Indeks Jenayah Di Kedah Catat Penurunan – Ketua Polis Negeri

zamri-ketua-polis-kedah

Indeks jenayah di Kedah mencatat penurunan 5.49 peratus bagi tempoh Jan hingga Okt tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Polis Negeri Datuk Zamri Yahya.

Katanya, sepanjang tempoh itu sebanyak 6,512 kes jenayah dicatatkan di negeri ini berbanding 6,890 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, 1,958 kes berjaya diselesaikan dengan penyumbang utama indeks jenayah di Kedah adalah kes curi motosikal sebanyak 38.94 peratus atau 2,536 kes daripada keseluruhan jenayah indeks yang dilaporkan,” katanya pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Khamis.

Tahun ini, katanya, Polis Kedah telah menumpaskan dua kumpulan curi motosikal yang bergiat aktif di Sungai Petani serta Kubang Pasu dan menahan 13 suspek daripada dua kumpulan terbabit.

Menurut Zamri, sebanyak 27 kes kecurian motosikal di Kedah telah diselesaikan berikutan penahanan 13 suspek daripada dua kumpulan mencuri motosikal itu.

Pada majlis yang sama, Ketua Polis Kedah itu juga telah menyerahkan 26 motosikal berkuasa tinggi untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di lima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.

IPD Kota Setar, Kuala Muda dan Kubang Pasu katanya, masing-masing menerima enam motosikal manakala Padang Terap dan Yan pula menerima empat motosikal berkuasa tinggi itu.

“Dengan penambahan motosikal, dapatlah kita menggandakan rondaan untuk mengurangkan kegusaran orang ramai terhadap jenayah,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *