ISMA Alor Setar ajak masyarakat jalani kehidupan sihat dan ceria

aIMG_1003_b

JITRA, 13 Disember – Pengunjung Jitra Mall telah berpeluang menyertai kempen derma darah, saringan kesihatan percuma bersempena Karnival Jom Sihat & Ceria yang diadakan di ruang legar pasaraya ini, siang tadi. Program yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Alor Setar ini bermatlamat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya menjaga kesihatan tanpa mengira peringkat usia.

Menurut Yang Dipertua ISMA Alor Setar, Dr Zulkifli Yusof, program sebegini sebenarnya mahu memberi peluang kepada masyarakat untuk bertemu terus dengan pakar-pakar perubatan untuk mendapatkan pemeriksaan dan kaunseling kesihatan.

“Masyarakat biasanya agak segan untuk pergi sendiri ke klinik kesihatan untuk menjalani saringan kesihatan, jadi kami bawa sendiri doktor-doktor perubatan kepada mereka melalui penganjuran karnival ini di lokasi yang sememangnya menjadi tumpuan ramai”, ujar Dr Zulkifli yang juga merupakan Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Sihat dan ceria bukan sekadar pada aspek kesihatan, tetapi juga dalam melayari kehidupan berkeluarga, berkerjaya, belajar dan sebagainya tanpa mengira peringkat usia,” ujar beliau lagi.

aIMG_0990_b

Selain saringan kesihatan dan derma darah, turut diadakan ialah peraduan mewarna dan kolaj yang disertai hampir 30 orang kanak-kanak dan kaunseling kerjaya untuk remaja dan belia. Kutipan derma untuk mangsa banjir pantai timur turut dijalankan.

Di akhir karnival, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang peraduan untuk kanak-kanak dijalankan di sesi pengenalan agensi-agensi ISMA yang lain seperti I-Medik dan PEMBINA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *