ISMA akan libatkan diri dalam PRU ke-13

ust lah 3

BANGI, 2 Feb. – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman hari ini mengumumkan pendirian ISMA untuk terlibat dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Menurut beliau, ISMA akan menghantar calon-calon untuk bertanding di kawasan-kawasan yang dikenalpasti berpotensi dan selari dengan dasar serta tujuan penglibatan politik ISMA.

Pendirian ini dinyatakan dalam satu sidang media yang diadakan di sini petang tadi.

Ustaz Abdullah berkata, keputusan ini diambil oleh Majlis Syura ISMA setelah mengadakan perbincangan yang mendalam dan mengambil kira senario politik semasa serta pelbagai kajian dan bacaan politik yang menjangkakan negara akan menghadapi situasi ketidakstabilan politik nanti.

“Kita berhasrat untuk menyelamatkan undi-undi umat Islam agar pergi ke calon-calon yang beragama Islam dan berwibawa.

“Kita tidak mahu undi-undi ini menjadi peluru sesat yang akhirnya membunuh masa depan umat Islam sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata, perincian mengenai di mana dan berapa bilangan kawasan yang akan ditandingi oleh calon-calon daripada ISMA akan dimaklumkan kelak.

Ustaz Abdullah menyatakan harapan agar masyarakat Islam dapat memberi sokongan yang padu terhadap usaha murni ISMA serta memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang akan dikemukakan kelak.

Berikut adalah kenyataan penuh ISMA berhubung penglibatan ISMA dalam PRU ke-13 yang telah dibacakan oleh Ustaz Abdullah Zaik:

Segala puji dipanjatkan kepada Allah s.w.t, Pemilik alam semesta. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Berdasarkan bacaan terkini senario politik semasa, setelah menela’ah pelbagai kajian dan bacaan politik, negara dijangka akan menuju ke situasi ketidakstabilan politik  yang juga akan turut menjejaskan aspek-aspek yang lain.

Kedua, kedudukan politik orang Melayu dan umat Islam yang semakin goyah dan tercabar akibat perpecahan, menyebabkan kuasa menentukan arah masa depan negara berada di tangan orang lain.

Ketiga, menyedari politik adalah percaturan antara kuasa-kuasa dan pengaruh-pengaruh  yang berbagai-bagai latar belakang dan berkepentingan, ketiadaan penglibatan yang aktif di pihak NGO Islam yang perihatin akan menyebabkan kepentingan Islam dan umat Islam akan terpinggir.

Atas tiga faktor utama tersebut, ISMA telah mengamanahkan Biro Politik ISMA yang diketuai oleh Tuan Hj Aminuddin Yahaya untuk mengkaji sejauhmana ISMA perlu atau patut terlibat dalam PRU ke-13 ini.

Satu kertas cadangan telah dikemukakan ke Jawatankuasa Pusat ISMA (JKP ISMA) untuk diteliti. Berpandukan usul daripada JKP tersebut, Majlis Syura ISMA yang dipengerusikan oleh Tuan Hj Sharipuddin Ab Kadir pada 26 Januari 2013 telah membincangkan cadangan penglibatan ISMA dalam PRU ke-13.

Hasil perbincangan yang meluas dan mendalam oleh Majlis Syura ISMA, telah mencapai keputusan sebulat suara bahawa ISMA perlu terlibat dalam PRU ke-13 dengan menghantar calon di kawasan-kawasan yang dikenalpasti berpotensi dan selari dengan dasar serta tujuan penglibatan politik ISMA.

Kita ingin menegaskan bahawa kita berhasrat untuk menyelamatkan undi-undi umat Islam agar pergi ke calon-calon yang beragama Islam dan berwibawa. Kita tidak mahu undi-undi ini menjadi peluru sesat yang akhirnya membunuh masa depan umat Islam sendiri. Perincian mengenai di mana dan berapa bilangan kawasan yang akan ditandingi akan dimaklumkan dalam siaran media akan datang.

Tujuan penglibatan ISMA dalam PRU ke-13 antara lain ialah;

  1. Untuk memastikan kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum berteraskan lunas perlembagaan yang saling menghormati hak satu sama lain berterusan.
  1. Untuk memastikan teras kenegaraan yang berpaksikan Islam, Melayu dan Raja terus dihormati.
  1. Terlibat sama dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara tidak terjejas walau apapun keputusan PRU ke-13 akan datang.
  1. Memberi sumbangan dalam memastikan masa depan politik Malaysia yang lebih Islamik
  1. Membantu mengukuhkan kedudukan politik orang Islam demi masa depan agama bangsa dan negara.

Bagi memastikan penglibatan lebih bermakna, JKP ISMA telah mengarahkan semua ahli supaya berada dalam keadaan siap siaga dan bilik-bilik gerakan pilihanraya dibuka di semua kawasan-kawasan yang akan ditandingi.

Umat Islam diharap dapat memberi sokongan yang padu kepada usaha yang murni ini dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang akan dikemukakan.

ISMA juga mengalu-alukan sumbangan dan bantuan daripada orang ramai dalam apa jua bentuk. Orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus menghubungi En Salman Al-Farisi bin Selamat, selaku Sekretariat Biro Politik ISMA di talian 03-8912 2719.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *