.

“Kisah Nabi dan para sahabat adalah kisah yang sangat agung yang mesti diketahui anak-anak. Pengorbanan jiwa dan raga yang mereka lakukan semata-mata mahu menjadikan Islam sebagai agama seluruh alam wajar menjadi teladan anak-anak kita sejak kecil lagi,” tambah beliau.

nazim

Dr. Murizah turut berkata, didikan dari kecil ini seolah-olah menjadi satu kewajiban buat para ibu bapa pada masa kini memandangkan ancaman sekularisme dan liberalisme ke atas umat Islam pada hari ini kian menular.

“Oleh itu, sunnah terbesar baginda Rasulullah s.a.w. iaitu membina jatidiri dan berdakwah mesti diterapkan kembali dalam diri setiap umat Islam, dan ia wajar dimulakan melalui anak-anak kita,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian selepas program Perarakan Sempena Maulidur Rasul oleh anak-anak dari Kelab Anak Hebat (NAZIM) Alor Setar, pagi tadi. Kelab NAZIM ini merupakan kelab kelolaan ISMA Cawangan Alor Setar sebagai satu usaha mendidik anak-anak di peringkat rendah mengenali dan menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka.

Wartawan: Alfakhru Fauzi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *