Hadirin pelbagai latar belakang sertai wacana muamalat Islam

KEPALA BATAS (Kedah), 14 Julai – Bicara Pelaburan emas dan Perbankan Islam yang dianjurkan oleh Biro Dakwah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Alor Setar dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Kedah telah berlangsung dengan jayanya  di Dewan Masjid as-Shahab, Kepala Batas Kedah. Program yang berlangsung selama separuh hari bermula dari jam 8.00 pagi sehingga jam 1.00 tengahari itu berjaya menarik penyertaan hampir seratus 0rang peserta daripada pelbagai latar belakang.

Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Zulkifli bin Yusof selaku YDP ISMA cawangan Alor Setar dan menampilkan Profesor Madya Dr. Asmadi bin Mohamed Naim sebagai pembentang. Beliau merupakan Dekan Islamic Business School, Kolej Perniagaan UUM dan juga merupakan Panel Penasihat Syariah di salah sebuah bank Islam di Malaysia.

Pembentangan dibahagikan kepada 2 slot iaitu Pelaburan Emas dalam slot pertama dan diikuti dengan Perbankan Islam dalam slot kedua. Kedua-dua slot berjaya diisi dengan baik oleh pembentang dan juga berjaya difahami oleh para peserta. Sesi soal jawab yang panjang selama 90 minit dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk merungkai segala permasalahan berkaitan kewangan Islam yang terbuku di hati selama ini.

Selain ucapan perasmian dan pembentangan, ucapan turut diberikan oleh Ustazah Faridah binti Ahmad, Pegawai Penyelidik mewakili Jabatan Mufti Negeri Kedah yang menjadi penganjur bersama program ini. Kolej Komuniti Darulaman juga bersama-sama menjayakan program ini dengan menyumbangkan fail dan beg cenderahati buat para hadirin.

Rata-rata peserta yang ditemui merasakan program ini amat bermanfaat dan patut diteruskan pada masa-masa yang akan datang lebih-lebih lagi apabila ianya disampaikan oleh seorang tokoh kewangan Islam yang terkemuka di Malaysia.

Media ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *