Ghazwah Badar yang terhebat

Alhamdulillah, kita berkesempatan meraikan satu peristiwa besar dan penting dalam sejarah islam, iaitu Ghazwah Badar Al-Kubra. Kita dapat bersama-sama berjalan beberapa kilometer petang tadi untuk menghayati bagaimanakah pengorbanan para sahabat berperang pada bulan Ramadhan walaupun ketika Badar para sahabat berperang, sedangkan kita hanya berjalan-jalan. Pada tahun ini kita menyambut kedatangan Ghazwah Badar lebih awal iaitu pada 12 Ramadhan.

Syeikh Munir Ghadban menyebut dalam Manhaj Haraki Sirah Nabawi, apabila masuk fasa Madaniyyah maka Rasulullah s.a.w menyebut “Labbuda harbi” (tidak dapat tidak mesti berperang). Apabila daulah tertegak, tidak dapat tidak pasti akan berlaku peperangan. Itulah sunnah pertembungan di antara haq dan batil. Kerana itu Daulah Islamiyyah mestilah mempunyai segenap persiapan di dalam mengharungi fasa ini.

Menyoroti Ghazwah Badar, banyak kitab sirah menyebut bahawa Badar berlaku kerana Rasulullah s.a.w cuba menghalang kafilah dagang Abu Sufian yang kembali dari Syam, satu kafilah besar dengan 40 kekuatan pengiring sahaja. Gambaran yang kita dapat adalah yang memulakan Ghazwah Badar adalah kelompok orang Islam. Alasannya jelas, harta umat Islam dirampas di Mekah, maka harus bagi orang Islam mengambilnya semula.

Namun hakikatnya Ghazwah Badar bukan berpunca dari orang Islam tetapi oleh orang musyrik. Terdapat banyak hadis meriwayatkan bahawa selepas orang Islam berhijrah, kaum Musyrikin Mekah menulis surat kepada Abdullah b. Ubai yang masih musyrik ketika itu, “Kamu mesti keluarkan orang Islam dari Madinah, jika tidak kami akan datang dan hancurkan semua sekali termasuk kamu”. Musyrikin Mekah juga menulis surat kepada kaum Muslimin di Madinah, “Kamu jangan merasa selesa, kami akan datang dan hancurkan kamu”.

Sedangkan Madinah sangat jauh dari Mekah, hampir 500 batu atau 8 hari perjalanan. Perjalanan antaranya adalah tandus tanpa penghuni. Sepatutnya Musyrikin Mekah merasa selamat kerana orang islam telah meninggalkan mereka. Tetapi mereka amat memahami potensi bahaya besar yang datang dari negara baru ini. Mekah sanggup menghantar seribu tentera merentas padang pasir sejauh itu bagi meleburkan umat Islam. Sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mereka atau mana-mana kabilah Arab sebelum ini.

Atas kesedaran itulah Rasulullah s.a.w. melakukan banyak tindakan bagi menghadapi ancaman ini. Baginda mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin, mengadakan perjanjian dengan Yahudi, membina masjid supaya umat Islam sentiasa bertemu 5 kali sehari dan menghantar sariyah sebagai pasukan peninjau terhadap pergerakan kaum Musyrikin.

Ghazwah Badar adalah satu pertembungan yang menakjubkan. Umur Rasulullah s.a.w. ketika iu adalah 55 tahun. Inilah perang pertama yang dilalui Rasulullah saw, pada umur pencen dan berehat-rehat bermain cucu pada skala kita. Manakala peserta-peserta Badar majoritinya adalah dari kaum Ansar yang baru saja masuk Islam. Rasulullah s.a.w. menjejakkan kaki di Madinah pada bulan Rabiulawwal 1H, manakala Badar berlaku pada bulan Ramadhan tahun berikutnya. Maknanya baru 1 tahun 6 bulan. Majoriti Kaum Ansar dianggap muallaf yang masih menerima zakat pada skala kita.
Mereka pada asalnya keluar bukan untuk berperang tapi ingin menyekat Kafilah dagang Abu Sufian. Apabila kafilah Abu Sufian terlepas dan bertemu degan seribu tentera Abu Jahal yang lengkap bersenjata dari Mekah, ada di kalangan sahabat yang terpegun. Surah al-Anfal menggambarkan perasaan mereka

“Sebagaimana Yuhanmu menyuruhmu pergi dari rumahmu dengan kebenaran, meskipun sebahagian dari orang-orang beriman tidak menyukainya. Mereka membantahmu (Muhammad) tentang kebenaran setelah nyata (bahawa mereka pasti menang), seakan-akan mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat.” (al-Anfal: ayat 5-6).

Dengan itulah Rasulullah s.a.w. membuka perbincangan berkata kepada para sahabat, “assyiru alaiya”. (berilah pendapat kamu). Maka bangkit Abu Bakar r.a. memberikan pandangan. Kemudian bangkit Umar r.a. memberikan pandangan. Rasulullah s.a.w. mendoakan mereka tetapi tetap berkata “Assyiru alaiya”. S

Seterusnya bangkit Miqdad b Amru r.a. dengan kata-katanya yang hebat,

“Wahai Rasulullah, maralah dengan apa yang Allah perlihatkan kepada tuan. Kami tetap akan bersama tuan. Demi Allah kami tidak akan berkata kepada tuan seperti kata-kata Bani Israel kepada Musa a.s, “Pergilah kamu bersama Tuhan kamu, sesungguhnya kami hanya mahu duduk saja di sini”. Tetapi kami akan berkata, “Pergilah tuan berperang bersama Yuhanmu, sesungguhnya kami akan berperang bersamamu. Demi Tuhan yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, jika tuan membawa kami ke Birkul Ghimad, nescaya kami sanggup ke sana.”

Rasulullah s.a.w. mendoakannya tetapi tetap berkata “Assyiru alaiya”. Ke semua yang berucap adalah di kalangan pimpinan Muhajirin, sedangkan Rasulullah s.a.w. inginkan kepastian dari majoriti tentera dari kaum Ansar. Baginda bimbang kaum Ansar memahami kesediaan mereka di Baiah Aqabah mempertahankan Rasulullah s.a.w. hanyalah di kota Madinah sahaja, sedangkan Badar adalah jauh dari Madinah.

Maka bangkit pimpinan Ansar, Saad b Muaz r.a., “Demi Allah, seoalah-olah tuan mahukan pendapat kami, wahai Rasulullah”. Baginda menjawab , “Ya’”.

Lalu Saad berkata,

“Sesungguhnya kami telah beriman dan percaya kepada tuan. Kami juga bersaksi apa yang tuan bawa adalah benar dan kami berikan janji-janji kami untuk sentiasa dengar dan taat. Oleh itu wahai Rasulullah, maralah kepada apa jua yang tuan kehendaki, sesungguhnya kami tetap bersama tuan. Demi Tuhan yang membangkitakan tuan dengan kebenaran, kalaulah tuan membawa kami ke laut ini lalu meredahnya, nescaya kami juga akan meredah bersama tuan. Tiada siapa di kalangan kami akan menarik diri”.

Baginda pun merasa tenang. Lalu berlakulah satu pertempuran yang bersejarah. Kelompok yang sedikit, majoritinya baru beriman dan berkelengkapan ala kadar mampu menumpaskan satu kelompok yang ramai lengkap bersenjata. Turun ayat-ayat Al-Qur’an bertalu-talu memberikan semangat. Dibukakan langit, lalu turunlah gerombolan malaikat membantu mereka manakala para syuhadak diangkat ke langit. Berlakulah seperti apa yang dicatatkan sejarah, kemenangan gilang-gemilang yang memberikan izza kepada islam.

Para pejuang Badar amat berbangga denagn Ghazwah Badar. Allah s.w.t mangangkat darjat mereka, sehingga mereka diampunkan dosa yang akan datang. Di atas penglibatan di Badarlah, maka Hatib b Abi Baltaah terlepas dari hukuman pancung kerana membocoran rahsia tentera dalam peristiwa Fathul Makkah. Sedangkan ’pengkhiatan’ beliau layak dibunuh pada mana-mana undang-undang peperangan. Sehinggakan para sahabat yag terlepas kemuliaan Badar merasa sangat rugi.

Begitulah perasaan Anas b Nadhar yang datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata, “Ya Rasulullah, andaikata berlaku lagi perang di antara kita dan mereka, kamu akan lihat apa yang akan aku lakukan”, sambil melibas-libas pedang di atas kepalanya. Beliau benar dalam janjinya. Di dalam Ghazwah Uhud, Anas berperang habis-habisan sehingga syahid sehingga jasadnya tidak dikenali kerana hancur dengan tikaman dan panahan musuh. Beliau dikenali oleh saudara perempuannya dari tanda yang ada pada jarinya. Kita juga harus berbangga kepada pejuang-pejuang Badar. Kita hendaklah menjadikan mereka sebaik-baik contoh sebagaimana para sahabat melakukannya.

Itulah perjuangan para sahabat, sedangkan kita masih berseronok dalam beragama. Masyarakat kita masih di dalam kecelaruan. Kumpulkan semula kekuatan anak bangsa kita. Dengan itu kita angkat slogan ’Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’. Bukan supaya parti-parti politik Islam bersatu, tetapi kita minta sepakat atas perkara-perkara yang mendaulatkan Islam. Jika tidak sanggup mengambil risiko, jangan terlibat perjuangan. Tetapi jika tiada perjuangan, apalah erti hidup ini!

Ditulis berdasarkan tazkirah Badar Kubra pada 12 Ogos 2011 oleh Ustaz Abdul Fisol bin Md Isa, Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA Alor Setar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *