Harakah Islam mesti ambil iktibar kekalahan Uhud

Di antara sebab kekalahan pejuang-pejuang Islam di medan Uhud adalah cenderungnya hati kepada dunia apabila melihat apa yang mereka sukai berada di hadapan mata, sehingga sanggup menderhakai perintah Rasulullah SAW, dan berbalah sama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan dan kelemahan.

Allah memberi komen terhadap peristiwa perang Uhud ayat 152 Ali ‘Imran yang bermaksud

“Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.”

Oleh sebab itu dalam perjuangan menegakkan Islam, harakah Islamiah mesti memberi perhatian kepada mendidik dan membersihkan hati dari pengaruh keduniaan. Perhatian mesti diberi kepada solat berjamaah, qiyamullail, puasa, tilawah Al-Quran, zikir pagi dan petang, berkasih sayang sesama umat Islam dan meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamat yang tertinggi.

Insya Allah, dengan ini kita tidak akan tertipu dengan silauan-silauan yang zahir seolah-olah kita sudah kuat dan akan mendapat kemenangan. Allah pasti tolong kamu, sekiranya kamu benar-benar menolong agama Allah.

Oleh:
Ustaz Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa
Ketua Perhubungan ISMA
Negeri Kedah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *