Islam tidak tertegak dengan kata-kata

Dunia kini memperlihatkan kepada kita kemajuan dalam teknologi. Di mana- mana sahaja kita mampu untuk berkongsi maklumat dan berhubung dengan cara yang mudah. Dengan adanya kemudahan mengakses internet, dunia seolah-olah menjadi semakin kecil. Semuanya mampu diketahui bak kata pepatah ‘dunia di hujung jari’.

Malahan, dalam lapangan kerja menyebarkan Islam, ia menjadi semakin luas. Ini sangatlah membantu kita sebagai umat Islam di mana kita mempunyai pelbagai cara bagi menyentuh jiwa-jiwa sasaran dakwah kita. Maka, ramailah antara kita menggunakan laman-laman maya yang ada seperti yahoo, facebook dan twitter  bagi menyampaikan fikrah, nasihat serta memberi contoh-contoh kehidupan seorang muslim.

Ya, memang ia sangat membantu. Tetapi, sedarkah kita kadang-kadang kita hanya bermadah, bermain bicara dan kata sehingga akhirnya bukanlah seperti realitinya. Semakin banyak status-status yang baik, tetapi hanya untuk dikongsi tanpa dizahirkan. Menyedihkan ya?

Satu Kisah

Seorang Arab Badwi, hanya berasal dari pedalaman dan tidak mempunyai ketinggian dalam ilmu, namun beliau memeluk Islam dengan segenap jiwa seraya berkata kepada Rasulullah SAW:

“aku akan berhijrah bersamamu”

Dalam Perang Khaibar, Nabi SAW memberikan harta ghanimah(rampasan perang) kepada beliau. Namun kemudiannya beliau membawa harta tersebut kepada Nabi SAW seraya berkata:

“bukan kerana itu(harta ghanimah) aku mengikutimu. Akan tetapi aku mengikutimu kerana aku ingin agar satu saat nanti aku terkena lemparan panah di sini(sambil menunjukkan kearah lehernya) sehingga aku terbunuh dan masuk syurga kerananya.”

Ternyata kemudiannya, beliau syahid dipanah di bahagian leher. Nabi SAW menghormati jenazah beliau dengan mengkafani beliau dengan baju besi kepunyaan baginda SAW sambil berdoa:

“Ya Allah, ini adalah hambaMU, dia keluar untuk berhijrah dijalanMU dan terbunuh sebagai syahid. Dan aku bersaksi atas perkara itu”

Inilah kata-kata tulus yang kita impi-impikan dari seorang muslim. Apa yang beliau kata dan impikan akhirnya beliau zahirkan. Ia adalah sebuah maya yang wujud pada realiti.

Surah Soff mengajarkan

Perhatikanlah setiap ayat-ayat dalam surah ini. Sungguh keras peringatan dan ancaman yang telah Allah ketengahkan kepada hambaNya yang hanya berkata-kata tanpa mengamalkannya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ

2) Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!

Dan Allah sangat membenci golongan seperti ini.

كَبُرَ مَقْتاً عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

3) Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Dan Allah telah menawarkan kita satu perniagaan yang sangat menguntungkan bagi hambaNya yang sanggup menyerahkan segala jiwa dan raganya untuk menegakkan agama Islam.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

10) Wahai orang-orang yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? 11) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Mari beramal

Berusahalah untuk menzahirkan keislaman kita. Islam itu sempurna, tetapi kita yang akan membuktikan kesempurnaanya. Sebarkanlah Islam dengan akhlak yang telah Rasulullah S.A.W. ajarkan. Dengan itu, masyarakat dunia akan terbuka mata untuk memahami Islam.

Jangan mengharapkan pada orang lain. Kita yang menentukan. Ganjaran Allah menanti. Jom beramal!!

Oleh:
Miqdad Abd Fisol
ISMA Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *