Hasan al-Banna: Beberapa renungan tentang bulan Ramadhan

Kita panjatkan pujian dan kesyukuran kepada Allah S.W.T. Kita ucapkan selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W, juga untuk seluruh ahli keluarga dan sahabatnya, serta sesiapa saja yang menyeru dengan dakwahnya hingga ke hari kiamat.

Wahai Ikhwan yang mulia,

Saya sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan dari sisi Allah yang diberkati dan penuh kebaikan; Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Pada malam terakhir bulan Sya’ban ini kita akhiri siri-siri perbicaraan dan perbahasan kita tentang “Beberapa renungan tentang al-Quran Kitab Allah S.W.T” dan akan kita mulakan semula perbicaraan InsyaAllah pada sepuluh haribulan Syawal kelak. Kita akan membuka suatu lembaran dan musim baru dari siri bicara dan kuliah-kuliah Ikhwan dengan tajuk baru iaitu Beberapa Renungan Tentang Seerah Nabi dan Sejarah Islam.

Wahai Ikhwan sekalian,

Ramadan adalah bulan perasaan dan rohani, serta saat untuk menghadapkan diri kepada Allah. Sejauh yang saya ingat, ketika bulan Ramadan menjelang, sebahagian salafus salih mengucapkan selamat tinggal kepada sebahagian yang lain hingga mereka berjumpa kembali ketika melakukan solat Hari Raya. Apa yang mereka rasakan adalah bahawa Ramadan ini bulan ibadah, bulan untuk melaksanakan siyam (puasa) dan qiyam (salat malam) dan kami ingin menyendiri hanya dengan Tuhan kami.

Ikhwan sekalian,

Sebenarnya saya berusaha untuk mencari kesempatan untuk mengadakan bicara Selasa sebegini pada bulan Ramadan, tetapi saya tidak mendapati ada waktu yang sesuai. Jika sebahagian besar waktu selama setahun telah digunakan untuk mengadakan renungan-renungan tentang al-Quran, maka saya ingin agar waktu yang ada di bulan Ramadan ini kita gunakan untuk melaksanakan hasil dari renungan tersebut. Apatah lagi, ramai di kalangan ikhwan yang melaksanakan salat tarawih dan memanjangkannya, hingga mengkhatamkan al-Quran satu kali di bulan Ramadan. Ini merupakan suatu cara mengkhatamkan al-Quran yang indah. Malaikat Jibril biasa membaca dan mendengarkan bacaan al-Quran dari Nabi S.A.W sekali dalam setahun. Nabi S.A.W mempunyai sifat dermawan, dan sifat dermawan beliau ini paling menonjol dapat dilihat pada bulan Ramadan ketika Malaikat Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan al-Quran beliau. Beliau lebih dermawan dan pemurah dibandingkan dengan angin yang ditiupkan.

Kebiasaan membaca dan mendengarkan bacaan al-Quran ini terus berlangsung sampai pada tahun ketika Rasulullah S.A.W diberi pilihan untuk menghadap Ar-Rafiq Al-A’la (Allah S.W.T. -pen.), maka ketika itu Jibril membaca dan mendengarkan bacaan al-Quran beliau dua kali. Ini merupakan isyarat bagi Nabi S.A.W bahawa tahun ini merupakan tahun terakhir beliau hidup di dunia.

Ikhwan sekalian,

Ramadan adalah bulan al-Quran. Rasulullah S.A.W pernah bersabda tentangnya;

الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ

“Puasa dan al-Quran itu akan memberikan syafaat kepada seseorang hamba di hari kiamat. Puasa akan berkata, ‘Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya dari makan dan syahwat, maka perkenankanlah aku memberikan syafaat untuknya.’ Sedangkan al-Quran akan berkata, ‘Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya dari tidur di malam hari, maka perkenankan aku memberikan syafaat untuknya. ‘Maka Allah memperkenankan keduanya untuk memberikan syafaat”. (HR. Imam Ahmad dan At- Tabrani)

Wahai Ikhwan,

Dalam diri saya terlintas satu pemikiran yang ingin saya utarakan. Ini kerana kita berada di pintu masuk bulan Puasa, maka hendaklah pembicaraan dan renungan kita berkaitan dengan tema bulan Ramadan.

Ikhwan sekalian,

Kita telah berbicara panjang lebar tentang sentuhan perasaan cinta dan persaudaraan yang dengannya Allah telah menyatukan hati kita, yang salah satu kesannya yang paling terasa adalah wujudnya pertemuan ini kerana Allah. Bila kita tidak akan berjumpa dalam masa empat minggu atau lebih, maka bukan bererti bara perasaan ini akan padam atau hilang. Kita tidak mesti melupakan prinsip-prinsip luhur tentang kemuliaan dan persaudaraan kerana Allah, yang telah dibangun oleh hati dan perasaan kita dalam majlis yang baik ini. Sebaliknya, saya yakin bahawa ia akan tetap menyala dalam jiwa sampai kita berjumpa kembali setelah masa rehat pada bulan Ramadan yang mulia ini, insyaAllah. Jika ada salah seorang dari anda melaksanakan salat pada malam Rabu, maka saya berharap agar ia mendoakan kebaikan untuk ikhwannya. Jangan Anda lupakan ini! Kemudian saya ingin anda selalu ingat bahawa jika hati kita merasa dahaga akan perjumpaan ini selama minggu-minggu tersebut, maka saya ingin anda semua tahu bahawa dahaganya itu akan dipuaskan oleh mata air yang lebih utama, lebih lengkap, dan lebih tinggi, iaitu hubungan dengan Allah S.W.T, yang merupakan cita-cita terbaik seorang mukmin bagi dirinya, di dunia mahupun akhirat.

Oleh kerana itu, ikhwan sekalian,

Hendaklah anda semua berusaha agar hati anda menyatu dengan Allah S.W.T pada malam-malam bulan mulia ini. Sesungguhnya puasa adalah ibadah yang dikhususkan oleh Allah S.W.T bagi diriNya sendiri.

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

“Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa. la untukKu dan Aku akan memberikan balasannya.”

Perkara ini, wahai Ikhwan sekalian, mengisyaratkan bahawa setiap amal yang dilaksanakan oleh manusia mengandungi manfaat lahiriah yang dapat dilihat, dan di dalamnya terkandung suatu bahagian yang baik untuk diri kita. Kadang-kadang jiwa seseorang terbiasa dengan salat, sehingga ia ingin melaksanakan banyak salat sebagai bahagian bagi dirinya. Kadang-kadang ia terbiasa dengan zikir, sehingga ia ingin banyak berzikir kepada Allah sebagai bahagian bagi dirinya. Kadang-kadang ia terbiasa dengan menangis kerana takut kepada Allah, maka ia ingin banyak rnenangis kerana Allah sebagai bahagian bagi dirinya. Adapun puasa, wahai akhi, di dalamnya tidak terkandung apa pun selain larangan. Ia perlu melepaskan diri dari bermacam keinginan terhadap apa yang menjadi bahagian dirinya. Bila kita terhalang untuk berjumpa antara satu sama lain, maka kita akan banyak berbahagia kerana bermunajat kepada Allah S.W.T dan berdiri di hadapanNya, khususnya ketika melaksanakan salat tarawih.

Ikhwan sekalian,

Hendaklah sentiasa ingat bahawa anda semua berpuasa kerana melaksanakan perintah Allah S.W.T. Maka berusahalah sungguh-sungguh untuk selalu bersama dengan Allah pada bulan mulia ini.

Ikhwan sekalian,

Ramadan adalah bulan yang utama lagi mulia. Ia mempunyai kedudukan yang agung di sisi Allah S.W.T. Hal ini telah dinyatakan dalam kitabNya:

“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah:185)

Wahai saudaraku, pada akhir ayat ini anda mendapati:

(dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Al-Baqarah: 185)

Puasa adalah kemanfaatan yang tidak mengandung bahaya. Dengan penyempurnaan puasa ini, Allah S.W.T  akan memberikan hidayah kepada hambaNya. Jika Allah memberikan taufik kepada anda untuk menyempurnakan ibadah puasa ini dalam rangka mentaati Allah, maka ia adalah hidayah dan hadiah yang patut disyukuri dan selayaknya Allah diagungkan atas kurniaan hidayah tersebut.

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur..” (Al-Baqarah: 185)

Kemudian, lihatlah wahai saudaraku, kesan daripada semua ini;

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Al-Baqarah; 186)

Wahai saudaraku,

Di sini anda melihat bahawa Allah Yang Maha Benar meletakkan ayat ini di tempat ini untuk menunjukkan bahawa Dia S.W.T  paling dengan hambaNya pada bulan mulia ini. Allah S.W.T. telah memberi keistimewaan kepada bulan Ramadan. Mengenai hal ini terdapat beberapa ayat dan hadith. Antaranya Nabi S.A.W bersabda:

إِذَا جاء شَهْرِ رَمَضَانَ فتحت أبواب الجنة وغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّيران وصُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ ثم نَادِي مُنَادٍ من قبل الحق تبارك وتعالى يَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِر وَيَا بَاغِيَ الْخَيْرِ هلُمَّ ..

“Jika bulan Ramadan datang, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu, kemudian datang seorang penyeru dari sisi Allah Yang Maha Benar S.W.T “Wahai pencari kejahatan, berhentilah. Dan wahai pencari kebaikan, ayuh kemarilah!.”

Wahai saudaraku,

Pintu-pintu syurga dibuka, kerana manusia berbondong-bondong melaksanakan ketaatan, ibadah, dan taubat, sehingga jumlah pelakunya ramai. Syaitan-syaitan dibelenggu, kerana manusia akan beralih kepada kebaikan, sehingga syaitan tidak mampu berbuat apa-apa. Hari-hari dan malam-malam Ramadan, merupakan masa-masa kemuliaan yang diberikan oleh Allah  S.W.T, agar orang-orang yang berbuat baik menambah kebaikannya dan orang-orang yang berbuat jahat mencari kurnia Allah S.W.T  sehingga Allah mengampuni mereka dan menjadikan mereka hamba-hamba yang dicintai dan didekatkan kepada Allah.

Keutamaan dan keistimewaan paling besar bulan ini adalah bahawa Allah S.W.T telah memilihnya menjadi waktu turunnya al-Quran. Inilah keistimewaan yang dimiliki oleh bulan Ramadan. Sebab itu, Allah S.W.T memberi keistimewaan dengan menyebutkannya dalam kitabNya.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran.” (Al-Baqarah: 185)

Ada ikatan maknawiah (hakikat/semangat) dan hissiah(fizikal/sensual) antara turunnya al-Quran dengan bulan Ramadan. Ikatan ini ialah: Selain Allah telah menurunkan al-Quran di bulan Ramadan, maka di bulan ini pula Dia mewajibkan puasa. Ini kerana puasa bererti menahan diri dari hawa nafsu dan syahwat. Ini merupakan kemenangan hakikat spiritual ke atas hakikat material dalam diri manusia. Ini bererti, wahai Akhi, bahawa jiwa, roh, dan akal manusia pada bulan Ramadan akan menghindari tuntutan-tuntutan jasmani dan kehendak-kehendak biologi tubuh badan. Dalam keadaan seperti ini, roh manusia berada di puncak kejernihannya, kerana ia tidak disibukkan oleh syahwat dan hawa nafsu. Ketika itu ia dalam keadaan paling bersedia untuk memahami dan menerima ilmu daripada Allah S.W.T. Oleh itu, bagi Allah, membaca al-Quran merupakan ibadah paling utama pada bulan Ramadan yang mulia.

Dalam kesempatan ini, Ikhwan sekelian, saya akan meringkaskan untuk anda semua pandangan-pandangan saya tentang kitab Allah S.W.T dalam kalimat-kalimat yang ringkas.

Wahai Ikhwan yang mulia,

Tujuan-tujuan asasi dalam kitab Allah S.W.T  dan prinsip-prinsip utama yang menjadi landasan bagi petunjuk al-Quran ada empat:

1. Pengislahan atau pembaikan Akidah

Anda mendapati bahawa al-Quran al-Karim banyak menjelaskan masalah akidah dan menarik perhatian kepada apa yang seharusnya tertanam sungguh-sungguh di dalam jiwa seorang mukmin, agar ia dapat mengambil manfaatnya di dunia dan di akhirat. Keyakinan mendalam bahawa Allah S.W.T  adalah Yang Maha Esa, Yang Maha kuasa, Yang menyandang seluruh sifat kesempurnaan dan bersih dari segala kekurangan. Seterusnya keyakinan kepada hari akhirat bahawa setiap jiwa akan dihisab tentang apa saja yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

Wahai saudaraku,

Jika anda mengumpulkan ayat-ayat mengenai aqidah dalam Al-Quran, niscaya Anda mendapati bahawa keseluruhannya mencapai lebih dari sepertiga al-Quran. Allah S.W.T  berfirman dalam surat al-Baqarah,

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).” (Al-Baqarah: 21-22)

Wahai saudaraku,

Setiap kali membaca surah ini, anda mendapati kandungannya ini terbentang di hadapan anda. Allah S.W.T juga berfirman dalam surah al-Mukminun,

Tanyakanlah (Wahai Muhammad): “Kepunyaan siapakah bumi ini dan Segala Yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?” Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah”. katakanlah: “Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?” Tanyakanlah lagi: “Siapakah Tuhan Yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?” Mereka akan menjawab: “(Semuanya) kepunyaan Allah”. katakanlah: “Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” Tanyakanlah lagi: siapakah yang memegang Kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!” Mereka akan menjawab: “(Segala-galanya) dikuasai Allah”. katakanlah: “Jika demikian, Bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara Yang tidak benar?” (bukanlah sebagaimana tuduhan mereka) bahkan Kami telah membawa kepada mereka keterangan Yang benar, dan Sesungguhnya mereka adalah berdusta. (Al-Mukminun: 84-90)

Allah S.W.T. juga berfirman dalam surah yang sama,

Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan. Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam.” (Al-Mukminun: 101-103)

Allah S.W.T juga berfirman,

Apabila bumi digegarkan Dengan gegaran Yang sedahsyat-dahsyatnya, serta bumi itu mengeluarkan Segala isinya, dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa Yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Az-Zalzalah: 1-8)

Allah S.W.T berfirman,

Hari Yang menggemparkan, Apa dia hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? (Al-Qari’ah: 1-3)

Dalam surah lain Allah berfirman,

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak akibatnya Yang buruk pada hari kiamat)! (At-Takasur: 1-4)

Wahai akhi, ayat-ayat ini menjelaskan tentang hari akhirat dengan penjelasan jelas yang dapat melunakkan hati yang keras.

2. Peraturan Ibadah

Anda juga membaca firman Allah S.W.T mengenai ibadah.

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat. (Al-Baqarah: 43)

“…kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu. (Al-Baqarah: 183)

“…dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan Ibadat Haji Dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadaNya.” (Ali-Imran: 97)…

“Sehingga Aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah ia Maha Pengampun.” (Nuh: 10).

Dan banyak ayat lain lagi mengenai ibadah.

3. Peraturan Akhlak

Mengenai pengaturan akhlak, wahai Akhi, anda biasa membaca firman Allah S.W.T

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.” (As-Syams: 7-8)

“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..” (Ar-Ra’d: 11)

Maka adakah orang yang mengetahui bahawa al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (Wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang Yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna. Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu; dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat); dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat.” (Ar-Ra’d: 19-22)

Wahai saudaraku,

Anda mendapati bahawa akhlak-akhlak mulia bertebaran dalam kitab Allah S.W.T dan bahawa ancaman bagi akhlak-akhlak yang tercela sangatlah keras.

Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, – mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya.” (Ar-Ra’d: 25)

4. Peraturan Urusan Masyarakat

Inilah peraturan-peraturan tersebut, Ikhwan sekelian. Sebenarnya, peraturan-peraturan itu lebih tinggi daripada apa yang dikenal oleh manusia kerana di dalamnya terkandung semua yang dikehendaki oleh manusia untuk mengatur urusan masyarakat. Ketika membentang sekelompok ayat, maka anda akan dapati makna-makna ini jelas dan terang.

“Satu perempat juzuk tentang arak” yang diawali dengan

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi (Al-Baqarah: 219),

… mengandungi lebih dari dua puluh lima hukum amali: tentang arak, judi, anak-anak yatim, pernikahan laki-laki dan wanita-wanita musyrik, haid, sumpah, ila’, talak, rujuk, khulu’, nafkah, dan hukum-hukum lainnya yang banyak sekali anda dapati dalam satu perempat juzuk sahaja. Hal ini berlaku kerana surah al-Baqarah diturunkan untuk mengatur masyarakat Islam di Madinah.

Wahai Ikhwan yang dikasihi,

Hendaklah anda semua menjalin hubungan dengan kitab Allah. Bermunajatlah kepada Tuhan kalian dengan kitab Allah. Hendaklah masing-masing dari kita memperhatikan prinsip-prinsip utama yang telah saya sebutkan ini, kerana itu akan memberikan manfaat yang banyak kepadamu wahai saudaraku. InsyaAllah anda akan mendapat manfaat darinya.

Moga-moga selawat dan salam dilimpahkan kepada penghulu kita Nabi Muhammad dan kepada seluruh ahli keluarga dan para sahabatnya.

Diambil dari Siri Himpunan Kuliah Hari Selasa Imam Hasan al-Banna
Sumber : Ahmad Isa ‘Asyur.T.Tarikh.Hadith ath-Thulatha’ Li al-Imam Hasan al-Banna. Kaherah: Maktabah al-Quran. m.s: 146-151

Terjemahan dan suntingan oleh:
Ustaz Mohd Najib bin Sulaiman
Ketua Biro Dakwah
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *