I-Medik Kedah sasar gempur sekolah-sekolah jayakan kempen jauhi zina

dr murizah

ALOR SETAR, 12 Feb – Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-Medik) Negeri Kedah akan menjayakan kempen “Katakan Tidak Kepada Zina” di Kedah sebagai langkah menangani gejala zina di kalangan remaja dan belia di negeri ini.

Menurut Pengerusi I-Medik Negeri Kedah, Dr. Murizah bt Mohd Zain, walaupun masalah perlakuan zina pada masa kini sudah berada di tahap kronik, ia masih dianggap perkara yang biasa.

Statistik pada tahun 2011 melaporkan kes buang bayi yang meningkat dari 79 kes pada tahun 2009 menjadi 98 pada tahun 2011. Menurut laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih 300,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 – 2012. Ini bermakna, secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 83.3 kes setiap hari. Majoriti pelaku zina adalah remaja berusia 18-25 tahun.

Dr. Murizah tidak menolak pelbagai inisiatif dan program telah dilakukan oleh banyak pihak untuk menangani masalah ini seperti pewujudan rumah perlindungan wanita terlanjur, rumah-rumah perlindungan bayi-bayi yang dibuang seperti ‘baby hatch’ dan mengadakan kempen-kempen gaya hidup sihat bagi remaja serta penguatkuasaan undang undang yang lebih berat, namun semua ini belum cukup.

Jelas beliau yang juga merupakan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Hospital Sultanah Bahiyah, tekanan hidup, kurang pengetahuan mengenai kesihatan dan kurangnya penghayatan agama adalah faktor-faktor utama yang membawa kepada terjadinya gejala kronik ini.

“Justeru itu, I-Medik Kedah telah mengambil inisiatif untuk untuk menganjurkan program ini dengan sasaran utama iaitu para remaja yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah menengah yang diharap mampu memberi impak yang mendalam kepada para remaja dan belia.

Kempen ini akan dilaksanakan bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) Kedah dan I-Medik Kedah turut mensasarkan kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri dalam menjayakan siri program kesedaran ini di sekolah-sekolah.

“Kami (I-Medik) turut mengalu-alukan kerjasama golongan professional dari kalangan pengamal perubatan dan ahli agama untuk memberi kesedaran kepada para remaja implikasi zina dari sudut perubatan dan agama. Mudah-mudahan dengan kesedaran ini akan membangkitkan jatidiri untuk para remaja sekelian menjauhi zina dari kehidupan,” ujar beliau lagi.

Wartawan: Alfakhru Fauzi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *