ISMA sambut baik kenyataan Perdana Menteri berhubung pemansuhan ISA

Kenyataan media ISMA mengenai pemansuhan ISA di dalam perutusan khas Perdana Menteri Malaysia sempena  sambutan Hari Malaysia 2011

ISMA sambut baik pengumuman Perdana Menteri memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula akta-akta lain yang menyekat kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan 1957 seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Polis 1967. Tindakan ini dilihat sebagai langkah yang boleh membawa Malaysia ke arah negara yang lebih demokratik. Walaubagaimanapun ISMA masih bertegas menyeru semua pihak dan pimpinan Islam khususnya supaya mempertahankan jatidiri keIslaman dan Melayu sebagai teras kenegaraan Malaysia. Liberalisasi ini tidak seharusnya melewati batas-batas konstitusi yang disepakati bersama.

Walaupun ISMA tidak beriman dengan hak asasi barat yang berteraskan humanisme yang menjadikan manusia sebagai tuhan kepada dirinya sediri, namun dari titik tolak agama, Islam juga adalah sebuah agama yang menjamin hak kebebasan individu dalam kerangka yang diizinkan. Tiada siapa yang boleh menceroboh hak orang lain kecuali atas alasan yang dibenarkan oleh syarak.

Jaminan kebebasan Islam dan liberalisme barat

Akan tetapi perlu dijelaskan hakikat perbezaan antara jaminan Islam terhadap hak kebebasan dan liberalisme barat.

Mengikut Islam pihak berkuasa bertanggungjawab menjaga kemuliaan yang dijamin itu mengikut lunas-lunas syarak. Islam seperti juga yang diakui oleh undang-undang lain menjamin hak individu selama ia tidak menceroboh hak awam. Perbezaannya ialah pada siapa yang menentukan batas-batas hak individu dalam pengertian liberal barat berbanding garis panduan yang jelas dalam syariat Islam daripada Allah Subhanahu Wa Taala.

Dalam Islam kebebasan individu tidak boleh keluar daripada hakikat manusia selaku hamba kepada tuhan yang mencipta yang menentukan peraturan dan syariat yang perlu dipatuhi dalam kehidupan di dunia ini. Sebaliknya liberalisme barat menjadikan kemahuan individu manusia sebagai sembahan. Kerajaan dalam Islam menjaga hukum tuhan sebaliknya kerajaan demokratik liberal menjaga sistem yang mempertuhankan kehendak manusia semata-mata.

Transformasi politik besar-besaran ini menjadi titik perubahan besar dalam konteks hak asasi dan isu-isu berkaitan dengan integrasi nasional. Selama ini isu-isu sensitif yang melibatkan kaum dikawal oleh undang-undang pencegahan, tetapi kini kerajaan nampak yakin bahawa program transformasi ekonomi dan sosial di bawah gagasan Satu Malaysia mampu menyerap ketegangan kaum yang mungkin timbul.

Ini bermakna kerajaan telah bersedia untuk menangani isu-isu pluralisasi dan polarisasi kaum budaya dan agama dengan lebih terbuka/liberal dan demokratik.

Justeru ISMA tidak menganggap liberalisasi berasaskan hak asasi manusia yang ditaja oleh barat akan menbawa kebaikan yang banyak kepada penduduk Islam di negara ini sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun budaya.

Dari sudut yang lain, implikasi kepada suasana liberalisasi yang dominan nanti akan menyebabkan penguasaan nilai budaya, bahasa dan hak warisan (thawabit umat) akan terancam secara langsung, bahkan rupa bangsa negara yang berteraskan raja, Islam dan Melayu mungkin akan menjadi bahan sejarah yang ditinggalkan. ISMA menuntut kerajaan Dato’ Seri Najib supaya mengemukakan jaminan bahawa rupa bangsa negara berteraskan Melayu Islam beraja ini akan terus dipertahankan. Kerajaan perlu menjelaskan mekanisme yang akan digunakan untuk memastikan segala nilai warisan tidak terhakis.

Agenda ISMA

ISMA menganggap langkah yang diambil oleh Perdana Menteri sebagai munasabah dalam kerangka percaturan politik Malaysia masa kini. Namun ISMA sebaliknya melahirkan rasa bimbang dan berikrar akan tetap memperjuangkan dasar Islam dan percaya bahawa konsep politik dan kenegaraan Islam sahaja yang akan menjamin hak dan kepentingan orang Melayu dan orang Islam di negara ini.

ISMA berpendapat bahawa perubahan yang sebenar bukan terletak kepada perubahan undang-undang semata-semata, sebaliknya adalah tertakluk kepada perubahan manusia. Wujud manusia yang soleh merupakan asas kepada segala perubahan dan transformasi. Telah terbukti bahawa tingkah laku harian manusia tidak dipengaruhi oleh undang-undang sebagaimana ia dipengaruhi oleh ilmu pengetahuan dan thaqafah yang dimiliki oleh seseorang. Cita-cita untuk melihat wujud urus tadbir negara yang baik adalah bergantung kepada kewujudan golongan manusia pelaksana dan ahli politik yang soleh dan beriman kepada Allah S.W.T.

لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آَمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآَتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآَتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ .177

177. Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertemp ur dalam perjuangan perang sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

ISMA berikrar akan meneruskan usaha ke arah melahirkan masyarakat yang soleh dan umat yang beragenda ke arah mencapai cita-cita perubahan yang menyeluruh.

Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
19 September 2011

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *