ISMA sokong keputusan mahkamah tolak permohonan penganjur Seksualiti Merdeka

BANGI, 7 Mac – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman menyatakan perasaan gembira berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman oleh penganjur Seksualiti Merdeka baru-baru ini.

Menurut beliau, tindakan polis mengharamkan semua acara program tersebut adalah di dalam rangka mendaulatkan undang-undang dan perlembagaan negara ini selari dengan syariat Islam yang menolak amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada pihak berkuasa terutama polis yang telah menjalankan tanggunjawab undang-undang seadanya.

“Keputusan mahkamah tersebut perlu dlihat dalam rangka meninggikan nilai Islam dan mengharamkan LGBT yang juga sebenarnya ditolak oleh agama-agama lain,” katanya lagi.

Sementara itu, penganjur Seksualiti Merdeka terus mempertikaikan keputusan mahkamah dengan mengatakan bahawa mahkamah terlepas pandang terhadap beberapa perkara penting berhubung hak-hak kebebasan rakyat Malaysia seperti termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Namun Ustaz Abdullah Zaik menyelar kenyataan tersebut dengan menyatakan bahawa Artikel 10 itu perlu difahami dan disesuaikan dengan nilai-nilai tempatan.

“Artikel 10 berkenaan dengan hak kebebasan bersuara tidak seharusnya menjadi lesen kepada sesiapa sahaja untuk melakukan apa sahaja yang ia suka walaupun bercanggah dengan pegangan dan aqidah agama.

“Jadi pada saya keputusan yang dibuat oleh hakim mahkamah berkenaan isu Seksualiti Merdeka ini adalah suatu keputusan yang tepat yang harus disokong dan perlu dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia,” tegas beliau ketika ditemuramah di sini siang tadi.

Dalam penghakiman tersebut, Hakim Datuk Rohana Yusuf  berpendapat bahawa pihak polis berkuasa menghentikan program tersebut demi keselamatan negara memandangkan sebanyak 28 laporan polis telah dibuat oleh kumpulan penganut agama Islam, Kristian dan Buddha.

Sumber: ISMA Pusat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *