ISMA ingatkan orang Melayu peka terhadap ancaman masa kini

Kenyataan media ISMA berhubung kenyataan Mat Sabu tentang perjuangan kemerdekaan di Padang Menora, Pulau Pinang

Merujuk kepada isu perjuangan kemerdekaan yang dicetuskan oleh arus media perdana yang memetik kata-kata di dalam ucapan Mohamad Sabu mengenai Mat Indera di Padang Menora  pada 21 Ogos 2011, ISMA ingin menyeru pihak-pihak yang bertelagah untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha mempertahankan negara sekarang daripada ancaman dari dalam dan luar negara.

Umat Islam ingin melihat sikap yang baik daripada kepimpinan umat Melayu Islam dan dalam situasi umat Islam yang lemah dalam segala segi, kepimpinan Islam sepatutnya bersama-sama mencari jalan untuk memperbaiki keadaan serta memperkukuhkan perpaduan, penguasaan ekonomi dan politik umat Islam dan orang Melayu.

Kita seharusnya mengambil pengajaran daripada sejarah supaya kita tidak kembali dijajah atau dikuasai oleh bangsa asing di tanah sendiri bukan bermain politik dengan isu sejarah.

Isu sejarah adalah kenyataan masa lampau dan kita berdoa supaya mereka yang terlibat diberi ganjaran mengikut ijtihad mereka. Semua pihak telah memberi sumbangan untuk mempertahankan negara dan berjuang dengan cara masing-masing ke arah kemerdekaan dan kedaulatan negara.

ISMA mengambil pendekatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pejuang-pejuang Melayu masa lampau dan memohon keampunan atas kesilapan yang berlaku hasil daripada ijtihad masing-masing.

Firman Allah di dalam Surah Al-Hasyr, ayat ke-10:

والذين جاءوا من بعدهم يقولون ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين ءامنوا رينا إنك رءوف رحيم

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatMu”.

Negara kita kini sedang berhadapan dengan isu yang lebih berat yang memerlukan persepakatan seluruh umat Islam, bukan berlarutan dan leka dengan mana-mana isu yang tidak membawa kepada apa-apa faedah.

Tindakan mempolitikkan isu sejarah boleh menyebabkan kita melakukan ketidakadilan kepada mereka yang terdahulu.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-141:

تلك أمة قد خلت لها ما كسبت ولكم ما كسبتم ولا تسئلون عما كانوا يعملون

“Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.”

Dalam pada itu, ISMA menyokong bahawa generasi baru orang Melayu perlu memahami sejarah perjuangan generasi terdahulu dalam mempertahankan akidah dan kedaulatan negara.

Menulis semula sejarah dengan mendedahkan fakta-fakta dan merakamkan bukti-bukti kejelasan risalah perjuangan Islam boleh membantu melahirkan generasi Melayu baru yang mewarisi perjuangan dan kekuatan jati diri dalam berhadapan ancaman masa depan.

Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
5 September 2011

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *