ISMA bukan penyebab kekalahan Pakatan Rakyat di Kedah

Ramai yang menyatakan ISMA menjadi penyebab Kedah jatuh ke tangan BN. Baik, mari saya jelaskan beberapa fakta.

1. ISMA hanya bertanding di satu DUN sahaja, iaitu Derga. Satu lagi adalah parlimen Alor Setar. Kedua-dua kawasan ini dimenangi oleh PR, dan jika dilihat dari statistik undi di DUN Derga, jumlah undi yang diterima oleh ISMA agak signifikan hingga menyebabkan kekalahan kepada wakil BN.

2. Dalam kafilah dakwah, saya dimaklumkan oleh rakan-rakan yang merayu undi, seruan ISMA diterima baik oleh mereka yang punya latar belakang UMNO, bahkan ada yang sempat masuk ke bilik gerakan BN dan menerima sambutan baik dan mesra di sana. Berbeza dengan pengundi-pengundi dari kalangan PAS, sambutan yang diterima agak dingin, bahkan ada petugas yang diperlekehkan dan dicemuh walaupun saya percaya tidak semua ahli dan penyokong PAS begitu. Jadi, dari sambutan yang diberi, kami mengandaikan, undi kepada ISMA banyak datang dari pengundi UMNO hingga menyebabkan kekalahan calon BN.

3. Ketika berkempen di kawasan-kawasan parlimen Alor Setar, Alor Mengkudu sebagai contoh di mana Ustaz Ahmad Yahya yang menjadi calon, petugas turut mempromosi kepada pengundi agar mengundi calon PAS kerana kami kenal kewibawaan Ustaz Ahmad Yahya. Ini berbeza dengan seruan beberapa pimpinan DAP yang menyeru dengan terang di media agar jangan undi PAS.

4. Ketika bertemu pengundi juga, tidak ada seruan perkauman dan kebencian kepada mana-mana kaum / parti yang diceritakan, tapi kami mengajak kepada ahli masyarakat yang dijumpai agar mengutamakan politik kasih sayang dan politik kesatuan ummah.

Berdasarkan hujah di atas, di mana relevannya kenyataan mereka yang mengatakan ISMA menjadi punca kekalahan PAS/PR di Kedah.

Sebaliknya berdasarkan dari pemerhatian saya dan rakan-rakan, bilik gerakan BN di kampung-kampung nampak hidup dan petugas BN kelihatan bekerja dengan bersungguh-sungguh, berbeza dengan bilik gerakan PAS yang kelihatan agak hambar, bahkan ada dapatan yang kami temui di beberapa kampung, petugas-petugas PAS tidak turun dan merayu undi dari rumah ke rumah.

Saya dan rakan-rakan dalam ISMA Kedah juga sedih kehilangan Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar kerana beliau dan pasukannya telah menjalankan tugas yang cemerlang, tapi untuk menyalahkan ISMA sebagai faktor kekalahan, saya rasa ia tidak cukup rasional.

Akhir kata, kita ucapkan tahniah kepada kerajaan baru Kedah yang diterajui oleh Dato’ Mukhriz Mahathir, moga agenda ISLAM akan terus menjadi hala tuju pemerintahan dan semoga tugas membanteras Syiah akan dapat terus dilakukan.

Oleh:
Mohd Hisham bin Mohd Sharif
Aktivis ISMA Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *