Duka seorang anak

Duka Seorang Anak

Cuti sekolah memang sentiasa saya nantikan kerana inilah masanya untuk saya dan keluarga berkesempatan pulang ke rumah ayah bonda tercinta. Walaupun keluarga suami terletak di bandaraya kuala lumpur, tetapi kami tetap mengatakan kepada anak “ kita nak balik kampung”. Jumaat tengahhari bermulalah perjalanan kami pulang ke kampung. Apabila kereta masuk sahaja ke Kuala Lumpur, hati saya terdetik… Oh Kuala Lumpur dimanakah damai mu? Apa tidaknya baru sahaja kami menjejak ke bandar ini, tak semena-mena kami dihon oleh kereta dibelakang… Lambat benarkah kami??? Berada dalam deretan kereta yang bertali arus (kami sampai pada awal malam), benar-benar menyesakkan perasaan… Lantas saya memulakan sembang-sembang bersama suami tercinta.<!–more–>

Saya ungkap kembali kisah seorang pelajar tadika di Shah Alam. Ketika itu saya berkerja di tadika di sana. Pelajar lelaki itu akan dihantar ke sekolah seawal 6.45 pagi, dan kebiasaannya apabila saya sampai di tadika pada jam 7.30 pagi, pelajar itu masih tidur. Apabila petang anak ini akan menanti dengan penuh setia di pintu tadika dengan harapan ayahnya akan menjemput beliau sebagaimana anak-anak yang lain. Waktu berlalu terasa bagai terlalu lambat, jam terus bergerak… Sehinggalah ke jam 7 petang kelibat ayahnya tidak juga muncul… Sayu saya melihat wajah anak tersebut… Hanya Allah yang tahu betapa peritnya derita yang beliau tanggung. Guru yang bertanggungjawab terpaksa membawa anak itu pulang ke rumah sewanya kerana tidak sanggup lagi untuk menanti di tadika. Jam sudah menunjukkan pukul 8 malam, namun ayahnya belum juga tiba. “Cikgu, saya lapar” katanya dengan wajah yang sangat sugul. “Ya Allah, cikgu tak ada apa nak bagi kamu makan, cuma ada biskut, kamu makan biskut ni dulu ya…” Balas guru itu. Maka anak itu makan jua biskut yang diberikan walaupun dalam keadaan yang terpaksa. Selepas makan anak tersebut kelihatan sangat penat. Guru budiman tersebut menghulurkan bantal, lalu tanpa mengambil masa yang lama anak itu tertidur. Wajahnya jelas menunjukkan kehampaan kerana ayah yang dinanti-nati tidak jua kunjung tiba. Akhirnya setelah jam melewati 9.30 barulah ayahnya terpacul dihadapan pintu rumah sewa guru tersebut untuk menjemput anaknya yang telah lena dibuai mimpi. “maaf ye cikgu, hari ni sibuk sikit” kata ayahnya kepada guru tersebut. Entah sedar atau tidak dia diangkat oleh ayahnya saya pun tak pasti… Begitullah hari-hari seterusnya, dihantar dalam lena, dijemput juga dalam lena… Oh Tuhan… Inikah harga yang perlu dibayar untuk sebuah pembangunan?

Walaupun ketika itu saya belum berkahwin, namun fitrah keibuan yang Allah kurniakan kepada setiap wanita tetap dirasai. Saya mula berfikir apakah anak-anak saya akan melalui perkara yang sama seperti anak tadi… Saya berdoa moga saya tidak akan dihambat kesibukan yang tiada penghujung lantas mengabaikan keperluan emosi anak-anak saya. Saya juga berdoa andai saya sibuk dengan tugas-tugas dakwah, Allah akan membantu memelihara anak-anak saya. Kerana saya tahu pada zahirnya memang ibu bapalah yang mendidik mereka tapi hakikatnya ada campur tangan Allah dalam pentarbiyahan mereka. Ya Allah kurnaikanlah kepada kami zuriat yang manjadi penyejuk mata, dan jadikanlah kami imam kepada orang-orang yang bertaqwa. Amin…

nukilan

Ummuhumaira

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *