ISMA Alor Setar ajak masyarakat perkasa aqidah

ALOR SETAR, 18 Februari – Biro Dakwah ISMA cawangan Alor Setar telah mengorak langkah dengan mengadakan program ceramah umum bertajuk Memperkasakan Aqidah Umat. Ceramah diadakan di Masjid Sultanah Bahiyah dengan menampilkan Al Fadhil Ustaz Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dan juga merangkap Naib YDP ISMA Cawangan Ipoh serta Ahli Serketariat Majlis Ulama ISMA (MUIS).

Majlis yang bermula sekitar jam 9.20 malam mengupas pelbagai isu yang berkaitan dengan kepentingan aqidah umat dan isu-isu yang mengancam keimanan umat masa kini. Ustaz Haji Zamri menegaskan bahawa Islam adalah satu manhaj yang diwahyukan oleh Allah s.w.t demi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat. Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua orang yang beriman untuk melaksanakan dan mempertahankan Islam dalam diri umat.

Beliau juga melahirkan rasa kebimbangan dan mengajak para hadirin untuk turut berkongsi sama rasa sedih terhadap ancaman kristianisasi dan bahayanya yang banyak berlaku di kawasan bandar dan di kalangan remaja di universiti . Tambah beliau, apa yang lebih menyedihkan ialah mereka yang tepengaruh dengan pujukan kristianisasi adalah hanya disebabkan oleh tawaran-tawaran yang terlalu murah seperti cinta, bantuan kewangan dan lain lagi. Lantaran itu, beliau mengingatkan bahawa fenomena ini akan sentiasa mengintai umat khususnya remaja dan belia tanpa mengira anak siapa.

Akhirnya penceramah juga menyentuh tentang bahayanya fahaman liberalisme yang menggangap semua agama adalah sama dan menjadikan “Hak asasi manusia” sebagai rujukan. Sebagai kesimpulannya beliau menyatakan bahawa ISMA melihat perkara ini dan mengajak masyarakat bersama ISMA melalui slogannya “MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT” bagi melindungi umat dari ancaman ini.

Walaupun program yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Masjid berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai dan adanya ceramah-ceramah yang lain di masjid berdekatan, namun kehadiran orang ramai memberangsangkan.

Media ISMA Kedah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *