ISMA seru NGO Islam bina kekuatan

ust lah

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menyeru kepada semua NGO Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa sama ada Melayu, Cina dan India Muslim untuk sama-sama bersatu padu dalam mempertahankan Islam daripada ancaman musuh Islam.

Katanya, untuk mengukuhkan Islam dan memperkasakan ummah, semua pihak perlu bersepakat dan duduk semeja untuk berbincang.

“Jika kita tidak memiliki kekuatan itu, sudah tentu kita akan kalah malah dengan mudah sahaja pihak luar berusaha untuk menjatuhkan Islam.

“Apatah lagi jika tidak dipertahankan mulai dari sekarang, mungkin 4 atau 5 tahun lagi umat Islam sendiri yang rugi apabila ancaman dari pihak luar makin kuat.

“Oleh sebab itu kita perlu bina semula kekuatan yang mana semua NGO Islam ini perlu mainkan peranan untuk sama-sama berbincang dan menyelesaikan kemaslahatan yang kita hadapi,” katanya ketika berucap.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis berbuka puasa bersama NGO-NGO Islam anjuran ISMA di PNB Darby Park Executive Suites, Kuala Lumpur.

Ujar Ustaz Abdullah lagi, sebenarnya apa yang berlaku terhadap penghinaan Islam selama ini bukannya kebetulan tetapi adalah sebuah perancangan.

Cuba lihat sebelum PRU, terdapat dokumen yang dijumpai di Jurusalem oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian termasuklah video Gereja Israel yang berdoa khusus untuk pilihan raya umum di Malaysia.

Selain itu, apa yang dinyanyikan oleh Jaclyn Victor tahun lepas untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara Jesus turut menghina Islam melalui lagunya Harapan Bangsa yang mengandungi konotasi berkaitan agama Kristian.

“Itu baru agenda Kristianisasi, tidak lagi agenda liberalisme, pluralisme yang semuanya bertentangan dengan Islam. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini kerap kalinya berlaku isu penghinaan terhadap agama Islam dengan sewenangnya.

“Ini membawa tanda bahawa mereka merasakan mereka sudah cukup kuat untuk bertapak di Malaysia.

“Tetapi yang menjadi masalahnya apabila masih ada antara kita orang Islam yang belum sedar walaupun dengan jelas ada pihak yang cuba menampilkan Malaysia bukan sebagai negara Islam.

“Ini bukan perkara main-main, tetapi perkara yang membawa akibat kepada Islam keseluruhannya.

“Sebab itu, saya katakan kita sudah tiada masa untuk berlembut dengan mereka yang berniat mahu menjatuhkan Islam.

“Yang penting siapa sahaja yang membawa agenda yang jelas-jelas mahu menentang Islam, mereka ini harus ditentang,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *