Masalah fibroid pada wanita

Fibroid atau nama saintifiknya “leiomyoma” adalah sejenis ketumbuhan yang terjadi pada rahim. Fibroid adalah ketumbuhan yang sering terjadi pada wanita sehingga dianggarkan lebih kurang 20% dari wanita mempunyai fibroid. Punca sebenar fibroid tidak dapat dikenalpasti tetapi kemungkinan besar bersangkut dengan hormon estrogen iaitu hormon yand dihasilkan oleh kilang telur. Justeru itu fibroid akan mengecut selepas putus haid dimana pada waktu itu hormon estrogen berada pada tahap yang sangat rendah. Faktor risiko lain untuk mendapat fibroid adalah mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai fibroid dan mempunyai bilangan anak yang sedikit atau tiada anak.

Pada kebanyakan wanita fibroid tidak mendatangkan apa-apa masalah, ianya hanya secara kebetulan di kenalpasti ketika pemeriksaan ultrasound untuk sebab-sebab yang lain. Dalam kes seperti ini, tiada yang perlu dirisaukan kerana kadar pembesaran fibroid adalah sangat perlahan. Pesakit hanya perlu membuat pemeriksaan ultrasound berkala di antara enam bulan sehingga setahun sekali untuk menentukan saiz fibroid.

Antara gejala-gejala yang boleh terjadi disebabkan oleh fibroid adalah haid yang banyak dan panjang dan juga kesakitan di bahagian ari-ari. Sesetengah pesakit juga mengalami gejala kencing yang kerap terutamanya jika fibroid terletak bersebelahan pundi kencing dan menekan pundi kencing. Manakala bagi sesetengah pesakit tiada mempunyai sebarang gejala kecuali rahim yang bengkak dan boleh dirasa sebagai ketulan di bahagian ari-ari. Sebahagian fibroid juga menjadi punca kepada kemandulan wanita terutamanya jika fibroid ini terletak di bahagian rahim yang berhampiran tiub fallopian dan seterusnya mengganggu pertemuan benih lelaki dan wanita.

Jika fibroid mendatangkan masalah seperti yang dinyatakan di atas atau saiznya sangat besar, maka sewajarnya rawatan diberi. Malangnya bagi fibroid, rawatan secara ubat-ubatan tidak dapat mengecil atau menghilangkan fibroid. Dalam kebanyakan kes, rawatan untuk fibroid adalah dengan cara melakukan pembedahan. Bagi wanita muda yang masih berhasrat untuk mengandung, pembedahan myomectomy (pembuangan fibroid) boleh dilakukan manakala bagi wanita yang telah berusia atau jika tidak berhasrat untuk mengandung lagi pembedahan hysterectomy (pembuangan rahim) boleh dilakukan. Myomectomy mempunyai risiko pendarahan dan juga kemungkinan untuk fibroid terjadi lagi iaitu sebanyak 40% bagi tempoh lima tahun selepas pembedahan pertama pembuangan fibroid. Fibroid bukanlah dikategorikan sebagai kanser dan risiko untuk fibroid bertukar menjadi kanser adalah kurang dari 0.2%.

Daripada pengalaman saya, ramai wanita yang menjadi sangat risau jika doktor memberitahu beliau mempunyai fibroid. Fibroid sangat sering terjadi dan majoriti adalah kecil dan tidak mendatangkan masalah dan sangat jarang berubah menjadi kanser. Tiada yang perlu dirisaukan, tetapi lakukan pemeriksaan ultrasound berkala enam bulan hingga setahun sekali.

Oleh:
Dr. Murizah Mohd Zain
Pakar Perbidanan & Sakit Puan
Hospital Sultanah Bahiyah,
Alor Star, Kedah.

Nota: Dr. Murizah juga merupakan seorang aktivis ISMA Alor Star.

15 thoughts on “Masalah fibroid pada wanita

  1. thanks for info. saya telah menjalani myomectomy pd April 09. Before this, saya pernah ada ectopic. ada kaitan tak ectopic pregnancy dan fibroid.

  2. Assalamualaikum Doc,

    Saya ibu muda berusia 29 tahun yang telah kehilangan rahim semasa melahirkan satu-satunya puteri saya. Tapi saya bersyukur kerana puteri saya dilahirkan sihat dan comel, memang terkilan kerana tidak akan dapat mengandung lagi dan saya amat inginkan ramai cahaya mata. Persoalan saya ialah saya dapat rasakan perubahan hubungan intim dgn suami agak hambar w/pun ovari saya masih ada untuk mengawal hormon. Apakah ada ubatan atau supplement untuk mengembalikan keintiman hubungan saya dgn suami? Apakah punca saya kehilangan rahim dan kesan keatas diri saya selain persoalan tentang hubungan intim misalnya penyakit berbahaya? Buat pengetahuan doc, saya heavy smoker b4 i get pregnant and luckily once I get pregnant I can stop immediately.

  3. Dr. Murizah,

    Bagaimana dengan testimoni pengguna dengan penggunaan tuala wanita beherba i.e; avail beauty dapat mengecutkan fibroid dan seterusnya mengelakkan dari pembedahan atau pembuangan rahim. Ramai pengguna juga telah menyatakan yang dengan menggunakan tuala wanita ini, dapat memperbetulkan kitaran haid . Apa komen Pn.?

  4. saya akan menjalani pembedahan membuang rahim….saya risau tentang hubungan dengan suami…adakah ubat untuk mengatasinya ….takut ada risiko tentang bersama tak seperti biasa

  5. saya nk tahu bagaiman jika fibroit berlaku ketika hamil,apakah kesan dan rawatan yg akan diberikan?

    1. yanie,
      Fibroid ketika hamil akan ditangani secara konservatif maknanya doktor tidak akan melakukan pembadahan membuang fibroid ketika hamil kerana risikonya adalah besar. Fibroid ini mungkin membesar dengan cepat sewaktu hamil disebabkan hormone-horman yang dihasilkan oleh ibu yang mengandung, boleh menyebabkan kesakitan, keabnormalan kedudukan bayi dan kelahiran tidak cukup bulan. Fibroid ini akan dinilai semula saiznya selepas puan bersalin dan habis pantang. Seandainya saiznya masih besar, kemungkinan memerlukan pembedahan.

      Dr Murizah

  6. askum.. saya lyn dari pahang.. belum berkahwin.. berumur 25 tahun… saye ade beberape soalan yang membuatkan saye risau .. saye baru lepas buat medical checkup.. then the results cakap sye ader fibroid.. dah agak besar..sbb dr cakap dah almost 2 years fibroid ni ader kat dalam.. sebelum ni sakit ketike saye haid mmg sering sgt berlaku .. kerisauan sye sbb saye tak berkahwin lagi dan bende ni mungkin menyebabkan saye ssh dapat anak nnt? betul ke? normally kalau nak buang fibroid ini shj, pembedahan tu bahye tak.. sye betul2 risau n taktau nak buat ape..harap dr boleh tolong….

    1. Wa’alaikumsalam,

      lyn,
      Cik dinasihatkan berjumpa dengan pakar perbidanaan dan sakit puan. Jika saiz fibroid kecil (anything less than 4 cm) dan tiada apa-apa gejala biasanya tidak perlu melakukan apa-apa pembedahan tetapi jika saiznya besar atau jika puan mempunyai gejala seperti pendarahan yang luarbiasa, sakit di ari-ari/senggugut pembedahan kemungkinan diperlukan. Pembedahan myomectomy atau pembuangan fibroid adalah secara amnya selamat. Kesuburan bergantung kepada diagnosa dan lokasi fibroid serta keabnormalan lain yang ditemui.

      Dr Murizah

  7. assalamualaikum dr..
    baru-baru ini dr mngesahkn saya ada fibroid di rahim n endometriosis di usus.saya mngalami haid yg pnjg n byk shingga mnyebbkn saya pitam.saya dberi pil perncng untuk mgurangkn rasa sakit smasa period dan menghentikn pendarahn,ttpi stlh saya mgambil pil trsebut perut saya msh sakit n bleeding je.adakah pendarahan yg bpnjngan itu bpunca dari fibroid tersebut?

    1. Wa’alaikumsalam,

      Sha,
      Endometriosis adalah satu keadaan di mana tisu dinding rahim berada di luar rahim termasuk di ovari, tiub fallopian atau permukaan lapisan selaput peritoneum. Tisu endometriosis akan mengalami perubahan hormone seperti permukaan dinding rahim cumanya tisu dinding rahim akan keluar sebagai darah haid sedangkan tisu endometrium akan berkumpul darahnya dan membentuk cyst dan juga radang yang akan meninggalkan banyak parut. Tujuan OCP/pil perancang diberi adalah untuk menghalang ovulasi justeru ini menghalang perubahan hormone dan juga pendarahan tisu endometriosis dan juga kesakitan. Seandainya puan masih sakit dan pendarahan masih ebnormal bermakna mungkin endometriosis berada pada tahp yang teruk dan ini memerlukan rawatan secara pembedahan.

      Dr Murizah

  8. salam Dr.Murizah,

    benarkah seseorang yg telah melakukan pembedahan untuk membuang rahim(hysterektomi) dikatakan taraf kesihatannya akan lemah dan bukan seperti wanita yg sebaliknya?
    harap doc. dapat memberi penjelasan kemushkilan diatas..
    thanks..

  9. Assalammualikum,

    Saya berumur 40 thn. Saya nak tanya tarikh akhir saya dtg haid pd 23/2. Pada bln 3 saya tidak dtg haid. Pd 6/4 saya ada pergi berjumpa doktor dan doktor ada memberi ubat 10 hari utk mengeluarkan haid. Pd 18/4 haid saya keluar seperti biasa hingga 27/4. Tapi pd bulan 5 saya langsung tidak dtg haid. Adakah saya kena penyakit fibroid?. Perlukah saya pergi berjumpa doktor seklai lagi?.

    1. Wa’alaikumsalam,

      Azlina,
      Banyak faktor yang menyebabkan haid tidak teratur, antaranya hormon tidak stabil, penyakit PCOS, obesiti atau kegemukan atau menghampiri menopos/putus haid. Ramai doktor/ GP yang memberi ubat datang haid bagi wanita yang tidak datang haid. Amalan ini kurang tepat sebab seorang wanita yang tidak datang haid melebihi 6 bulan (secondary amenorrhea) perlu disiasat puncanya (dengan ujian darah, ujian ultrasound dan lain-lain) sebelum diberi apa-apa ubat sebab rawatan setiap satu itu berbeza. Puan perlu berjumpa doktor sakit puan seandainya haid tidak datang melebihi 6 bulan. Tanda fibroid adalah berbeza. Sila rujuk entri saya tentang fibroid untuk mendapat penjelasan lanjut.

      Dr Murizah

  10. assalamualaikum,
    Stiap bulan sy ada dtg haid,tp hny klur 2-3 hr shaja dn tak berapa byk kluar. Adakah kebarangkalian sy akn mdpt ketumbuhn fibroid krn pendarahan yg tdk byk spt biasa sy dgr sptt 1 minggu dn dlm 1 ke 3 hr sptt penuh pad tp bg sy dtg haid 1-3 hr tp pad tk pernah penuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *