ISMA: Amanat Haji Hadi sudah tidak relevan

SHAH ALAM – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membuat pendirian fahaman yang lahir daripada Amanat Haji Hadi terutamanya di luar bandar menjadi faktor penghalang kepada kesepakatan dan perpaduan orang Melayu di negara ini dan ia sudah tidak “relevan.”

Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman mendakwa, berlaku perpecahan yang kritikal di kalangan masyarakat Melayu yang masih memegang kukuh fahaman itu.

“Orang Melayu yang bersengketa gagal melihat ancaman yang lebih besar terhadap masa depan agama, bangsa dan negara.

“Memandangkan amanat tersebut telah meninggalkan kesan salah faham yang cukup besar antara sesama umat Islam dan mewariskan keretakan hubungan yang berpanjangan sehingga sukar untuk mencari titik pertemuan sampai ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amanat itu disampaikan oleh Hadi di Kampung Banggol Peradong, Terengganu pada 7 April 1981. Ia kembali menjadi polemik baru-baru ini.

Abdullah Zaik turut menyokong keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengatakan bahawa amanat ini bercanggah dengan Islam.

“Setelah membuat penelitian yang mendalam, Isma berpandangan bahawa Amanat Haji Hadi adalah satu pernyataan yang mengandungi penghukuman terhadap badan tertentu secara spesifik, iaitu Umno.

hadi awang“Abdul Hadi dalam amanatnya telah meletakkan Umno sebagai kumpulan yang wajib diperangi. Sama seumpama satu kumpulan yang terkeluar daripada agama seperti golongan murtad, atau golongan yang keluar daripada kepimpinan Islam dengan kekerasan seperti golongan bughah dan khawarij,” dakwanya lagi.

Katanya, perkara ini dapat difahami apabila Hadi secara jelas menggunakan kalimah jihad, mati syahid dan kafir secara berangkai dalam konteks pernyataan penentangan terhadap Umno.

Beliau menambah, kenyataan sebegini bukan sahaja tidak betul dari segi kaedah berfatwa, malah ia juga berlawanan dengan uslub seorang pendakwah yang tugasnya berdakwah, bukan menghukum.

Ujar Abdullah Zaik, kesan besar daripada pernyataan Amanat Haji Hadi ini telah menyebabkan ahli masyarakat melakukan penghukuman murtad terhadap sesama individu muslim yang lain tanpa perlu merujuk kepada mahkamah mengikut prosedur yang sahih.

Abdullah Zaik turut menegaskan supaya Amanat Haji Hadi ini perlu dibuat pencerahan yang adil.

Sehubungan itu, beliau turut menggariskan beberapa penegasan seperti berikut:

  1. Tidak syak lagi bahawa umat Islam wajib berpegang bahawa Islam adalah agama yang sempurna dan merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk politik dan pemerintahan.
  2. Telah menjadi Ijmak para sahabat dan muslimin bahawa umat Islam wajib menegakkan pemerintahan Islam.
  3. Menegaskan bahawa rujukan tertinggi dalam menjalankan hukum hakam di sesebuah negara Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah
  4. Perlembagaan Persekutuan negara mengandungi peruntukan yang menepati tuntutan Maqasid Syarak dari segi struktur dan juga kandungannya.
  5. Mengakui bahawa wujud pengaruh sekular barat dalam hal perundangan sivil dan syariah.
  6. Dalam sistem pemerintahan yang sedia ada, kuasa agama terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa sultan, atas sebab masalah tertentu.
  7. Pemerintah negara ialah Yang di-Pertuan Agong manakala Perdana Menteri melaksanakan tanggungjawab bagi pihak Seri Paduka dalam hal selain daripada agama.

Abdullah Zaik turut menganggap amanat ini sudah tidak lagi relevan memandang Hadi sendiri telah melakukan sebaliknya dalam banyak perkara.

“Justeru kami mencadangkan agar Abdul Hadi menarik balik kenyataan beliau itu dan membuat pembetulan yang perlu.

“Kami bimbang kefahaman ini masih dipegang oleh pengikut tegar Pas sehingga mempengaruhi hubungan sesama Islam yang menyebabkan putus hubungan wala’ dan perpecahan yang tidak berkesudahan,” jelasnya lagi.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *