HIMPUN bangkitkan kesedaran umat Islam Malaysia

PERHIMPUNAN Sejuta Umat (Himpun) tidak secara mutlak menjadikan jumlah kehadiran sebagai ukuran kejayaan.

Lebih 10,000 yang hadir sudah memadai di peringkat awal untuk melangsungkan Himpun. Tetapi pengaruh 10,000 ini akan mencetuskan kesan gandaan yang besar. Lebih-lebih lagi bila ia berkunjung ke seluruh negara jumlahnya akan melepasi ratusan ribu.

Hebahan yang dibuat oleh Radio IKIM, akhbar perdana seperti Utusan MalaysiaSinar Hariandan lain-lain sebelum dan selepas Himpun menunjukkan liputan yang merentasi lebih sejuta umat. Inilah satu contoh perhimpunan ramai yang aman dan terkawal. Walaupun isunya kontroversial, pemidatonya bersemangat tetapi mesejnya tidak provokatif.

Ia memperlihatkan kematangan dalam kalangan pihak penganjur yang bersikap terbuka terhadap pelbagai organisasi dalam latar yang berbeza yang menyertai Himpun dengan tekad menyedarkan umat Islam. Ini adalah peringatan kepada bukan Islam bahawa isu akidah bagi umat Islam adalah isu pokok dan peruntukan dalam Perlembagaan mengenai kebebasan beragama mesti dipatuhi.

Tahniah kepada petugas-petugas yang menyebabkan Himpun berjalan lancar dan baik sekali khusus sebuah badan Islam yang sedang meningkat naik, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang terdiri dalam kalangan kelompok berlatarkan agama dan professional dan didukung oleh tenaga muda berbakat untuk menjaga kepentingan dakwah dan kelangsungan umat Melayu di Malaysia.

Meski terdapat badan-badan Islam yang lebih senior seperti ABIM, PKPIM dan WADAH mengambil sikap tidak menyertai namun penampilan GAMIS dengan pemimpinnya berucap adalah suatu dimensi baru yang menarik untuk dikaji.

Pas Pusat mengambil sikap tidak bersama dalam Himpun dengan alasan bahawa ia adalah himpunan NGO bukannya politik. Oleh itu parti politik seperti Pas tidak harus terlibat. Apakah keputusan ini dibuat atas pertimbangan politik diletakkan di atas akidah atau isu akidah bukan menjadi keutamaan Pas?

Atau keputusan itu dibuat kerana memberi respons terhadap pendirian Anwar Ibrahim yang memandang remeh isu pemurtadan dan tentangan Anwar terhadap Himpun menyebabkan Presiden Pas turut mengambil sikap yang sama.

Tetapi dalam pemerhatian penulis ramai tokoh Pemuda Pas dan orang muda yang hadir. Puisi Ketua Pemuda Pas, Ustaz Nasruddin Hasan dibacakan dan Datuk Hasan Ali , Exco Agama Kerajaan Selangor dan ahli Jawatankuasa Pas Pusat hadir atas nama peribadi membaca doa menutup majlis Himpun.

Apakah ini gambaran bahawa ahli dan kepimpinan Pas sebahagiannya merasakan isu murtad dan pemesongan akidah adalah isu yang benar dan wajib diatasi dengan bijaksana.

Walaupun sebelum Himpun, khidmat pesanan ringkas (sms) bertebaran supaya memulaukan Himpun tetapi sambutan yang berlaku baik sekali. Untuk kali pertamanya dalam sejarah ribuan NGO Islam bersatu dalam deklarasi 10 perkara yang amat bermakna bagi perjuangan seterusnya.

Umum memahami bahawa telah sekian lama umat Islam berpecah kepada banyak kelompok. Usaha penyatuan dilihat semacam sesuatu yang mustahil. Tetapi atas nama mempertahankan akidah umat NGO Islam mula bekerjasama dan ia menjadi titik permulaan kepada persefahaman yang lebih besar dan kerjasama lebih erat.

Pada hemat penulis isu akidah adalah isu utama hidup sebagai seorang Islam, organisasi Islam apalagi organisasi politik. Politik Islam tetap meletakkan isu akidah tauhid sebagai sesuatu yang amat utama. Selepas kewafatan Rasulullah SAW berlaku riddah terhadap yang murtad. Ia memperlihatkan betapa seriusnya para sahabat Nabi menjadikan isu ini dalam tempoh awal wafatnya Rasulullah SAW.

Apakah di kalangan ahli politik Islam dan gerakan Islam yang lebih senior tidak mengikuti usaha pemurtadan yang berlaku di seluruh dunia Islam hari ini. Penulis percaya mereka tahu. Apakah kerana mereka tak dijadikan kepala dalam memimpin Himpun menyebabkan mereka tidak menyertai.

Kita harus jujur dengan perjuangan yang dibina. Usaha membina ukhuwah dan persaudaraan sesama Islam adalah suatu tuntutan. Kekuatan musuh memurtadkan orang Islam kerana mereka tahu gerakan Islam dan parti politik umat Islam berpecah. Mereka payah untuk bersatu. Perpecahan ini menyebabkan usaha pemurtadan berjalan dengan agresif dan licik sekali.

Penulis percaya sebahagian besar umat Islam sudah jemu dengan perpecahan yang sedang terjadi. Perpecahan umat dalam realiti Malaysia boleh menyebabkan strategi memperkasa akidah akan terjejas . Perpecahan sesama Islam bukanlah gambaran baik untuk anak-anak dan generasi muda Islam. Dan perpecahan juga natijah akhirnya bakal menyebabkan kehilangan kuasa politik umat Islam.

Kita tidak harus sombong mendakwa bahawa kalau dapat kuasa politik memerintah nanti maka isu murtad tidak akan berbangkit. Apa yang dapat dibuat dengan Negara Berkebajikan yang bercampur dengan faham liberal dan pluralis dan pendekatan sosialis demokrat ke arah negara Republikan kepentingan Islam dan akidahnya boleh terpelihara.

Gerakan Himpun adalah suatu permulaan untuk menemukan hati-hati yang berbalah. Ia juga menjadikan isu akidah paling tidak sebagai faktor penyatuan dan bakal memulakan muzakarah untuk mencari titik-kebaikan yang lebih luas.

Apakah matlamat ini tidak dirasakan oleh parti politik Islam atau NGO Islam senior. Apakah sikap ini terjadi kerana partisannya mereka terhadap seorang tokoh yang hari ini dikaitkan dengan isu liberal dan pluralis. Faham liberal dan pluralis adalah jalan awal ke arah pemurtadan.

Apakah kerana ketidaksediaan terbuka untuk mendengar pandangan orang lain menyebabkan dari orang lain adalah usaha khianat dan tidak patut disokong.

Gerakan pemurtadan adalah suatu fenomena serius. Kelompok Evangelis sedang bergerak dengan agresif dan terancang memurtadkan orang-orang Islam. Dana yang sangat banyak dari Eropah sedang mengalir untuk menerbitkan kitab-kitab dan tulisan, gerak-kerja pemurtadan dalam bentuk menawarkan bantuan kepada yang daif dan memerlukan.

Ia meresap masuk ke institusi kewangan dan professional malah ke sekolah-sekolah dan universiti dengan mengedarkan al Kitab kepada para pelajar dan secara halus mempengaruhi generasi muda yang lemah akidahnya terjebak dalam perangkap yang dipasang.

Himpun juga bermaksud secara terbuka memperingatkan kepada ejen-ejen pemurtadan bahawa gerakan ini adalah bahaya bagi Malaysia dan hubungan antara agama malah bangsa.

Perlembagaan Malaysia telah memperuntukkan dengan jelas akan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kebebasan beragama terhadap penganut agama-agama lain.

Kalau peruntukan perundangan ini dihormati , penulis percaya Malaysia akan menjadi sebuah negara contoh bahawa pluraliti dalam memahami makna persamaan dan perbezaan dapat difahami secara baik dan bijaksana.

Yang amat dituntut adalah etika berbeza. Al-Quran memberi landasan yang sangat jelas mengenai perbezaan ini “Lakum deenukum walyadeen – kamu agama kamu dan kami agama kami”, “Laaiqhafiddeen – tiada paksaan dalam beragama.

Kalau ini difahami dengan betul dan dengan rasa toleransi yang tinggi, Malaysia akan menjadi sebuah negara contoh yang boleh diteladani oleh negara ini. Inilah yang tersurat dan tersirat pada hemat penulis maksud Himpun itu berhimpun.

Sumber: Utusan Malaysia, 26 Oktober 2011

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *