ISMA bawa mesej perpaduan

Saya teringat satu isi utama dalam pengisian tarbawi yang disampaikan oleh seorang murabbi kira-kira lima tahun dahulu berkenaan peranan pemuda dalam membawa risalah Islam, iaitu peranan membangkitkan persoalan.

Ustaz itu mendatang satu kisah yang tercoret dalam Surah Al-Anbiya’, kisah mengenai Nabi Ibrahim di saat baginda bertanya kepada ayah dan kaumnya, “Mengapakah kamu sekalian menyembah patung-patung ini?”

Jawab mereka, “sesungguhnya kami mendapati nenek moyang kami menyembah patung ini, lalu kami pun menyembahnya.”

Bermula dengan persoalan tersebut, jiwa pemuda yang beriman, bersih dan suci ini akhirnya melakukan satu perubahan. Habis semua patung berhala dihancurkan melainkan satu patung yang besar untuk dijadikan modal berhujah dengan mereka. Sehinggalah Nabi Ibrahim ditangkap lalu dihukum dengan dicampak ke dalam api namun Allah menyelamatkannya dengan menjadikan api itu sejuk dan mententeramkan Nabi Ibrahim.

Inilah peranan pemuda, melontarkan persoalan dan melengkapkannya dengan tindakan. Semua dilakukan atas dasar iman.

Melihat realiti perpecahan umat Islam hari ini, persoalan demi persoalan timbul. Mengapakah kita tidak boleh bersatu? Mengapakah mesti ada permusuhan dalam politik? Mengapakah perlu ada cacian, makian, pemulauan sesama umat Islam?

Orang lain pun berpolitik tetapi tidaklah sampai menggadaikan maruah sesama muslim. Tidaklah sampai merendahkan moral dan mentaliti umat yang bertamadun.

Cukuplah wahai umat Islam sekalian. Cukuplah kita berpolitik cara lama. Tidak guna kita menuding jari menyalahkan sesiapa. Tinggalkan cara politik usang warisan orang lama yang bersifat fanatik dan membuta tuli.

Ayuh kita buka lembaran baru. Berpolitik gaya baru. Menjadikan kepentingan Islam di hadapan. Menjulang agenda perpaduan umat demi membina kekuatan.

Inilah seruan yang dibawa oleh ISMA. Jika sebelum ini mesej perpaduan kurang didengari kerana berdiri atas kapasiti NGO, namun kali ini dengan penglibatan dalam politik kita doakan agar mesej ini lebih kuat dilaungkan di peringkat parlimen atau DUN.

Persoalan yang dibangkitkan akan terus disambung dengan tindakan oleh para calon muslim berwibawa. Biar berbeza parti, namun agenda pembangunan Islam akan menyatukan hati-hati umat bertuah ini. Bersatu membina kekuatan.

Pepatah Melayu ada mengatakan, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Ditulis oleh:
Mohd Firdaus Salleh Hudin
Pengurus TV ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *