Ibrah pendakian Jabal Thur

Selamat menyambut Maal Hijrah. Pada saat ini ramai yang memperkatakan perkara berkaitan dengan Peristiwa Hijrah atau pun maksud yang tersirat daripada peristiwa Hijrah.

Saya teringat peristiwa dua tahun yang lepas ketika saya mengerjakan ibadah haji iaitu pada tahun 2009 bersamaan 1430H. Rombongan haji kami yang diketuai oleh Ustaz Abdul Halim mengadakan Ekspedisi pendakian ke Jabal Thur. Apa yang istimewanya di Jabal Thur ini adalah terletaknya gua Thur.

5 Disember 2009 (18 Zulhijjah 1430H), itulah tarikh kami mendaki Jabal Thur. Seawal jam 7 pagi kami telah berkumpul di lobi hotel. Kelihatan jemaah haji yang berkumpul di lobi sangat bersemangat. Saya menjadi bersemangat sama apabila melihat ramai jemaah haji wanita yang berumur dalam lingkungan 50-an turut serta.

Tempat duduk di dalam bas telah penuh. Jemaah haji lelaki bangun memberikan tempat duduknya kepada jemaah wanita. Kira-kira 10 orang terpaksa berdiri.

Setelah sampai, saya nampak jaluran putih yang memanjang di lereng-lereng bukit. Kata Ustaz Abdul Halim itulah jalan-jalan yang akan di lalui untuk mendaki. Kebiasaannya pendakian mengambil masa satu setengah jam dan masa menuruni lebih kurang sejam. Di lereng bukit akan terdapat orang Pakistan mengetuk batu bukit untuk memudahkan jemaah mendaki. Jemaah bolehlah bersedekah atas kerja yang dilakukannya.

Ahli rombongan mengambil gambar beramai-rami di kaki bukit sebelum memulakan pendakian.

Ekspedisi pun bermula. Saya melihat dari kejauhan laluan yang akan dilalui kelihatan landai. Saya berazam untuk sampai ke puncak. Inilah jejak yang pernah dilalui oleh Rasulullah s.a.w sewaktu berhijrah bersama Saidina Abu Bakar r.a. Saya hendak merasai kesukaran yang dilalui oleh dua insan yang mulia ini.

Sambil mendaki, fikiran saya menerawang kepada kisah hijrah Rasulullah ini. Sebelum melakukan perjalanan hijrah, Rasulullah s.a.w telah merancang perjalanan baginda. Bagaimana hendak mengelirukan musuh. Satu perancangan yang sangat teliti. Jika difikirkan, baginda adalah kekasih Allah. Jika hendak mudah, baginda boleh meminta Allah s.a.w memudahkan perjalanan hijrah baginda seperti semudah Nabi Sulaiman mengalihkan istana ratu Saba’. Tetapi ini tidak berlaku. Bagi kita sebagai insan biasa, bila kita hendak membuat sesuatu amal terutamanya amal dakwah, amatlah perlu perancangan yang teliti. Bukan sekadar melepaskan batuk ditangga atau berpuas hati kita telah mengambil sedikit bahagian tetapi apabila berlaku sedikit masalah kita tidak merasakan kita perlu turut menyelesaikan masalah tersebut. Kerana apa? Kerana kita merasakan bukan tugas kita. Dah ada orang yang ditugaskan. Di mana ukhuwah dan keikhlasan kita. Renungkanlah. Betapa perlunya kita berhijrah daripada sikap sebegini.

Rasulullah s.a.w juga tidak melakukan perjalanan Hijrah ini berseorangan. Ramai individu yang terlibat seperti Ali bin Abi Talib, Asma’ binti Abu Bakar, Abdullah bin Abu Bakar dan sebagainya. Satu gambaran betapa perlunya kita bekerja secara berjemaah dan perlunya ada kepercayaan kepada pemimpin seperti kepercayaan Ali bin Abu Talib yang mempertaruhkan nyawanya. Perlu ada ketaatan kepada pemimpin seperti ketaatan anak-anak Abu Bakar r.a.

Pendakian saya diteruskan. Semakin terasa sukar. Ada langkah panjang diperlukan kerana kedudukan batu-batu bukit itu tidak sama tingginya. Keadaan bukit ini tentu tidak sama seperti ketika Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a. mendakinya. Mungkin ketika itu keadaannya lebih curam dan mencabar. Tetapi kini selain pengaruh perubahan alam, ditambah lagi dengan kehadiran orang-orang Pakistan yang mengetuk batu-batu bukit untuk memudahkan perjalanan, sepatutnya saya merasakan lebih mudah tetapi hakikatnya disebaliknya saya rasai.

Bayangkan bagaimana tenaga Rasulullah s.a.w yang berumur 53 tahun ketika mendaki. Mungkin saya seorang wanita maka tenaga saya tidak sama dengan tenaga orang lelaki. Tetapi jangan lupa pada tenaga Asma’ binti Abu Bakar yang menghantar makanan. Beliau memanjat bukit itu dalam keadaan beliau sendirian. Subhanallah! Sungguh dapat saya rasakan kekuatan jiwa Asma’ binti Abu Bakar. Jika tidak kerana aqidah yang dimiliki saya fikir beliau tidak sanggup mendaki bukit itu dengan keberanian. Saya cukup terharu dengan peristiwa ini.

Apabila penat mendaki, saya duduk ditepi-tepi laluan untuk melepaskan penat. Saya menikmati pemandangan yang sangat indah. Satu pemandangan yang belum pernah saya saksikan. Saya memerhatikan jemaah haji bangsa lain yang melepasi saya. Saya kagum dengan seorang jemaah haji dari Turki, seorang wanita yang kelihatan tua, berbadan besar dan bertongkat melepasi saya. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk menyudahkan pendakian ini, saya berdoa.

Perjalanan diteruskan. Terasa semakin penat. Batuk saya semakin menjadi-jadi. Termengah-mengah. Berehat untuk yang ke berapa kali. Semakin kerap berehat di tepi laluan. Saya memandang ke bawah, sayup-sayup kelihatan tempat ketika Ustaz Abd Halim memberi taklimat tadi. Saya mendongak ke atas melihat baki pendakian yang perlu dilakukan. Saya mengagak ada satu pertiga lagi pendakian yang diperlukan. Terlintas difikiran saya perasaan kasihan pada suami yang terpaksa mengikut rentak pendakian saya yang selalu berhenti. Sepatutnya dia telah sampai di atas. Saya juga bimbangkan jika saya melambatkan perjalanan rombongan kami untuk kembali ke hotel semula kerana mengejarkan waktu solat Zohor di Masjidil Haram.

Akhirnya, dengan keadaan yang berat hati saya mengalah. Saya membuat keputusan untuk turun semula sementara suami saya meneruskan pendakian. Untuk turun semula ke bawah bukan mudah. Perlu mencari tapak-tapak yang sesuai untuk memijak. Perasaan gayat juga menghantui. Tidak keterlaluan jika saya katakan saya tidak pernah memanjat setinggi ini. Sambil menyebut nama Allah saya meneruskan perjalanan menuruni bukit. Kekuatan lutut amat diperlukan. Dalam penurunan, saya berjumpa dengan seorang jemaah wanita yang sama kumpulan. Dia juga tidak jadi meneruskan pendakian. Kami turun bersama-sama. Jam 9.30 pagi kami sampai di bawah. Agaknya sama dengan masa suami saya sampai ke puncak sebab pendakian bermula jam 8 pagi.
Sambil menunggu, saya terbayangkan kesukaran yang Rasulullah s.a.w lalui. Ini baru mendaki bukit. Belum lagi baginda tinggal dalam gua yang sangat sempit dan penuh dengan ular serta kala jengking yang berbisa. Belum lagi kesukaran baginda ketika menempuh padang pasir untuk sampai ke Madinah.

Pintu Gua Thur… gua ini begitu sempit & amat mudah orang di luar untuk mencari sesiapa yang berada dalam gua tersebut. Dapat digambarkan bagaimana perasan takut Syaidina Abu Bakar r.a apabila orang musyrikin Mekah berada di luar pintu gua.

Saya katakan pada diri saya, saya baru merasai terlalu sedikit daripada pelbagai kesukaran yang dilalui baginda ketika hijrah. Di akui, hijrah iaitu melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik bukan semudah seperti yang disebut atau yang ditulis. Perlu ada dorongan dalaman yang kuat iaitu aqidah yang mantap yang membentuk kesedaran untuk berubah. Kadang-kadang kita amat mengharapkan anak-anak kita untuk berubah menjadi baik dalam masa yang sangat singkat. Seboleh-bolehnya selepas kita bercakap dengan mereka. Tapi diri kita sendiri kenapa mengambil masa yang lama untuk berubah. Sama-sama kita berusaha, sabar, tidak mengenal erti putus asa dan mengharapkan bantuan dari Allah s.w.t untuk berubah kepada yang lebih baik dari hari ini.

Oleh:
Puan Hajah Rohaizah Jantan
Aktivis ISMA Alor Setar

One thought on “Ibrah pendakian Jabal Thur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *