I-Medik tekad pupuk masyarakat hidup sihat berteraskan Islam

i1

ALOR SETAR, 6 Julai – Sesuai dengan slogan “Membangun Tamadun Perubatan Islam”, Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Cawangan Kedah sentiasa menjadikan ajaran Islam sebagai teras kepada segala aktiviti yang dijalankan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, I-Medik Kedah aktif melaksanakan kempen “Say No To Zina” di sekolah-sekolah di negeri Kedah. Terbaru, program tersebut telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra (SMJ) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Darulaman Heights 1 (SMKDH).

Pengisian program lebih tertumpu kepada peri pentingnya penghayatan agama Islam kepada para remaja khususnya berkaitan batas pergaulan yang biasanya menjadi penyebab utama berlakunya kancah penzinaan, selain pendedahan kesan-kesan hubungan zina dari sudut perubatan.

Perkongsian disampaikan oleh ahli-ahli I-Medik Kedah sendiri termasuklah Pakar Perubatan Reproduktif dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Murizah bt Mohd Zain, Pakar Pembedahan Kanser ENT, Dr. Zulkifli bin Yusof serta doktor-doktor pakar dan terlatih lain yang komited bersama pertubuhan bukan kerajaan ini.

i2

Dr. Murizah bt Mohd Zain, Dr. Zulkifli bin Yusof dan ahli-ahli I-Medik Kedah bergambar kenangan bersama pengetua SMK Darulaman Heights 1 selepas program Say No To Zina.

Selain kempen kesedaran, I-Medik Kedah yang juga rakan strategik pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) ini turut menabur bakti bersama masyarakat dengan menganjurkan Karnival Kesihatan Desa di kawasan luar bandar.

Menurut Pengerusi I-Medik Kedah, Dr Mohd Shahfi Fauzee bin Ismail, karnival sebegini diadakan untuk memberi peluang kepada masyarakat desa yang tinggal jauh dari bandar untuk bertemu sendiri dengan para doktor dan pakar perubatan untuk mendapatkan rundingan kesihatan.

i3Pengerusi I-Medik Kedah, Dr. Mohd Shahfi Fauzi bin Ismail menerima cenderamata penghargaan daripada ADUN Jeneri, Yang Berhormat Encik Mahadzir Abdul Hamid atas penganjuran Karnival Kesihatan Desa di Kampung Keda Sungai Semiar, Sik, baru-baru ini.

Penganjuran karnival sebegini seperti yang diadakan di Kampung Semiar di Sik baru-baru ini turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai pihak antaranya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *