ISMA Alor Setar, Jitra edar 10 ribu risalah bantah TPPA

ALOR SETAR, 19 Julai – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Alor Setar hari ini mulai mengedarkan 10,000 risalah membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di seluruh Alor Setar dan Jitra.

Edaran ini bertujuan untuk mendesak kerajaan supaya tidak menandatangani perjanjian TPPA dan menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersatu menentang penjajahan ekonomi zalim oleh Amerika Syarikat.

Menurut Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, Perjanjian TPPA ini adalah salah satu strategi licik Amerika Syarikat untuk menguasai ekonomi negara lain bagi memastikan negara-negara ini akan sentiasa tunduk kepada kehendak mereka.

Katanya, jika Malaysia bersetuju untuk menandatangani perjanjian ini, ia akan menyebabkan negara kehilangan ratusan juta ringgit setahun.

Bukan sekadar itu, perjanjian ini turut memberi kesan kepada pengusaha tempatan sehingga sukar untuk bersaing dan mungkin akan kehilangan terus peluang peniagaan.

Bahkan rakyat akan kehilangan pekerjaan sehingga boleh mengakibatkan pengangguran dan kemusnahan sistem sosial negara.

“Justeru ISMA merasakan adalah satu perjuangan dan kefardhuan ke atas setiap individu muslim untuk membebaskan watan daripada sebarang bentuk penjajahan kuasa asing.

“Bahkan setiap individu muslim yang melafazkan dua kalimah syahadah perlulah mempunyai rasa tanggungjawab secara  langsung terhadap isu ini dan mesti bangkit melakukan sesuatu,” katanya.

TPPA yang dijangka dimuktamadkan Oktober ini melibatkan Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Chile, Brunei, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan terkini Jepun.

Kandungan dalam perjanjian TPPA antara lain adalah penghapusan cukai import terhadap barangan yang masuk dari Amerika, rakyat negara lain bebas bekerja dan membuka perniagaan di negara kita tanpa sebarang sekatan, pengeluaran kapital ke luar negara secara bebas, pemilikan bumiputera kepada syarikat asing yang ingin beroperasi di negara ini tidak lagi menjadi syarat dan pelbagai lagi kandungan yang dilakukan secara terlindung dan tidak didedahkan kepada pengetahuan awam.

Edaran yang sama juga dibuat di seluruh negara bermula hari ini.

RisalahTPPA_outlined_Final

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *