Fahami dan ikuti al-Quran untuk jadi orang beriman

Ust_fisol_b

ALOR SETAR, 27 Mac – Naib Yang Dipertua ISMA Alor Setar, Ustaz Abdul Fisol bin Mohd Isa menegaskan hanya dengan memahami dan mengikuti isi Al-Quran sahaja cara untuk menjadi orang Islam yang benar-benar beriman.

Menurutnya, hakikat sebenar Al-Quran diturunkan kepada umat Islam ialah untuk difahami dan diikuti.

“Membaca sahaja Al-Quran memang akan beroleh pahala, tetapi takkan selepas dua tiga tahun nak kekal baca sahaja tanpa ada usaha nak faham?

“Mereka (orang Islam) yang membaca, memahami dan mengikuti apa yang disampaikan dalam Al-Quran, maka dialah orang yang benar-benar beriman dan hatinya benar-benar hidup.

“Ini sejajar dengan firman Allah dalam surah Al-Anfal yang bermaksud orang-orang beriman akan gementar hatinya apabila membaca Al-Quran,” ujarnya.

Ustaz Abdul Fisol berkata demikian ketika program usrah umum bulanan anjuran ISMA Alor Setar di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Ustaz Fisol turut menjelaskan terdapat tiga sifat hati yang perlu ada pada seseorang mukmin.

“Sifat-sifat itu ialah kental iaitu bertegas dengan kebenaran, bersih daripada kesyirikan dan penyakit hati, serta lembut sesama orang-orang yang beriman.

“Dengan adanya sifat-sifat itu, dialah orang yang benar-benar beriman dan mudah untuk mendampingi Al-Quran,” tambahnya lagi.

Oleh: Fakhruddin Afif Fauzi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *