ISMA sokong pendirian kerajaan Kedah: Kalimah Allah harus dipertahan

Ustaz halim2

BANGI, 17 Julai – Ikatan Muslimin Malaysia menyokong dan menyambut baik pendirian kerajaan negeri Kedah yang tidak mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam dalam kitab mereka dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap golongan yang menyalahgunakan kalimah suci itu.

Pengarah Penerangan Biro Politik ISMA, Ustaz Abdul Halim Abdullah berkata, sejak dari awal lagi ISMA sentiasa menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang mahu mempertahankan kalimah Allah agar tidak digunapakai dalam kitab Injil versi bahasa Melayu.

“Kalimah Allah harus dipertahankan oleh semua pihak. Seharusnya umat Islam perlu menginsafi ancaman yang sedang dihadapi, segera kembali kepada agama Allah dan bersatu padu mempertahankan hak kita.

“Adalah menjadi satu kefardhuan bagi umat Islam bangkit mempertahankan maruah dan martabat Islam,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama NGO Islam di PNB Darby Park Executive Suites, Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir kerana menyifatkan golongan bukan Islam yang mahu menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu adalah mempunyai manifestasi tidak baik terhadap umat Islam di samping cuba mengelirukan generasi muda Islam.

Jelas Ustaz Halim sebenarnya tuntutan pihak tertentu ini untuk menggunakan kalimah Allah ada muslihat untuk mengelirukan umat Islam bahkan ia juga satu usaha untuk memurtadkan bagi menarik umat Islam agar keluar dari Islam.

“Terdapat pihak yang mempertikaikan bahawa sesetengah negara di luar Malaysia boleh menggunakan kalimah Allah oleh agama lain.

“Sebenarnya itu realiti di negara tersebut dan ianya tidak boleh digunapakai di negara kita kerana yang jelas kalimah Allah di Malaysia adalah khusus untuk umat Islam.

“Justeru ISMA berdiri teguh di belakang pihak Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga ulama’-ulama’ yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu dan juga dalam mana-mana penerbitan gereja,” tegasnya kepada wartawan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *