ISMA tolak Malaysian Spring

Merujuk kepada perkembangan politik semasa, kecenderungan sesetengah pihak untuk mengambil inspirasi ‘Arab Spring’ ke Malaysia melalui protes jalanan yang akan membawa kepada penggulingan kuasa secara tidak demokratik semakin jelas kelihatan.

Hal ini telah mencetuskan kebimbangan di kalangan banyak pihak bahawa Malaysia akan mengalami keadaan huru-hara terutama apabila merujuk kepada ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa beliau tidak menerima keputusan pilihan raya dan terus menganjurkan perhimpunan bantahan di seluruh negara.

Muslihat ‘Malaysian Spring’ telah didedahkan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang menyatakan bahawa Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr. Chen Man Hin pernah menyatakan sokongan kepada Bersih 3.0 selain membayangkan demonstrasi itu sebagai permulaan kepada ‘Malaysia Spring’ pada 26 April tahun lalu.

Sementara itu, pemimpin PKR, Nurul Izzah Ibrahim telah melancarkan kempen ‘Malaysian Spring’ dengan memacak bendera-bendera kecil di beberapa lokasi di negara ini semasa tempoh 15 hari berkempen dalam PRU13 baru-baru ini.

Inspirasi ‘Arab Spring’ semakin jelas kelihatan di perhimpunan nyalaan lilin yang dilakukan oleh penyokong Adam Adli yang berkumpul di hadapan Balai Polis Jinjang untuk membantah penahanan Adam Adli.

Dalam perhimpunan tersebut, terdapat satu kain rentang yang tertulis ‘Kita semua Adam’ yang mengambil inspirasi slogan ‘Kita semua Khaled Said’ yang menjadi pencetus dalam revolusi rakyat di Mesir.

ISMA berpendapat bahawa Malaysian Spring tidak sesuai dilakukan kerana ia akan mendatangkan suasana huru-hara dan menggugat keamanan negara dan ia dilarang sama sekali dalam Islam.

ISMA berpandangan penukaran kerajaan perlu dijalankan mengikut saluran yang betul iaitu melalui sistem pilihan raya berdasarkan amalan demokrasi selama ini. Sebarang ketidakpuasan hati kepada pihak kerajaan mahupun pihak yang menjalankan pilihan raya perlulah disampaikan mengikut saluran yang betul.

ISMA menyeru parti-parti politik, NGO-NGO Islam dan orang ramai agar tidak terlibat dalam penganjuran ‘Malaysian Spring’.

Di samping itu, ISMA memuji pendirian Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan yang menolak daripada terbabit dalam menjatuhkan kerajaan melalui kekerasan dan perhimpunan jalanan.

Peristiwa revolusi yang berlaku beberapa buah negara di Timur Tengah seperti di Tunisia, Mesir, Yaman dan lain-lain perlu dijadikan pengajaran bagi rakyat negara ini kerana tidak semua revolusi berjaya bahkan menambahkan lagi keburukan kepada negara setelah kerajaan baru tidak dapat mengawal keadaan yang huru-hara.

Oleh yang demikian, ISMA sekali lagi menolak sebarang seruan penukaran kerajaan melalui cara revolusi yang bakal mencetuskan keadaan huru-hara sama ada melalui himpunan di jalan raya, rusuhan dan demonstrasi yang berbahaya.

Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *